WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Isnin 7 Julai mula memaklumkan rakan dagangan seperti Jepun dan Korea Selatan, serta 12 lagi negara lain, bahawa tarif Amerika Syarikat yang lebih tinggi akan dikuat kuasa bermula 1 Ogos.
Tindakannya itu menandakan fasa baru dalam perang dagangan yang dilancarkannya pada awal 2025.
Tarif 25 peratus ke atas pengimport Amerika bagi semua barangan daripada sekutu utama Asia seperti Jepun dan Korea Selatan telah menggemparkan Wall Street, dengan Indeks S&P 500 mengalami kejatuhan terbesar dalam tiga minggu.
Surat yang telah dihantar kepada 14 negara setakat ini – termasuk pengeksport Amerika yang lebih kecil seperti Serbia, Thailand dan Tunisia – membayangkan peluang untuk rundingan tambahan dan memberi amaran bahawa sebarang langkah tindakan balas akan dibalas dengan respons sewajarnya.
Encik Trump berkata pada 7 Julai bahawa Tunisia, Malaysia dan Kazakhstan akan dikenakan tarif 25 peratus; Afrika Selatan, Bosnia dan Herzegovina (30 peratus); Indonesia (32 peratus); Serbia dan Bangladesh (35 peratus); Kemboja dan Thailand (36 peratus); serta Laos dan Myanmar (40 peratus).
“Jika atas apa-apa sebab anda memutuskan untuk menaikkan tarif anda, maka apa jua jumlah yang anda naikkan, akan dikenakan tambahan 25 peratus yang kami caj,” kata beliau dalam surat kepada Jepun dan Korea Selatan.
Tarif yang lebih tinggi berkuat kuasa pada 1 Ogos dan tidak akan digabungkan dengan tarif sektor yang diumumkan sebelum ini seperti pada kereta dan keluli dan aluminium.
Ini bermakna tarif kenderaan Jepun akan kekal pada 25 peratus, berbanding tarif sektor 25 peratus sedia ada yang meningkat kepada 50 peratus.
Perdana Menteri Jepun, Encik Shigeru Ishiba, menyifatkan keputusan Presiden Trump untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas Jepun sebagai “amat dukacita”.
Namun beliau menegaskan rundingan dua hala akan diteruskan ke arah mencapai perjanjian yang saling menguntungkan, lapor agensi berita Kyodo.
Walaupun langkah itu telah dimaklumkan kepada Jepun menerusi sepucuk surat rasmi, Encik Ishiba berkata kadar tarif itu adalah lebih rendah daripada ancaman awal Encik Trump dan ini membuka ruang kepada rundingan dua hala yang lebih membina.
Kementerian Perindustrian Korea Selatan memaklumkan bahawa pihaknya merancang untuk memperhebat rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat.
Ia juga menganggap rancangan terbaru Trump sebagai satu langkah yang secara berkesan memberikan tempoh kelonggaran lanjutan sebelum pelaksanaan tarif balas.
Malaysia juga akan terus berunding dengan Amerika Syarikat mengenai tarif timbal balas 25 peratus yang dikenakan ke atas negara ini bermula 1 Ogos ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Malaysia tidak akan berhenti untuk berunding dengan pihak pentadbiran Amerika bagi memastikan negara mendapat manfaat daripada rundingan itu.
Pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai, berkata bahawa beliau mahukan “perjanjian yang lebih baik” berbanding tarif 36 peratus yang diancam akan dikenakan oleh Encik Trump melalui sepucuk surat kepada negara itu.
“Perkara paling penting ialah kita mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat,” kata Encik Phumtham kepada pemberita di Bangkok.
“Setelah kita menilai semula situasi ini, saya berharap kita dapat mencapai perjanjian yang lebih menguntungkan.”
Dalam pada itu, Indonesia – pembeli gandum kedua terbesar di dunia – merancang membeli lebih banyak gandum daripada Amerika dalam usaha mencapai perjanjian dagangan menjelang tarikh akhir tarif.
Untuk itu, ia telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) untuk pembelian gandum Amerika bermula dari 2025 hingga 2030, kata Encik Franciscus Welirang, pengerusi Persatuan Pengilang Tepung Indonesia (Aptindo) dalam satu majlis pada 7 Julai di Jakarta.
Perjanjian itu bernilai kira-kira AS$1.25 bilion ($1.6 bilion).
Sebagai sebahagian daripada MOU itu, Indonesia mungkin membeli sekurang-kurangnya 800,000 tan gandum daripada Amerika pada 2025, berbanding 740,000 tan pada 2024, dan sekurang-kurangnya satu juta tan setiap tahun mulai 2026, kata Encik Welirang lagi.
Setakat ini, hanya Britain dan Vietnam berjaya mencapai perjanjian awal dengan Washington, sekali gus mengelak dikenakan tarif baru.
Pakar ekonomi dari Universiti California, Profesor Christopher Meissner, memberi amaran bahawa tarif yang dicadangkan akan memberi kesan yang tidak seimbang kepada perniagaan kecil dan pengguna.
“Semua negara tersebut bakal berdepan tarif yang lebih tinggi di bawah cadangan semasa. Dan produk-produk itu pasti akan dijual pada harga yang jauh lebih mahal dalam masa terdekat disebabkan tarif tersebut. Saya tidak nampak jalan lain untuk mengelakkannya,” tambah beliau. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg