Topik diikuti
Pergi ke BHkuBurnham ganti Starmer sebagai PM Britain keenam dalam sedekad
Burnham ganti Starmer sebagai PM Britain keenam dalam sedekad
Burnham ganti Starmer sebagai PM Britain keenam dalam sedekad
LONDON: Raja Britain, Raja Charles III, pada 20 Julai secara rasmi melantik Encik Andy Burnham sebagai Perdana Menteri baharu selepas Encik Keir Starmer menyerahkan peletakan jawatannya, sekali gus menamatkan tempoh pemerintahannya selama dua tahun yang dipenuhi pelbagai kontroversi politik dan cabaran ekonomi.
Istana Buckingham dalam satu kenyataan memaklumkan Encik Burnham menerima pelantikan itu selepas menghadap Raja Charles III di Istana Buckingham.
“Andrew Burnham MP menerima tawaran Raja dan mengangkat sumpah selepas pelantikannya sebagai Perdana Menteri,” menurut kenyataan istana.
Raja Charles III turut meminta Encik Burnham membentuk pemerintah baharu Britain.
Pelantikan Encik Burnham, 56 tahun, menjadikannya Perdana Menteri Britain yang keenam dalam tempoh hanya sedekad, sekali gus menggambarkan ketidakstabilan politik yang berlarutan sejak negara itu keluar daripada Kesatuan Eropah (Brexit).
Sebelum Encik Burnham menghadap raja, Encik Starmer meninggalkan kediaman rasmi di 10 Downing Street dan menyampaikan ucapan perpisahan dengan mempertahankan rekod pentadbirannya.
“Saya yakin Britain kini lebih kukuh dan lebih adil berbanding dua tahun lalu.
“Saya meninggalkan jawatan ini dengan hati yang tenang, dengan senyuman dan penuh bangga terhadap segala yang telah kami capai,” katanya.
Encik Starmer, yang membawa Parti Buruh kembali berkuasa pada Julai 2024 selepas 14 tahun menjadi pembangkang, mengumumkan peletakan jawatan pada akhir Jun susulan beberapa siri skandal, kesilapan pentadbiran dan perubahan dasar yang menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya.
Encik Burnham pula mengambil alih tampuk pemerintahan pada ketika Britain berdepan pelbagai cabaran besar, termasuk pertumbuhan ekonomi yang perlahan, kos sara hidup yang tinggi, peningkatan hutang kerajaan, perbelanjaan kebajikan yang semakin membengkak serta isu kemasukan pendatang tanpa izin melalui bot kecil merentasi Selat Inggeris.
Keadaan itu turut menyumbang kepada peningkatan sokongan terhadap parti Reform UK yang dipimpin Encik Nigel Farage, sekali gus memberi tekanan kepada Parti Buruh menjelang pilihan raya umum dijangka diadakan pada 2029.
Bekas Datuk Bandar Greater Manchester itu dijangka membentangkan visi pentadbiran baharunya dalam ucapan sulung sebagai perdana menteri dengan memberi tumpuan kepada usaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Pasukan Burnham berkata beliau akan menggariskan keutamaan untuk membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup, merangsang pertumbuhan ekonomi serta memperluaskan pengagihan kuasa kepada wilayah-wilayah di luar London.
Beliau juga dijangka mengumumkan barisan Kabinet baharu, termasuk pelantikan Menteri Kewangan bagi menggantikan Cik Rachel Reeves.
Dalam temu bual bersama akhbar The Times sebelum pelantikannya, Encik Burnham berkata Britain memerlukan pendekatan baharu selepas lebih sedekad mengalami ketidaktentuan politik.
“Apa yang kita lakukan selama ini tidak berhasil.
“Saya mahu melakukan sesuatu dengan cara yang berbeza,” katanya.
Menurut Encik Burnham, pentadbirannya akan memberi penekanan kepada pelaburan awal dan campur tangan lebih awal dalam pembangunan ekonomi supaya kerajaan tidak terus menanggung kos akibat kegagalan dasar pada masa hadapan.
Beliau juga berjanji mengambil langkah segera bagi mengurangkan beban kos sara hidup selepas mendengar sendiri keluhan rakyat sepanjang berkempen.
“Saya dapat merasakan tekanan yang dihadapi rakyat terhadap kedudukan kewangan mereka,” katanya.
Salah satu tindakan pertama Encik Burnham ialah membatalkan projek kad pengenalan digital kebangsaan yang diperkenalkan pentadbiran Starmer.
