Topic followed successfully
Go to BHkuCengkaman Iran di Selat Hormuz tertumpu pada pulau strategik
Cengkaman Iran di Selat Hormuz tertumpu pada pulau strategik
Pulau Qeshm, Larak, Abu Musa serta Kepulauan Tunb jadi benteng kawal maritim Iran
Cengkaman Iran di Selat Hormuz tertumpu pada pulau strategik
TEHERAN: Dalam konflik antara Amerika Syarikat-Israel dengan Iran, Selat Hormuz muncul sebagai titik paling kritikal yang menentukan bukan sahaja hala tuju peperangan, bahkan juga kestabilan ekonomi sejagat.
Laluan sempit itu mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia, menjadikannya antara selat tenaga paling penting dan sesak di dunia.
Namun, kawalan terhadap selat itu tidak hanya bergantung pada kapal perang atau rondaan laut.
Sebaliknya, ia ditentukan oleh rangkaian pulau strategik yang dimiliki Iran di sepanjang dan sekitar laluan tersebut.
Pulau seperti Qeshm, Larak, Abu Musa serta Kepulauan Tunb berfungsi sebagai pos barisan hadapan ketenteraan yang membolehkan Teheran mengawal pergerakan kapal dengan pantas dan berkesan.
Dalam keadaan ini, Selat Hormuz bukan sekadar laluan perdagangan, malah, ia telah berubah menjadi alat tekanan geopolitik utama.
Iran memanfaatkan gabungan kelebihan geografi dan ketenteraan untuk mengukuhkan pengaruhnya di kawasan tersebut.
Dengan kehadiran pangkalan tentera di pulau utama serta di pesisir pantai, Iran mampu melancarkan serangan menggunakan dron, peluru berpandu antikapal dan bot serangan pantas dalam masa singkat.
Pendekatan itu memberikan kelebihan asimetri kepada Iran.
Walaupun berdepan dengan kekuatan tentera Amerika yang jauh lebih besar, Teheran tidak perlu menguasai seluruh kawasan laut.
Sebaliknya, cukup dengan mengancam laluan sempit, Iran mampu menjejas keseluruhan aliran perdagangan tenaga sejagat.
Lebih penting, Iran masih membenarkan beberapa kapal melalui laluan tertentu, menunjukkan bahawa kawalan itu bersifat terpilih dan strategik, bukan sekadar penutupan mutlak.
Dalam usaha membuka semula Selat Hormuz, Amerika Syarikat kini mempertimbangkan operasi ketenteraan terhadap pulau strategik Iran.
Antara sasaran utama adalah Pulau Kharg, pusat eksport minyak terbesar Iran yang menyumbang sekitar 90 peratus eksport minyak negara itu.
Namun, sebarang operasi ketenteraan di kawasan tersebut bukan sahaja rumit, malah turut berisiko tinggi.
Untuk mencapai Pulau Kharg, pasukan amfibia Amerika perlu merentasi kira-kira 800 kilometer ke dalam Teluk Parsi, satu perjalanan yang terdedah kepada serangan dari pelbagai arah.
Penganalisis pertahanan dari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, Encik Mark F. Cancian, memberi amaran operasi sedemikian sangat berbahaya.
“Itu akan menjadi sangat berisiko,” katanya, sambil menambah, usaha membuka semula selat mungkin perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang pendaratan.
Pandangan itu mencerminkan realiti bahawa operasi darat bukan sahaja melibatkan risiko taktikal, bahkan juga risiko strategik yang lebih besar.
Menurut penganalisis dari Institut Washington bagi Dasar Asia Barat, Encik Farzin Nadimi, Amerika tidak boleh hanya menawan satu atau dua pulau untuk menguasai Selat Hormuz.
Sebaliknya, keseluruhan rangkaian pulau perlu dikuasai bagi mengurangkan keupayaan Iran melancarkan serangan.
“Mereka perlu mengambil semuanya,” katanya, merujuk pada pulau seperti Qeshm, Larak, Abu Musa dan Kepulauan Tunb.
