PALM BEACH (Amerika Syarikat): Dalam sidang akhbar pertamanya sejak menang pilihan raya yang diadakan pada November, bakal Presiden Donald Trump menyentuh soal perang Ukraine, dron misteri yang terbang di New Jersey, masa depan TikTok dan tindakan undang-undang terhadap media yang dibencinya.
Encik Trump yang mempamerkan sikap keterlaluan dan keberanian di Rumah Putih dalam penggal pertamanya dari 2017 hingga 2021, membuat pengumuman mengenai ekonomi dan menjawab soalan selama lebih sejam dalam sidang akhbar di pusat peranginan, Mar-a-Lago, di Florida pada 16 Disember.
Beliau sempat bergurau dengan wartawan – tidak seperti retorik gelap dan menunjukkan kemarahan semasa tempoh berkempen sebelum ini.
Encik Trump menjawab soalan mengenai Ukraine dan Israel, tetapi enggan menyatakan sama ada beliau telah bercakap dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin; atau sama ada beliau akan menyokong serangan tentera ke atas Iran.
Beliau kelihatan lebih bijak, ceria dan agak sedikit hairan tentang tempat barunya di Washington, kagum dengan para pemimpin asing yang bertali arus mengucapkan tahniah kepadanya dan para Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pula bergegas bertemu dengannya.
Dalam pada itu, Encik Trump pada 16 Disember kalah dalam usaha untuk membatalkan sabitan jenayahnya yang berpunca daripada wang rahsia yang dibayar kepada pelacur berikutan keputusan Mahkamah Agung Amerika pada Julai yang mengiktiraf kekebalan daripada pendakwaan.
Penafian Hakim Juan Merchan terhadap usul Encik Trump untuk menolak kes negeri New York, menutup laluan untuk presiden yang dipilih daripada Republikan itu memasuki Rumah Putih pada 20 Januari bagi penggal kedua empat tahunnya tanpa sabitan jenayah.
Peguam Encik Trump secara berasingan cuba membatalkan keputusan itu atas alasan berasingan ekoran kekalahan Naib Presiden Demokrat, Cik Kamala Harris, dalam pilihan raya pada 5 November.
Hakim Merchan belum memutuskan usul itu.
Dalam keputusan 41 muka suratnya, Hakim Merchan memihak kepada pejabat Peguam Daerah Manhattan, Encik Alvin Bragg, yang mengemukakan kes tersebut.
Pihak pendakwa raya berhujah kes mereka berkaitan dengan perilaku peribadi Encik Trump, bukan tindakan rasminya sebagai Presiden.
Hakim berkata pendakwaan ke atas Encik Trump bersabit dengan “perbuatan peribadi memalsukan rekod perniagaan tidak menimbulkan bahaya pencerobohan ke atas kuasa dan fungsi cabang eksekutif”.
Dalam satu kenyataan, jurucakap Encik Trump, Encik Steven Cheung, menyebut keputusan Hakim Merchan sebagai “pelanggaran langsung terhadap keputusan Mahkamah Agung mengenai imuniti”. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg