Topik diikuti
Pergi ke BHkuBurnham bakal angkat sumpah PM Britain, warisi ekonomi lemah dan krisis kos sara hidup
Burnham bakal angkat sumpah PM Britain, warisi ekonomi lemah dan krisis kos sara hidup
Burnham bakal angkat sumpah PM Britain, warisi ekonomi lemah dan krisis kos sara hidup
LONDON: Encik Andy Burnham pada 20 Julai secara rasmi bakal mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Britain yang baharu, mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Enci Keir Starmer ketika negara itu berdepan pelbagai cabaran termasuk ekonomi yang perlahan, kos sara hidup yang tinggi, migrasi haram dan ketidaktentuan geopolitik.
Enci Burnham, 56 tahun, menjadi perdana menteri ketujuh Britain dalam tempoh sedekad selepas menerima perkenan Raja Charles III untuk membentuk kerajaan baharu.
Beliau dijadual menyampaikan ucapan sulung di hadapan kediaman rasmi Perdana Menteri di 10 Downing Street sejurus selepas Enci Starmer mengucapkan selamat tinggal kepada rakyat.
Peralihan kuasa itu berlaku hanya dua tahun selepas Encik Starmer membawa Parti Buruh kembali memerintah menerusi kemenangan besar pilihan raya pada 2024, sekali gus menamatkan 14 tahun pemerintahan Parti Konservatif.
Dalam ucapan pertamanya, Encik Burnham dijangka mengakui Britain sedang berdepan cabaran besar dan menegaskan rakyat perlu bersikap realistik terhadap keadaan semasa.
Beliau turut dijangka mengumumkan beberapa langkah segera bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat, selain memberi tumpuan kepada usaha memulihkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kuasa pentadbiran di wilayah di luar London.
Dalam temu bual bersama The Times sebelum mengangkat sumpah, Encik Burnham berkata Britain memerlukan perubahan menyeluruh terhadap cara kerajaan menguruskan ekonomi dan perbelanjaan awam.
“Kita perlu memikirkan semula cara negara ini ditadbir supaya lebih memberi tumpuan kepada pelaburan awal dan campur tangan lebih awal untuk membantu rakyat berjaya, berbanding terus membayar kos akibat kegagalan.
“Saya mahu memperkenalkan pelan pembangunan negara selama 10 tahun. Ia bukan bermaksud saya bercadang memerintah selama sedekad, tetapi Britain memerlukan hala tuju jangka panjang kerana masalah yang dihadapi tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata,” katanya.
Beliau berkata banyak kawasan di Britain masih mengalami kemerosotan ekonomi dan memerlukan pembaharuan secara berperingkat.
Setakat ini, Encik Burnham belum mengumumkan perubahan dasar yang besar selain mengekalkan janji manifesto Parti Buruh untuk tidak menaikkan cukai nilai tambah (VAT), cukai pendapatan dan caruman insurans nasional.
Beliau juga mengumumkan pembatalan projek kad pengenalan digital nasional yang diperkenalkan pentadbiran Starmer.
Menurut pejabat Burnham, dana yang diperuntukkan bagi projek bernilai £1.8 bilion ($3.1 bilion) itu akan disalurkan kepada usaha menangani kos sara hidup.
Dalam sektor tenaga, Encik Burnham dijangka mengambil pendekatan lebih pragmatik terhadap penerokaan minyak dan gas di Laut Utara.
Beliau dilaporkan bersedia mempercepatkan aktiviti penggerudian di medan sedia ada tanpa meluluskan pembukaan medan minyak baharu, selaras dengan manifesto Parti Buruh.
Pendirian itu mencetuskan perhatian Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang mengucapkan tahniah kepada Burnham menerusi platform Truth Social.
Encik Trump mendakwa Encik Burnham bersedia membuka lebih banyak medan minyak di Laut Utara dan menyifatkan penduduk Aberdeen di Scotland “menyambutnya dengan gembira”.
Bagaimanapun, Timbalan Pemimpin Parti Buruh, Cik Lucy Powell, menjelaskan pendekatan Encik Burnham hanya melibatkan perubahan penekanan dasar, bukannya perubahan dasar secara menyeluruh.
Pada masa sama, Encik Burnham dijangka mengumumkan barisan Kabinet baharu sejurus selesai mengangkat sumpah.
Beberapa laporan media menyebut Cik Shabana Mahmood dijangka dilantik sebagai Canselor Perbendaharaan, manakala bekas Menteri Tenaga, Ed Miliband, disebut-sebut bakal mengambil alih jawatan Setiausaha Luar.
Encik Jonathan Reynolds pula dijangka mengetuai kementerian perniagaan, sementara bekas menteri Lou Haigh dijangka memegang portfolio utama di Pejabat Kabinet.
Selain ekonomi, Encik Burnham turut dijangka berdepan tekanan untuk menangani syarikat utiliti Thames Water yang berdepan krisis kewangan.
Media Britain melaporkan kerajaan mungkin meletakkan syarikat pembekal air terbesar di selatan England itu di bawah pentadbiran khas sementara sehingga pembeli baharu ditemui.
Powell berkata kerajaan Burnham juga mahu memperluaskan pemilikan awam terhadap beberapa sektor penting kerana terlalu banyak perkhidmatan asas diswastakan.
“Bil rakyat terus meningkat kerana syarikat utiliti lebih mengutamakan keuntungan berbanding kepentingan pengguna,” katanya.
Parti Konservatif pula mendakwa Burnham akhirnya terpaksa menaikkan cukai bagi membiayai peningkatan perbelanjaan kerajaan termasuk dalam sektor pertahanan dan penjagaan sosial.
Pemimpin Parti Konservatif, Encik Kemi Badenoch, mengkritik Burnham kerana gagal memperincikan rancangan pentadbirannya sebelum mengangkat sumpah.
Beliau menyifatkan kenyataan Encik Burnham setakat ini sebagai “retorik yang kabur” dan mempersoalkan sama ada pemimpin baharu itu mampu membuat keputusan sukar.
Sementara itu, Encik Starmer mempertahankan rekod pentadbirannya menerusi satu rakaman video yang diterbitkan sebelum meninggalkan jawatan.
“Saya amat bangga kerana meninggalkan negara ini dalam keadaan yang jauh lebih baik berbanding ketika kami mengambil alih pentadbiran dua tahun lalu,” katanya.’
Encik Burnham, yang pernah menjadi Ahli Parlimen antara 2001 hingga 2017 serta berkhidmat dalam pentadbiran bekas Perdana Menteri Tony Blair dan Gordon Brown, kembali ke Parlimen hanya empat minggu lalu sebelum dipilih sebagai pemimpin Parti Buruh.
Bekas Datuk Bandar Greater Manchester yang dikenali sebagai “King of the North” itu kini diberi tempoh kira-kira tiga tahun untuk memulihkan kedudukan Parti Buruh menjelang pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada 2029.
Cabaran utama yang menantinya termasuk pertumbuhan ekonomi yang perlahan, hutang awam yang tinggi, peningkatan kos kebajikan, kemasukan migran tanpa dokumen menerusi bot kecil, turun naik harga tenaga akibat konflik Amerika Syarikat-Iran serta hubungan yang tidak menentu dengan pentadbiran Presiden Trump.
Encik Burnham menegaskan beliau mempunyai pelan yang jelas untuk mengubah Britain dan menyifatkan kepimpinannya sebagai peluang terakhir Parti Buruh untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. - Agensi berita

