Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

China dakwa rangkaian risikan Manila dimusnah, tiga warga Filipina ditahan

Apr 3, 2025 | 2:56 PM
Foto fail tangkap layar daripada rakaman video yang diambil dan dikeluarkan pada 31 Ogos 2024 oleh Pengawal Pantai Filipina (PCG) menunjukkan sebuah kapal Pengawal Pantai China (kiri) melanggar kapal Pengawal Pantai Filipina BRP Teresa Magbanua berhampiran Terumbu Sabina di perairan  Laut China Selatan yang dipertikaikan.
Foto fail tangkap layar daripada rakaman video yang diambil dan dikeluarkan pada 31 Ogos 2024 oleh Pengawal Pantai Filipina (PCG) menunjukkan sebuah kapal Pengawal Pantai China (kiri) melanggar kapal Pengawal Pantai Filipina BRP Teresa Magbanua berhampiran Terumbu Sabina di perairan Laut China Selatan yang dipertikaikan. - Foto AFP

BEIJING: China mendakwa telah mematahkan satu rangkaian risikan yang didakwa dibentuk oleh agensi perisikan Filipina serta menahan tiga individu yang disyaki sebagai perisik dari negara itu.

Pengumuman ini dibuat pada 2 April ketika ketegangan semakin memuncak antara Beijing dan Manila berhubung pertikaian wilayah di Laut China Selatan serta hubungan keselamatan Filipina yang semakin erat dengan Amerika Syarikat.

Menurut laporan penyiar rasmi China, CCTV, salah seorang daripada suspek adalah warganegara Filipina yang telah lama menetap dan bekerja di China. Beliau didakwa menjalankan aktiviti perisikan berhampiran kemudahan tentera dan telah ditahan bersama dua lagi suspek yang dipercayai turut terlibat dalam jaringan tersebut.

Rakaman video penahanan dan pengakuan yang dirakam juga ditayangkan, dengan suspek utama mengaku bahawa beliau telah direkrut oleh perkhidmatan risikan Filipina untuk “menggunakan kedudukannya sebagai penduduk jangka panjang di China bagi mengumpulkan maklumat sensitif, terutamanya mengenai penempatan tentera.”

“Dia kerap menghampiri kawasan kem tentera dan melakukan pemantauan serta rakaman secara rahsia,” kata laporan CCTV.

Ketiga-tiga individu itu didakwa telah direkrut sejak tahun 2021 dan menerima bayaran secara berkala atas peranan mereka dalam rangkaian tersebut.

“Mereka bukan sahaja menghantar bahan video yang berkait dengan ketenteraan, malah membantu agensi risikan Filipina mengenal pasti dan merekrut individu baru untuk memperluaskan operasi perisikan di China,” kata seorang pegawai keselamatan negara China yang dipetik oleh CCTV.
“Maklumat sulit yang diberikan kepada pihak asing telah menyebabkan kerosakan serius terhadap keselamatan negara dan kepentingan China,” tambahnya lagi.

Tangkapan ini berlaku hanya dua hari selepas Kedutaan China di Manila mengeluarkan amaran perjalanan kepada warganegaranya, mendakwa berlaku gangguan berulang kali oleh pihak berkuasa penguat kuasa undang-undang Filipina.

Sementara itu, pihak berkuasa Filipina belum memberikan sebarang komen rasmi terhadap dakwaan ini.

Ketegangan yang meningkat ini turut mencerminkan kerapuhan hubungan diplomatik kedua-dua negara di tengah-tengah perebutan wilayah dan campur tangan kuasa besar. Seorang pemerhati geopolitik dari Universiti Tsinghua berkata, “Kegiatan perisikan ini, sama ada benar atau dijadikan alasan, mencerminkan betapa seriusnya pergeseran antara China dan Filipina sekarang.”
“Jika keadaan ini tidak dikawal, ia boleh memburukkan lagi konflik serantau yang sedia tegang,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg