KLANG: Lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi dan peluang menjana pendapatan lebih baik untuk belia adalah antara faedah yang dijangka dibawa oleh Tesla kepada Selangor, kata Menteri Besar Amirudin Shari.
Keputusan syarikat kenderaan elektrik itu untuk membuka pejabat di negeri itu dijangka menggalakkan lebih banyak syarikat antarabangsa yang terlibat dalam teknologi bateri untuk melabur di Selangor, tambahnya.
Langkah Tesla itu bukan sahaja penting untuk industri automobil tetapi juga untuk penggunaan bateri tenaga bersih dalam pengangkutan awam seperti kereta api, bas dan van, katanya.
Datuk Seri Amirudin berkata ia juga selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pelabur tempatan dan asing yang akan menyediakan pekerjaan bergaji tinggi.
“Ia juga akan meningkatkan minat generasi muda untuk meneruskan kerjaya dalam bidang teknologi tinggi, khususnya dalam industri tenaga bersih,” katanya.
Kenyataannya dibuat selepas pertemuan maya Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan ketua pegawai eksekutif Tesla Elon Musk pada hari Jumaat. Selepas itu, Datuk Seri Anwar mengumumkan bahawa syarikat itu akan menubuhkan operasi di Selangor pada 2023.
Keputusan Tesla mencerminkan keyakinan pelabur terhadap pentadbiran negeri, kata Encik Amirudin, sambil menambah bahawa syarikat itu dijangka menubuhkan ibu pejabat, pusat perkhidmatan dan pusat pengalaman.
Pada awal tahun ini, Malaysia meluluskan permohonan pembuat kenderaan elektrik (EV) Tesla untuk mengimport EV yang dikendalikan bateri ke Malaysia.
Encik Amirudin menambah bahawa daerah Sepang dan Petaling telah dikenal pasti sebagai lokasi untuk kemudahan Tesla dan pihak berkuasa tempatan bersedia untuk memudahkan kemasukannya. – THE STAR/ASIA NEWS NETWORK.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg