Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CEO Tesla, PM Srettha bincang peluang labur di Thailand

Sep 20, 2023 | 3:35 PM
PELUANG PELABURAN: Ketua Pegawai eksekutif (CEO) Tesla, Encik Elon Musk, bakal membincangkan peluang pelaburan di Thailand menerusi telesidang di New York, Amerika Syarikat.
PELUANG PELABURAN: Ketua Pegawai eksekutif (CEO) Tesla, Encik Elon Musk, bakal membincangkan peluang pelaburan di Thailand menerusi telesidang di New York, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

BANGKOK: Menyusuli perbincangan tokoh perniagaan Encik Elon Musk dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo baru-baru ini, Encik Musk kini menghalakan ‘radarnya’ ke sebuah lagi negara di Asia Tenggara – Thailand.

Ini selepas Perdana Menteri baru Thailand, Encik Srettha Thavisin, mengumumkan bahawa beliau akan membincangkan potensi peluang pelaburan di negaranya dengan Encik Musk yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla.

Rundingan itu akan berlangsung melalui telesidang antara Encik Musk dengan Encik Srettha berserta delegasinya yang kini menghadiri Sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA78) di New York, Amerika Syarikat.

Media Bangkok melaporkan bahawa langkah strategik itu mempamerkan keinginan Thailand menjadikan negara tersebut sebagai destinasi utama untuk pelaburan teknologi, terutamanya dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) yang pesat berkembang.

Encik Srettha mendedahkan bahawa kerajaan Thailand sedang berusaha untuk menarik pelabur asing dan akan bertemu dengan eksekutif daripada syarikat gergasi seperti Microsoft, Google dan Tesla.

“Elon Musk kini telah menerima undangan untuk menghadiri perbincangan dengan delegasi kerajaan Thailand melalui telesidang,” tambahnya.

Para eksekutif berprofil tinggi dari Microsoft, BlackRock, JP Morgan dan Estee Lauder juga telah menerima undangan ke persidangan tersebut.

Delegasi Thailand yang berada di New York itu akan membentangkan pelbagai peluang pelaburan yang terdapat di negara tersebut dengan Encik Srettha menekankan perkhidmatan penjagaan perubatan sebagai bidang yang berpotensi menarik minat pelabur.

Dalam pada itu, perjanjian Tesla dengan Malaysia untuk membuka ibu pejabat serantaunya di Cyberjaya, Selangor, meletakkan Tesla sebagai syarikat kenderaan pertama yang berjaya untuk mendapatkan sokongan di bawah inisiatif Peneraju Sejagat Kenderaan Elektrik Bateri Malaysia yang dilancarkan pada Mac lalu.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Malaysia untuk menjadikan negaranya sebagai hab serantau bagi industri EV. Perkara itu kemudiannya disahkan pada Julai, susuli pertemuan antara Datuk Anwar dengan Encik Musk sendiri.

Pelaburan Tesla di Malaysia itu dikatakan merupakan suatu tamparan bagi Indonesia untuk menguasai industri EV di rantau Asia Tenggara.

Indonesia telah bertahun-tahun cuba memikat Tesla untuk melabur dalam pembuatan bateri dan pengilangan kereta di negara itu dengan memanfaatkan rizab nikelnya yang kaya dan boleh diproses untuk digunakan dalam bateri EV.

Encik Jokowi secara peribadi telah terbang ke Texas pada Mei 2022 untuk bertemu dengan Encik Musk bagi membincangkan peluang pelaburan dalam EV di Indonesia. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg