Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cebu dilanda gempa bumi, lebih 60 terkorban

Pemerintah Filipina gegas gerakkan agensi cari mangsa, pulihkan bekalan elektrik dan air
Oct 1, 2025 | 5:26 PM
Filipina, Cebu, gempa bumi, earthquake, angka kematian
Pasukan penyelamat mencari tiga orang yang dilaporkan hilang di bawah runtuhan bangunan di bandar Bogo pada 1 Oktober, selepas gempa bumi sekuat 6.9 magnitud menggegarkan tengah Filipina, yang sehingga kini telah mengorbankan 69 orang di pulau Cebu. - Foto AFP

CEBU (Filipina): Angka kematian akibat gempa bumi berukuran 6.9 magnitud yang melanda dekat Cebu di tengah Filipina meningkat kepada sekurang-kurangnya 69 orang, kata seorang pegawai bencana pada 1 Oktober.

Ini ketika pemerintah bergegas menggerakkan agensi mencari mangsa yang terselamat serta memulihkan bekalan elektrik dan air.

Di bandar Bogo di utara wilayah Cebu, yang terletak berhampiran pusat gempa bumi cetek yang melanda pantai sebelum 10 malam pada 30 September, hospital di situ sesak dengan mangsa yang cuba mendapatkan rawatan, kata pegawai Pertahanan Awam, Encik Raffy Alejandro, kepada pemberita.

Cik Jane Abapo, seorang pegawai maklumat di pejabat Pertahanan Awam wilayah, berkata angka kematian 69 orang itu berdasarkan data dari pejabat bencana wilayah Cebu dan tertakluk kepada pengesahan.

Seorang lagi pegawai berkata lebih 150 orang dilaporkan cedera.

Presiden Ferdinand Marcos Jr menyeru mangsa yang terselamat supaya mendapat bantuan segera dan Setiausaha Kabinet berada di lapangan untuk mengarahkan operasi bantuan.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada mereka yang kehilangan orang tersayang.

Gegaran itu merobohkan atau merosakkan sekurang-kurangnya 22 bangunan di seluruh Filipina tengah, termasuk empat yang runtuh.

Tiga bangunan pemerintah pula rosak, enam jambatan dan sebatang jalan raya tidak dapat dilalui.

Wilayah Cebu, salah satu destinasi pelancongan paling popular di Filipina, diduduki 3.4 juta orang.

Lapangan Terbang Antarabangsa Mactan-Cebu, pintu masuk kedua paling sibuk di negara ini, kekal beroperasi.

Satu lagi bandar yang dilanda teruk, San Remigio, diletakkan di bawah status bencana – memerlukan respons dan bantuan segera.

Naib Mayor, Encik Alfie Reynes, merayu sumbangan makanan dan air untuk mangsa yang dipindahkan, serta kelengkapan berat untuk membantu pekerja mencari dan menyelamat menjalankan operasi.

“Hujan lebat dan tiada bekalan elektrik, jadi kami amat memerlukan bantuan terutama di bahagian utara kerana kekurangan air selepas sumber bekalan rosak akibat gempa bumi,” katanya kepada radio DZMM.

Agensi pemantauan gempa bumi telah menetapkan kedalaman gempa sekitar 10 kilometer dan merekodkan beberapa gegaran susulan, yang paling kuat pada 6 magnitud.

Namun, agensi pemantau lain berkata tiada ancaman tsunami susulan gempa itu.

Seorang pegawai penyelamat, Encik Teddy Fontillas, 56 tahun, menyatakan beberapa pesakit terpaksa dipindahkan ke hospital lain kerana hospital di Bogo sudah sesak.

Gabenor wilayah Cebu, Cik Pamela Baricuatro, dalam laman Facebook rasminya, berkata:

“Oleh kerana jumlah pesakit yang mengalami kecederaan serius begitu tinggi, kakitangan perubatan terpaksa merawat sebahagian daripada mereka di luar hospital.”

Pemerintah wilayah Cebu merayu agar lebih ramai sukarelawan perubatan tampil membantu selepas gempa itu.

Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina berkata wilayah itu telah digegarkan oleh 379 gempa susulan. – AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg