LONDON: Kerajaan Britain merancang memperketat penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam teknologi penghasilan gen susulan kebimbangan ia boleh disalahgunakan untuk menghasilkan bahan biologi berbahaya, termasuk senjata biologi.

Langkah itu dipertimbangkan kerana AI kini boleh membantu penyelidik mereka membentuk DNA sintetik dengan lebih mudah. Teknologi itu boleh membawa manfaat besar dalam bidang perubatan, makanan dan tenaga bersih, tetapi turut menimbulkan kebimbangan ia boleh disalahgunakan untuk menghasilkan bahan biologi berbahaya.

Menurut sumber yang mengetahui perkara itu, kerajaan Britain sedang meneliti beberapa langkah untuk menghalang pengganas, pihak berniat jahat atau penyelidik yang cuai daripada menggunakan teknologi sintesis gen bagi menghasilkan DNA sintetik yang boleh mendatangkan bahaya.

Antara pilihan yang dipertimbangkan ialah memperkenalkan undang-undang baharu berkaitan senjata biologi atau meminda peraturan sedia ada bagi mewajibkan proses saringan dalam penghasilan gen.

Langkah itu boleh menyebabkan makmal diwajibkan memastikan pelanggan yang membuat tempahan bahan genetik mempunyai tujuan yang sah.

Makmal juga mungkin perlu memaklumkan pihak berkuasa sekiranya mengesan tanda mencurigakan, termasuk permintaan menghasilkan urutan DNA tertentu yang boleh menimbulkan risiko keselamatan.

Kerajaan turut meneliti kerjasama antara syarikat AI dengan institusi akademik yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis maklumat genetik serta memiliki pangkalan data genetik yang besar.

Bagaimanapun, sumber mengakui peraturan Britain sahaja mempunyai batasan kerana teknologi dan perkhidmatan sintesis gen beroperasi merentasi sempadan.

Sebarang usaha mengawal risiko itu mungkin memerlukan penyelarasan dengan negara lain yang menjadi pusat utama penyelidikan dan penghasilan gen sintetik.

“Kerajaan memantau dengan teliti risiko yang ditimbulkan teknologi baharu dan sentiasa menilai sama ada langkah tambahan diperlukan,” kata jurucakap kerajaan Britain.

“Kami akan sentiasa mengambil apa juga tindakan yang diperlukan untuk memastikan keselamatan orang ramai.”

Kebimbangan mengenai penggunaan AI dalam bidang biologi semakin meningkat dalam kalangan pemerintah, saintis dan syarikat teknologi sejak beberapa bulan lalu.

Antara kebimbangan utama ialah kemungkinan individu atau kumpulan berniat jahat menggunakan model AI untuk menghasilkan urutan genetik yang kemudian boleh digunakan dalam pembangunan patogen berbahaya.

Bloomberg pada 2024 melaporkan kebimbangan awal dalam industri bahawa AI boleh membantu dalam penghasilan senjata pemusnah besar-besaran.

Kebimbangan itu mendorong pentadbiran Presiden Joe Biden ketika itu mengarahkan hampir semua agensi persekutuan Amerika Syarikat mengambil langkah bagi menangani ancaman berkaitan AI.

Presiden Donald Trump bagaimanapun membatalkan perintah eksekutif itu selepas kembali memegang jawatan pada 2025.

Pada Jun lalu, Encik Trump mengeluarkan arahan yang meminta syarikat teknologi memberikan pemerintah Amerika akses secara sukarela kepada model AI mereka, tetapi tidak mewajibkan pemaju mendapatkan kelulusan terlebih dahulu.

Britain setakat ini turut mengambil pendekatan yang lebih berasaskan panduan berbanding peraturan mandatori.

Pada 2024, pemerintah menerbitkan panduan kepada syarikat mengenai langkah mengurangkan risiko teknologi berkenaan disalahgunakan secara sengaja atau tidak sengaja.

Bagaimanapun, peningkatan kemampuan AI menyebabkan gesaan supaya kawalan lebih ketat diperkenalkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Anthropic, Encik Dario Amodei, pada Jun lalu menggesa model AI menjalani ujian mandatori oleh pihak ketiga bagi menilai risiko keselamatannya, termasuk kemungkinan teknologi itu membantu pembangunan senjata biologi.

Laporan media Amerika sebelum ini turut membangkitkan kebimbangan mengenai keupayaan sesetengah model AI memberikan maklumat yang boleh memudahkan penyalahgunaan bahan genetik.

Saintis juga dilaporkan menggunakan AI untuk menghasilkan jenis virus baharu.

Keupayaan sedemikian mempunyai potensi besar untuk mempercepat penyelidikan perubatan, termasuk membantu saintis memahami penyakit dan membangunkan rawatan baharu.

Pada masa sama, kemajuan itu turut meningkatkan risiko keselamatan biologi sekiranya teknologi berkenaan disalahgunakan atau berlaku kesilapan ketika menjalankan penyelidikan.

Britain secara umumnya mengambil pendekatan yang kurang ketat terhadap peraturan AI berbanding Kesatuan Eropah (EU), tetapi negara itu antara yang terawal memberi tumpuan kepada aspek keselamatan teknologi berkenaan.

Pada 2023, Britain menubuhkan Institut Keselamatan AI bagi menilai keselamatan model AI paling maju.

Institut itu minggu lalu menerbitkan hasil ujian yang mendapati beberapa model AI yang dibangunkan OpenAI dan Anthropic melakukan tindakan tanpa kebenaran dalam persekitaran ujian keselamatan, termasuk menggodam sebuah laman web dan cuba memasukkan kod berbahaya ke dalam perisian.

Perdana Menteri Britain yang baharu, Encik Andy Burnham, turut mengambil pendekatan lebih tegas terhadap AI sejak mengambil alih jawatan, terutama mengenai kemungkinan teknologi itu menjejaskan pekerjaan dan golongan muda.

Beliau membubarkan jabatan teknologi pemerintah, keputusan yang menerima kritikan industri, tetapi pada masa sama menaikkan Menteri AI, Encik Kanishka Narayan, ke Kabinet.

Kerajaan menegaskan ia tidak mahu peraturan keselamatan menghalang manfaat besar yang boleh dihasilkan teknologi sintesis gen.

“Sintesis gen membuka manfaat yang sangat besar dalam bidang perubatan, makanan dan tenaga bersih, tetapi memastikan keselamatan negara akan sentiasa menjadi keutamaan,” kata jurucakap kerajaan.

“Britain adalah negara kedua di dunia yang menerbitkan panduan mengenai saringan pihak yang dibenarkan membeli DNA sintetik serta urutan DNA yang ditempah, tetapi kami tidak akan berhenti setakat itu.” – Agensi berita.