Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nato gigih perkasa pertahanan udara jelang sidang puncak

Jul 9, 2023 | 1:31 PM
MENJELANG SIDANG PUNCAK: Sistem pertahanan udara jarak jauh Patriot pasukan tentera Jerman di Lapangan Terbang Vilnius di Lithuania, sudah bersiap sedia menjelang Sidang Puncak Nato pada 11 dan 12 Julai.
MENJELANG SIDANG PUNCAK: Sistem pertahanan udara jarak jauh Patriot pasukan tentera Jerman di Lapangan Terbang Vilnius di Lithuania, sudah bersiap sedia menjelang Sidang Puncak Nato pada 11 dan 12 Julai. - Foto EPA-EFE

KANIUKAI: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) telah menjadikan Vilnius sebagai kubu yang dipertahankan oleh senjata canggih bagi melindungi Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden dan pemimpin perikatan lain yang akan bertemu minggu depan.

Lokasi pertemuan hanya 32 kilometer dari pagar kawat sempadan Lithuania dengan sekutu Russia, Belarus.

Sebanyak 16 sekutu Nato telah menghantar sekitar 1,000 tentera untuk menjaga keselamatan sidang puncak pada 11 dan 12 Julai ini. Banyak negara ini juga menyediakan sistem pertahanan udara canggih yang tidak dimiliki oleh negara Baltik.

“Saya menganggapnya lebih tidak bertanggungjawab jika pangkalan udara kita tidak dilindungi daripada sebarang ancaman serangan sewaktu Encik Biden dan pemimpin 40 negara tiba,” kata Presiden Lithuania, Encik Gitanas Nauseda.

Negara-negara Baltik ini iaitu Lithuania, Estonia dan Latvia, yang pernah berada di bawah pemerintahan Moscow tetapi menjadi sebahagian daripada kedua-dua Nato dan Kesatuan Eropah (EU) sejak 2004, membelanjakan lebih 2 peratus daripada ekonomi mereka untuk pertahanan. Peratusannya lebih besar daripada kebanyakan sekutu Nato yang lain.

Bagaimanapun, bagi wilayah dengan jumlah penduduk sekitar enam juta orang, ini tidak mencukupi untuk mengekalkan tentera yang besar, melabur dalam jet pejuang mereka sendiri atau pertahanan udara maju.

Jerman mengerahkan 12 kenderaan pelancar peluru berpandu Patriot yang digunakan untuk memintas peluru berpandu balistik dan jelajah atau pesawat perang. Sepanyol pula telah membawa sistem pertahanan udara NASAMS manakala Perancis menghantar meriam katak kendiri Caesar.

Perancis, Finland dan Denmark menetapkan pangkalan jet tentera di Lithuania. Britain dan Perancis turut membekalkan keupayaan antidron.

Poland dan Jerman pula menghantar pasukan operasi khas yang dipertingkatkan dengan helikopter. Negara lain pula mengusahakan langkah untuk menangani sebarang serangan kimia, biologi, radiologi dan nuklear yang berpotensi berlaku.

Bagi Encik Nauseda, usaha pihak sekutu untuk memastikan keselamatan udara semasa perhimpunan pemimpin ini bermakna Nato perlu segera membangun pertahanan udara yang tetap di negara-negara Baltik.

“Kami akan fikirkan apa yang berlaku selepas sidang puncak itu berakhir dan kami juga akan bekerjasama dengan pihak sekutu untuk mewujudkan kuasa berputar bagi perlindungan udara yang tetap,” katanya kepada media. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg