Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

China bincang jual TikTok Amerika kepada Elon Musk

Jan 14, 2025 | 4:36 PM
Pegawai kanan China telah mula membincangkan pelan luar jangkaan untuk TikTok sebagai sebahagian daripada perbincangan luas tentang cara bekerjasama dengan pentadbiran bakal presiden Amerika Syarikat, Encik Encik Donald Trump.
Pegawai kanan China telah mula membincangkan pelan luar jangkaan untuk TikTok sebagai sebahagian daripada perbincangan luas tentang cara bekerjasama dengan pentadbiran bakal presiden Amerika Syarikat, Encik Encik Donald Trump. - Foto REUTERS

BEIJING/SAN FRANCISCO: Pegawai China sedang menilai kemungkinan melibatkan Encik Elon Musk, jutawan, yang juga penasihat rapat kepada bakal presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump, untuk memperoleh operasi TikTok di Amerika.

Langkah ini menjadi pilihan jika syarikat itu gagal menghalang larangan yang menimbulkan kontroversi terhadap aplikasi video pendek tersebut, lapor sumber yang dekat dengan isu itu.

Pegawai Beijing amat berharap TikTok kekal di bawah milik syarikat utama, ByteDance.

Syarikat tersebut sedang mencabar larangan yang bakal dikuatkuasakan dengan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Agung Amerika.

Namun, pada 10 Januari, kalangan hakim menyatakan mereka mungkin akan menyokong undang-undang yang melarang TikTok.

Pegawai kanan China telah mula membincangkan pelan untuk TikTok, termasuk kemungkinan melibatkan Encik Musk.

Perjanjian dengan sekutu rapat Encik Trump menarik minat pemerintah China, yang dijangka mempunyai peranan dalam keputusan akhir mengenai penjualan TikTok.

Encik Musk membelanjakan lebih AS$250 juta ($342.45 juta) untuk menyokong pencalonan semula Encik Trump, dan beliau dipilih untuk memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan pemerintah selepas Encik Trump mengambil alih jawatan.

Salah satu senario yang dibincangkan oleh pemerintah China ialah media sosial Encik Musk, dikenali sebagai X (sebelum ini Twitter) akan mengawal TikTok Amerika dan menguruskan kedua-dua perniagaan bersama. 

Dengan lebih 170 juta pengguna di Amerika, TikTok boleh membantu X menarik lebih banyak pengiklan.

Pegawai China masih belum mencapai sebarang kesepakatan mengenai langkah seterusnya dan perbincangan mereka masih di peringkat awal.

Pada April 2024, Encik Musk menulis bahawa beliau berpendapat TikTok sepatutnya kekal tersedia di Amerika.

“Pada pendapat saya, TikTok tidak sepatutnya diharamkan di Amerika, walaupun larangan itu mungkin menguntungkan platform X,” tulisnya di X.

“Melakukan demikian adalah bertentangan dengan kebebasan bersuara dan ekspresi. Itu bukanlah prinsip yang dipegang oleh Amerika,” tambah beliau.

Pentadbiran Siber China dan Kementerian Perdagangan China tidak memberi komen mengenai masa depan TikTok.

Perbincangan di Beijing menunjukkan TikTok mungkin tidak lagi dikawal sepenuhnya oleh ByteDance.

Pegawai China menyedari mereka akan menghadapi rundingan sukar dengan pentadbiran Encik Trump dan melihat perbincangan TikTok sebagai peluang untuk berdamai.

Pemerintah China memegang “saham emas” dalam anak syarikat ByteDance dan berpengaruh ke atas strategi syarikat.

TikTok mengatakan kawalan itu hanya melibatkan anak syarikat di China, Douyin Information Service Co, dan tidak menjejas operasi di luar China. 

Pemerintah China perlu meluluskan sebarang penjualan TikTok, memberi mereka kuasa dalam perjanjian tersebut.

Menurut anggaran penganalisis Bloomberg Intelligence, Encik Mandeep Singh dan Encik Damian Reimertz, pada 2024, operasi TikTok di Amerika mungkin bernilai sekitar AS$40 bilion hingga AS$50 bilion.

Jumlah itu sangat besar, walaupun untuk orang terkaya di dunia.

Tidak jelas bagaimana Encik Musk dapat melaksanakan transaksi tersebut.

Beliau membayar AS$44 bilion untuk Twitter pada 2022 dan masih membayarnya.

Encik Musk mempunyai reputasi positif dalam kalangan ramai pekerja ByteDance di China.

Beliau dianggap sebagai usahawan yang sangat berjaya dan berpengalaman berurusan dengan pemerintah China melalui perniagaan Tesla Inc.

Pemimpin ByteDance berulang kali menyatakan bahawa keutamaan mereka adalah untuk menentang perundangan Amerika yang mengarahkan syarikat yang berpusat di Beijing itu agar menjual atau menutup operasi mereka di Amerika kerana bimbang soal keselamatan negara.

Peguam TikTok berhujah bahawa perundangan itu melanggar kebebasan bersuara di bawah Pindaan Pertama.

Kebanyakan hakim Mahkamah Agung menyatakan kebimbangan tentang keselamatan negara lebih penting, tetapi keputusan rasmi belum dikeluarkan.

Encik Trump, yang bakal memegang jawatan pada 20 Januari, meminta penangguhan larangan TikTok yang akan berkuat kuasa pada 19 Januari untuk meneruskan rundingan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg