RAMALLAH: Israel secara rasmi membuka semula petempatan Ganim di kawasan Jenin, Tebing Barat, yang diduduki, lebih 20 tahun selepas mengosongkannya, dalam langkah terkini pemerintahan Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, memperluaskan petempatan Israel di wilayah Palestin itu.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, merasmikan petempatan berkenaan pada 13 Ogos, selepas tiba dengan helikopter bagi menghadiri majlis yang disertai kira-kira 100 penduduk Israel dan penduduk haram dari beberapa penempatan lain di Tebing Barat.

“Di sini, ini Tanah Israel. Di sini, kami akan kekal selama-lamanya,” kata Encik Katz pada majlis tersebut.

Ganim adalah antara empat petempatan Israel di utara Tebing Barat yang dikosongkan pada 2005 di bawah rancangan pengunduran yang dilaksanakan mantan Perdana Menteri Israel, Encik Ariel Sharon.

Ketika itu, Israel mengosongkan Ganim bersama Sa-Nur, Homesh dan Kadim, antara lain kerana kedudukan petempatan tersebut yang terpencil dan dikelilingi bandar serta perkampungan Palestin.

Bagaimanapun, di bawah pemerintahan Encik Netanyahu, pembinaan dan peluasan petempatan di Tebing Barat meningkat dengan ketara.

Tiga daripada empat petempatan yang dikosongkan pada 2005 – Ganim, Sa-Nur dan Homesh – kini secara rasmi dibangunkan semula.

Di Ganim, kira-kira dua dozen rumah pasang siap sudah ditempatkan di kawasan berbukit itu, sementara jentera berat sedang meratakan tanah bagi menyediakan ruang untuk pembinaan lebih banyak kediaman.

Jalan baharu turut dibina dan bekalan elektrik mula disambungkan ke rumah penduduk.

Seorang penduduk baharu, Cik Reut Baran, 35 tahun, berkata perubahan di kawasan itu berlaku dengan pantas.

“Sebulan lalu tiada apa-apa di sini. Hanya gunung berbatu, hampir tiada pokok dan tempat berteduh. Sekarang kami sudah tiba,” katanya kepada agensi berita, AFP, di hadapan rumah baharunya.

Seorang lagi penduduk, Encik Matan Berkovitch, 25 tahun, berpindah ke Ganim bersama isteri dan anaknya.

Beliau menyatakan sokongan terhadap dasar pemerintahan Israel berhubung petempatan di Tebing Barat.

Ketua pihak berkuasa Israel yang mengendalikan petempatan di utara Tebing Barat, Encik Yossi Dagan, turut menghadiri majlis tersebut.

“Era pengosongan sudah berakhir – mulai sekarang, kami hanya membina,” katanya.

Pembukaan semula Ganim berlaku ketika operasi tentera Israel di sekitar Jenin terus memberi kesan kepada penduduk Palestin.

Beberapa hari sebelum majlis perasmian itu, tentera Israel merobohkan kedai dan hartanah milik rakyat Palestin di sepanjang jalan menuju ke petempatan berkenaan.

Beberapa jalan tanah yang digunakan untuk memasuki masyarakat Palestin berdekatan turut disekat menggunakan timbunan runtuhan.

Penduduk Palestin di kawasan lembah berhampiran memberitahu AFP bahawa mereka bimbang pembinaan semula Ganim akan menyukarkan kehidupan harian mereka dan meningkatkan tekanan terhadap masyarakat Palestin di sekitarnya.

Sebahagian daripada mereka turut bimbang peluasan petempatan itu akhirnya boleh membawa kepada kehilangan tanah atau pemindahan penduduk Palestin.

Jenin sejak beberapa bulan lalu menjadi antara tumpuan utama operasi tentera Israel di Tebing Barat, termasuk serbuan, penahanan dan pemusnahan prasarana.

Israel menduduki Tebing Barat sejak perang 1967.

Kini, lebih 500,000 warga Israel tinggal di petempatan di Tebing Barat bersama kira-kira tiga juta rakyat Palestin.

Petempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki dianggap tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa, dan peluasan berterusan petempatan itu mendapat kecaman masyarakat antarabangsa.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan banyak negara berulang kali memberi amaran bahawa peluasan petempatan Israel menghakis kemungkinan mewujudkan sebuah negara Palestin yang berdaya maju dan menjadi antara halangan utama kepada penyelesaian dua negara.

Perkembangan terkini itu berlaku ketika keganasan penduduk haram Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat turut meningkat dengan ketara sejak serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.

Pada masa sama, Encik Katz dilaporkan mengakui bahawa keganasan penduduk haram Israel, termasuk kejadian di Qusra, menjejas imej Israel serta hubungannya dengan negara sahabat.

Pembukaan semula Ganim sekali gus menunjukkan perubahan besar dasar Israel berbanding dua dekad lalu – daripada mengosongkan petempatan terpencil di utara Tebing Barat kepada membangunkannya semula ketika pemerintahan Encik Netanyahu mempercepat peluasan petempatan di wilayah yang diduduki itu. – Agensi berita.