Ia menunjukkan kawalan terhadap selat bukan satu operasi terhad, bahkan, memerlukan komitmen ketenteraan yang besar dan berpanjangan.
Lebih mencabar, banyak kemudahan ketenteraan Iran di pulau itu dibina dalam bentuk terowong dan pangkalan bawah tanah yang sukar dimusnahkan, walaupun menggunakan bom penembus bunker.
Walaupun Amerika berjaya menawan pulau tersebut, persoalan utama adalah sama ada operasi itu benar-benar akan membuka semula laluan perdagangan.
Pakar keselamatan dari King’s College London, Dr Andreas Krieg, menegaskan kejayaan ketenteraan tidak semestinya menjamin keyakinan pasaran.
“Anda perlu meyakinkan pelaut, syarikat perkapalan dan syarikat insurans bahawa laluan itu selamat,” katanya.
Dalam konteks ekonomi sejagat, persepsi keselamatan sama penting dengan keselamatan sebenar.
Tanpa keyakinan tersebut, kapal dagang mungkin masih enggan melalui selat walaupun ia secara teknikal dibuka semula.
Selain itu, jika Amerika memilih mengekalkan kawalan ke atas pulau-pulau tersebut, mereka perlu menghadapi serangan berterusan dari Iran.
Ini berpotensi menukar konflik kepada perang pergeseran jangka panjang.
Dr Krieg memberi amaran Iran mungkin akan menggunakan strategi itu untuk memberi tekanan kepada Amerika.
“Apa yang mereka mahukan adalah korban maksimum di pihak Amerika, kerana itu boleh mengubah pendapat awam di Amerika Syarikat,” katanya.
Ini menunjukkan Iran mungkin tidak perlu menang dari sudut ketenteraan, tetapi cukup dengan meningkatkan kos politik bagi Washington.
Dari sudut ekonomi, Pulau Kharg mempunyai kepentingan luar biasa.
Sebahagian besar eksport minyak Iran bergantung pada pulau itu, menjadikannya sasaran utama dalam strategi Amerika.
Penganalisis Encik Behnam Ben Taleblu, dari Yayasan untuk Pertahanan Demokrasi menyifatkan pulau tersebut sebagai “titik lemah utama dalam prasarana eksport minyak rejim Iran”.
Namun, serangan terhadap Kharg juga membawa risiko besar.
Selain pertahanan ketenteraan, pulau itu dipenuhi dengan kemudahan minyak yang mudah terbakar, sekali gus meningkatkan kemungkinan kerosakan besar dan bencana alam sekitar.
Lebih membimbangkan, Iran mungkin memilih strategi ‘scorched-earth’, iaitu memusnahkan sendiri kemudahan tersebut bagi mengelakkan ia jatuh ke tangan musuh.
Ini akan memberi kesan besar kepada pasaran tenaga sejagat.
Konflik di Selat Hormuz menunjukkan perang moden tidak lagi bergantung pada skala tentera semata-mata, tetapi kepada kawalan titik strategik yang kecil tetapi kritikal.
Pulau-pulau Iran mungkin kelihatan kecil di peta, tetapi kesannya terhadap ekonomi sejagat amat besar.
Kawalan ke atas kawasan itu memberi Iran leveraj atau ‘pengaruh’ yang signifikan, walaupun berdepan kuasa ketenteraan yang lebih besar.
Dalam masa yang sama, pilihan Amerika untuk melancarkan operasi darat membawa risiko sukar dijangka, termasuk jumlah korban yang tinggi, konflik berpanjangan dan kegagalan mencapai matlamat strategik.
Apa yang jelas, Selat Hormuz kini bukan sekadar laluan perdagangan, malah, lambang realiti baharu geopolitik bahawa kuasa tidak lagi hanya ditentukan oleh siapa yang paling kuat, tetapi siapa yang mengawal titik paling kritikal.
Seperti yang dipaparkan oleh Encik Taleblu dalam analisis berhubung konflik itu bahawa, “sebuah pulau kecil boleh menentukan nasib ekonomi dunia”. – Agensi berita.

