Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Calon Duta Trump ke S’pura, Anjani Sinha, hadapi cabaran jawab soalan di sesi Senat

Jul 10, 2025 | 6:05 PM
Dr Anjani Sinha, duta, Amerika Syarikat
Dr Anjani Sinha semasa sesi pembentangan pencalonannya di hadapan Jawatankuasa Ehwal Luar Senat yang terdiri daripada 22 ahli di Capitol Hill, Washington DC, pada 9 Julai. - Foto TANGKAP LAYAR SENAT AS

WASHINGTON: Calon Duta Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, ke Singapura, Dr Anjani Sinha, menghadapi kesukaran ketika mempertahankan dasar tarif Amerika, semasa sesi pembentangan pengesahan Senat yang lebih sukar daripada yang dijangkakan.

Sesi pembentangan yang berlangsung selama dua jam pada 9 Julai itu dimulakan dengan kenyataan pembukaan oleh Dr Sinha, tetapi berubah menjadi perdebatan yang tegang apabila Senator Demokrat, Cik Tammy Duckworth, mula mengemukakan soalan, lapor The Straits Times (ST).

“Ini bukan peranan yang boleh anda ambil sesuka hati kerana anda menganggapnya glamor, atau kerana Singapura tempat yang hebat didiami,” kata Cik Duckworth sebelum mengemukakan soalan bertubi.

“Secara jujur, saya rasa anda tidak layak bagi peranan ini, dan saya bimbang kekurangan pemahaman anda boleh menjejas hubungan kita. Adakah anda mampu memimpin misi di Singapura? Saya ragu,” kata senator tersebut.

Beliau mencabar Dr Sinha mengenai jumlah lebihan perdagangan Amerika dengan Singapura pada 2024. 

Apabila Dr Sinha teragak-agak dan menyebut jumlah AS$18 bilion ($23 bilion), Cik Duckworth membetulkannya dan berkata jumlah sebenarnya AS$2.8 bilion, sebelum mengatakan bahawa Dr Sinha “membuat kesilapan besar”.

“Jika disahkan, bagaimana anda akan menjelaskan persahabatan kita dengan Singapura kepada Presiden?” tanya Cik Duckworth.

“Bagaimana anda akan menerangkan ancaman Presiden untuk mengenakan tarif setinggi 25 peratus ke atas negara mereka, sedangkan Amerika mempunyai lebihan perdagangan hampir AS$3 bilion dengan Singapura?” tambahnya.

Pada 2 April, Encik Trump telah mengumumkan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas import dari Singapura, walaupun kedua-dua negara mempunyai Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) sejak 2004.

Untuk beberapa sektor tertentu seperti semikonduktor dan farmaseutikal, tarif lebih tinggi dikenakan.

“Kami tidak akan berhenti daripada sebarang dialog antara kedua-dua negara dan pemimpin,” jawab Dr Sinha.

“Jika disahkan, saya akan menjalinkan hubungan peribadi dengan pemerintah Singapura, dan saya akan pastikan dialog diteruskan dan kita menyelesaikan isu-isu perdagangan bersama,” tambahnya.

Namun, Cik Duckworth tidak berpuas hati.

Beliau turut menyoal Dr Sinha bilakah Singapura akan mengambil alih kerusi kepimpinan Asean, dan apabila Dr Sinha tidak dapat menyebutkan tahun tersebut, beliau memberikan jawapannya: 2027.

Melangkah lebih jauh, Cik Duckworth meminta Dr Sinha menyebut satu isu yang mungkin kritikal bagi Singapura sebagai pengerusi Asean, dan bagaimana Dr Sinha akan menyokong Singapura dalam peranannya sebagai Duta Amerika.

Cik Duckworth menganggap jawapan Dr Sinha tentang pertahanan, ekonomi dan perdagangan terlalu “umum” dan menekankan bahawa Singapura adalah rakan penting Amerika, bukan satu jawatan glamor.

Dr Sinha perlu lebih mendalami peranan itu dan bekerja keras, tambahnya.

Selepas sesi pembentangan itu, jawatankuasa itu akan mengundi sama ada untuk menyokong atau menolak pencalonan tersebut. Pencalonan itu memerlukan majoriti di Senat. 

Jika disahkan, calon itu akan dilantik secara rasmi dan boleh menyerahkan surat pelantikan kepada negara tuan rumah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg