Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cabaran dan harapan selang 4 tahun Perjanjian Abraham

Nov 25, 2024 | 5:30 AM
Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Encik Donald Trump (kanan) bersama Menteri Luar Amiriah Arab Bersatu (UAE), Encik Abdullah Zayed Al-Nahyan (kiri); Menteri Luar Bahrain, Encik Abdullatif Rashid Al Zayani (dua kiri), dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu (dua dari kanan), bergambar di Rumah Putih 15 September 2020 sebelum majlis tandatangan Perjanjian Abraham yang menyaksikan Bahrain dan UAE mengiktiraf Israel.
Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Encik Donald Trump (kanan) bersama Menteri Luar Amiriah Arab Bersatu (UAE), Encik Abdullah Zayed Al-Nahyan (kiri); Menteri Luar Bahrain, Encik Abdullatif Rashid Al Zayani (dua kiri), dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu (dua dari kanan), bergambar di Rumah Putih 15 September 2020 sebelum majlis tandatangan Perjanjian Abraham yang menyaksikan Bahrain dan UAE mengiktiraf Israel. - Foto AFP

WASHINGTON: Empat tahun lalu, Perjanjian Abraham menjadi detik bersejarah apabila Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain memulihkan hubungan dengan Israel pada 15 September 2020.

Disusuli oleh Maghribi dan Sudan, perjanjian yang diusahakan oleh Amerika Syarikat itu dijangka mengubah landskap politik Timur Tengah.

Ketika majlis tandatangan di Rumah Putih, Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Encik Donald Trump, berkata:

“Kita di sini untuk mengubah sejarah. Selepas berdekad adanya konflik, kita menyaksikan fajar baru untuk Timur Tengah.”

Kenyataan itu disokong oleh Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, yang optimis pemulihan hubungan itu dapat menamatkan konflik Arab-Israel.

Menteri Luar UAE, Encik Abdullah Zayed Al-Nahyan, ketika itu menyuarakan keyakinan perjanjian itu akan membawa manfaat besar kepada rantau tersebut.

Beliau berkata: “Kesan perjanjian ini akan dirasai di seluruh rantau.”

Namun, di sebalik optimisme itu, cabaran muncul hampir serta-merta.

Hamas, kumpulan bersenjata Palestin, melancarkan serangan roket ke arah Israel pada hari perjanjian itu ditandatangani.

Jurucakap Hamas mengkritik pemulihan hubungan itu sebagai pengkhianatan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Perang yang tercetus antara Israel dengan Hamas sejak Oktober 2023 memberikan tekanan besar terhadap hubungan Israel dengan negara Arab yang menandatangani perjanjian tersebut.

Ketegangan ini mempengaruhi kerjasama diplomatik dan perdagangan yang sebelum ini semakin kukuh. Namun begitu, hubungan ini tidak terputus sepenuhnya.

Presiden Israel, Encik Isaac Herzog dan yang ketika itu Menteri Kewangan Israel, Encik Nir Barkat, mengunjungi UAE pada November 2023 untuk menghadiri acara antarabangsa.

Walaupun hubungan dua hala tampak perlahan, perdagangan antara Israel dengan negara seperti UAE, Bahrain dan Maghribi terus menunjukkan peningkatan.

Misalnya, perdagangan dua hala Israel-Bahrain meningkat lebih 900 peratus dalam tujuh bulan pertama 2024 berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Encik Meir Ben Shabbat, mantan penasihat keselamatan negara Israel, menyatakan:

“Walaupun terdapat cabaran, laluan perdagangan melalui Israel menjadi pilihan utama, menjadikan negara ini hab utama untuk perdagangan antara Eropah dengan Teluk.”

Meskipun hubungan Israel-Palestin kekal tegang, UAE mengambil langkah membantu rakyat Palestin melalui projek pemulihan di Gaza.

Usaha itu termasuk pembinaan hospital lapangan, loji penyahgaraman air dan konvoi bantuan kemanusiaan.

Penasihat Diplomatik UAE, Encik Anwar Gargash, menyatakan: “Keputusan strategik seperti ini memerlukan ketabahan menghadapi halangan besar, tetapi manfaatnya adalah untuk jangka panjang.”

Bagi UAE, bantuan itu bukan sahaja memperkukuh kedudukannya sebagai pemimpin serantau, malah memberikan mesej bahawa pemulihan hubungan dengan Israel membawa manfaat langsung kepada rakyat Palestin.

Namun, pemulihan hubungan tetap tidak disenangi oleh sebahagian besar penduduk Arab, yang menganggapnya sebagai pengkhianatan terhadap perjuangan Palestin.

Pengarah Eksekutif Democracy for the Arab World Now (Dawn), Cik Sarah Leah Whitson, berkata bahawa perjanjian ini bukannya membendung penindasan Israel, malah menggalakkannya.

Di pihak Israel pula, tindakan membina petempatan haram di Tebing Barat dan peningkatan serangan terhadap Gaza serta Tebing Barat mencetuskan kritikan antarabangsa.

Menurut Peace Now, sebuah pertubuhan hak asasi Israel, pengambilan tanah di Tebing Barat pada 2024 adalah yang terbesar sejak Perjanjian Oslo 1993.

Walaupun Perjanjian Abraham menghadapi cabaran besar, ia tetap menjadi simbol potensi kerjasama dan keamanan di Timur Tengah.

Mantan Menteri Luar Israel, Encik Israel Katz, optimis: “Perjanjian ini membuktikan bahawa visi bersama dan kerjasama adalah jalan ke hadapan untuk masa depan yang lebih baik.”

Langkah ke hadapan memerlukan komitmen kukuh daripada semua pihak, bukan sahaja untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi, malah memastikan keadilan bagi rakyat Palestin.

Jika pendekatan strategik ini terus diperhalusi, Perjanjian Abraham mungkin menjadi asas kepada era baru bagi rantau itu yang sering bergolak. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg