Topik diikuti
Pergi ke BHkuBumbung pusat tuisyen runtuh di Lahore ragut 14 nyawa kanak-kanak
Bumbung pusat tuisyen runtuh di Lahore ragut 14 nyawa kanak-kanak
Bumbung pusat tuisyen runtuh di Lahore ragut 14 nyawa kanak-kanak
LAHORE: Sekurang-kurangnya 14 kanak-kanak maut manakala lima lagi cedera selepas bumbung sebuah bangunan yang dijadikan pusat tuisyen persendirian runtuh di bandar Lahore, Pakistan, dalam satu tragedi yang mencetuskan kemarahan terhadap tahap keselamatan bangunan di negara itu.
Kejadian berlaku di kawasan Kahna Nau, pinggir bandar Lahore di wilayah Punjab, ketika puluhan murid sedang mengikuti kelas di pusat tuisyen berkenaan.
Menurut saksi, pekerja dipercayai sedang menjalankan kerja membaiki jubin di atas bumbung bangunan lama itu ketika struktur berkenaan tiba-tiba runtuh dan menghempap kanak-kanak di dalam kelas.
Jurucakap perkhidmatan ambulans Edhi berkata kebanyakan mangsa yang maut berusia antara empat hingga 12 tahun.
“Runtuhan bumbung di Basti Eid Gah, Kahna Nau mengorbankan 14 kanak-kanak, manakala lima lagi cedera,” katanya.
Pesuruhjaya Lahore, Cik Maryam Khan, mengesahkan jumlah korban dan berkata seorang guru turut cedera dalam kejadian itu.
Pasukan penyelamat dilihat menggali runtuhan menggunakan penyodok dan tangan bagi mengeluarkan mangsa dari bangunan yang sebahagiannya runtuh.
Rakaman disiarkan stesen Geo News menunjukkan anggota penyelamat dan penduduk tempatan berusaha mencari mangsa di kawasan perumahan padat itu.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan Rescue 1122, Encik Farooq Ahmed, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.45 petang waktu tempatan.
“Operasi menyelamat berjaya diselesaikan dalam tempoh kira-kira satu jam. Kebanyakan mangsa yang ditemui berusia antara tujuh hingga 11 tahun,” katanya kepada BBC.
Seorang lelaki dikenali sebagai Encik Zaheer, 45 tahun, berkata anak saudaranya adalah antara mangsa yang terbunuh.
“Keadaan bumbung memang sudah uzur. Mereka sedang membaiki jubin ketika kanak-kanak masih belajar di dalam kelas,” katanya kepada AFP.
“Tiba-tiba sahaja bumbung runtuh menghempap ramai kanak-kanak. Mereka meletakkan terlalu banyak beban di atas bumbung dan sebab itu kejadian ini berlaku,” katanya lagi.
Suasana pilu menyelubungi lokasi kejadian apabila ahli keluarga menangis sambil menunggu mayat mangsa dibawa keluar.
Beberapa mayat kanak-kanak dilihat diselimuti kain putih sebelum dibawa ke hospital dan pusat forensik.
Seorang penduduk berkata ramai keluarga kehilangan anak dalam tragedi itu sehingga penduduk tidak tahu rumah mana perlu diziarahi terlebih dahulu untuk mengucapkan takziah.
“Kami tidak tahu rumah siapa yang perlu dikunjungi dahulu kerana terlalu ramai kehilangan anak,” katanya.
Pihak berkuasa Pakistan segera melancarkan siasatan terhadap kejadian itu.
Polis Punjab berkata dua individu sudah ditahan bagi membantu siasatan awal berhubung kemungkinan kecuaian dan pelanggaran prosedur keselamatan.
Cik Maryam Khan berkata siasatan telus dan segera akan dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
“Mereka yang didapati bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan menerusi siasatan yang telus, adil dan segera,” katanya.
Kementerian Pendidikan Punjab pula berkata pusat tuisyen itu beroperasi di sebuah rumah persendirian milik seorang guru yang mengajar kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Beliau berkata pemerintah akan memastikan semua mangsa yang cedera menerima rawatan terbaik.
“Saya mendoakan mangsa yang cedera segera sembuh dan mengarahkan pihak berkuasa memberikan segala bantuan perubatan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Ketua Menteri Punjab, Cik Maryam Nawaz Sharif, menyifatkan kejadian itu sebagai “tragedi yang amat menyayat hati”.
“Kehilangan 14 nyawa tidak berdosa adalah satu kesedihan yang tidak mampu digambarkan,” katanya menerusi platform X.
“Setiap individu yang didapati bersalah akan berdepan tindakan undang-undang sepenuhnya,” tambah beliau.
Kejadian runtuhan bangunan sering berlaku di Pakistan akibat piawaian keselamatan yang lemah, bahan binaan berkualiti rendah dan penguatkuasaan yang longgar.
Pada 2025 seramai 27 orang maut dan 10 lagi cedera apabila sebuah bangunan lima tingkat runtuh di kawasan miskin Lyari di Karachi.
Pakar keselamatan sebelum ini berulang kali memberi amaran bahawa banyak bangunan lama di Pakistan tidak diselenggara dengan baik dan berisiko tinggi runtuh, terutama ketika kerja pengubahsuaian dijalankan tanpa pemantauan keselamatan yang ketat. – Agensi berita.