Projek bernilai £1.8 bilion (kira-kira S$3.1 bilion) bagi tempoh tiga tahun itu dihentikan dengan alasan dana berkenaan lebih wajar digunakan untuk membantu rakyat menghadapi kos sara hidup.
Pelantikan Burnham turut mencipta sejarah kerana beliau bakal menjadi Perdana Menteri Britain pertama yang beragama Roman Katolik sepanjang hayatnya.
Walaupun Britain hari ini merupakan sebuah negara yang semakin bersifat sekular, pelantikan seorang penganut Katolik masih mempunyai nilai sejarah yang besar.
Sehingga awal abad ke-19, penganut Katolik bukan sahaja dilarang menjadi perdana menteri, malah tidak dibenarkan menjadi ahli Parlimen berikutan kebimbangan bahawa kesetiaan mereka kepada Gereja Katolik akan menjejaskan kedaulatan negara.
Larangan itu berpunca daripada pergolakan agama selepas Revolusi Gemilang 1688 yang menyaksikan Raja James II, pemerintah Katolik terakhir Britain, digulingkan daripada takhta.
Undang-undang yang diluluskan pada 1829 dan 1858 kemudian menghapuskan sebahagian besar sekatan terhadap penganut Katolik.
Hari ini, England masih mempunyai gereja rasmi Protestan, iaitu Gereja England, dengan Raja Charles III memegang gelaran Gabenor Tertinggi gereja tersebut.
Secara tradisinya, perdana menteri memberi nasihat kepada raja mengenai pelantikan uskup Gereja England, walaupun proses itu kini lebih bersifat simbolik.
Encik Burnham sendiri pernah menjelaskan bahawa identiti Katoliknya lebih bersifat budaya berbanding amalan keagamaan yang ketat.
Beliau yang berketurunan Ireland mendapat pendidikan di sekolah Roman Katolik sejak kecil.
Dalam wawancara bersama akhbar The Guardian pada 2009, Encik Burnham berkata tiga perkara paling penting dalam hidupnya ialah keluarga, kelab bola sepak Everton, Parti Buruh dan Gereja Katolik.
“Tiga perkara penting dalam hidup saya selain keluarga ialah Everton FC, Parti Buruh dan Gereja Katolik – mengikut turutan itu.
“Saya menyebut demikian kerana semuanya berkait dengan identiti budaya saya,” katanya.
Selepas bertemu mendiang Pope Francis di Vatican pada 2023, Burnham turut mengakui beliau masih merasakan hubungan yang kuat dengan Gereja Katolik walaupun tidak lagi mengamalkan semua tuntutan agama secara aktif.
Katanya, nilai ajaran sosial Katolik banyak membentuk pandangan politiknya.
“Saya dibesarkan dengan kepercayaan terhadap ajaran sosial Katolik dan ia banyak membentuk cara saya melihat dunia.
“Bagi saya, perkara yang paling hampir dengan nilai itu ialah politik Parti Buruh,” katanya.
Sebelum ini, beberapa perdana menteri Britain turut mempunyai hubungan dengan agama Katolik.
Encik Boris Johnson dibaptiskan sebagai penganut Katolik ketika bayi sebelum dibesarkan sebagai penganut Anglikan, manakala Encik Tony Blair hanya memeluk agama Katolik secara rasmi beberapa bulan selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
Britain juga pernah mempunyai seorang perdana menteri berketurunan Yahudi, Encik Benjamin Disraeli, manakala pada 2022, Encik Rishi Sunak mencipta sejarah sebagai perdana menteri pertama yang mengamalkan agama Hindu.
Walaupun Encik Burnham dilihat berjaya menyuntik semangat baharu dalam Parti Buruh, ramai penganalisis berpendapat beliau mempunyai tempoh yang singkat untuk membuktikan keberkesanan pentadbirannya.
Dengan pilihan raya umum dijangka berlangsung pada 2029 dan Reform UK kini mendahului beberapa tinjauan pendapat, Burnham hanya mempunyai kira-kira tiga tahun untuk memulihkan ekonomi, mengembalikan keyakinan rakyat serta mengukuhkan kedudukan Parti Buruh.
Beliau sendiri mengakui tugas itu bukan mudah, tetapi menegaskan pentadbirannya mempunyai pelan yang jelas untuk membawa Britain keluar daripada kemelut ekonomi dan politik yang berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - Agensi berita
