Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cari rezeki baiki kasut rosak dek perang di Gaza

Feb 2, 2024 | 12:44 PM
Encik Ahmed Hothot membaiki kasut dan selipar pelanggannya yang rosak  di gerai tepi jalan di Rafah, selatan Gaza.
Encik Ahmed Hothot membaiki kasut dan selipar pelanggannya yang rosak di gerai tepi jalan di Rafah, selatan Gaza. - Foto REUTERS

GAZA: Dengan Gaza sebahagian besarnya musnah dek perang antara Israel dengan Hamas, kebanyakan penduduk kehilangan tempat tinggal dan hidup melarat tetapi mereka tidak berserah pada nasib.

Seorang penduduk, Encik Ahmed Hothot, misalnya giat berusaha mencari rezeki dengan menjahit kasut dan selipar para penduduk yang rosak atau koyak.

Permintaan bagi khidmatnya agak tinggi kerana ramai daripada penduduk Palestin tidak mampu membeli kasut baru yang dijual dengan harga tinggi di Gaza.

Kasut-kasut yang mereka pakai mudah dan cepat rosak kerana banyak berjalan kaki dalam lumpur, jalan raya yang rosak dan puing-puing bangunan yang runtuh.

“Kami meninggalkan Bandar Gaza dengan berjalan kaki begitu jauh dan kami tidak membawa apa-apa. Tiada pakaian mahupun selipar. Kami tinggal sebentar di Khan Younis dan kemudian kami dipindahkan ke sini ke Rafah,” kata Encik Ahmed Haboosh ketika meminta Encik Hothot membaiki seliparnya yang putus.

Encik Haboosh telah membeli sepasang selipar terpakai kerana yang baru terlalu mahal dan beliau membawanya ke gerai tepi jalan Encik Hothot untuk dibaiki.

“Sebelum perang pelanggan tak ramai tetapi sekarang saya kena kerja keras dan kerja lebih masa kerana penduduk hanya mampu membaiki kasut daripada membeli yang baru,” kata Encik Hothot.

Perang meletus pada 7 Oktober apabila Hamas menyerang selatan Israel yang membunuh 1,200 orang dan menawan 240 yang lain sebagai tebusan. Serangan balas Israel di Gaza telah embunuh lebih 27,000 rakyat Palestin.

“Pelanggan membawa selipar yang rosak sama sekali dan saya cuba membaikinya sedaya upaya. Menjahit memerlukan jarum biasa dan penusuk. Semuanya secara manual,” tambah Encik Hothot.

Bagi Cik Um Wadith Abu Aser, mencari kasut yang sesuai untuk anak-anaknya adalah penting kerana mereka berjalan dalam lumpur di kawasan perkhemahan pelarian di Rafah, tempat perlindungan keluarganya dan ratusan ribu rakyat Palestin yang lain.

Anak-anaknya pernah berkaki ayam selepas kasut lama mereka koyak ketika melarikan diri daripada pengeboman Israel.

Tetapi mereka terjumpa beberapa selipar lama yang dapat dibaiki oleh tukang kasut. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg