MANILA: Imej satelit yang diperoleh Reuters pada 28 November menunjukkan pengumpulan banyak kapal awam China berhampiran Pulau Thitu, lokasi pemantau utama Manila di Laut China Selatan, namun pegawai kanan tentera laut Filipina berkata ia “bukan sebab untuk perlu dikhuatiri”.
Salah satu imej yang diambil oleh Maxar Technologies pada 25 November dan diteliti Reuters menunjukkan kira-kira 60 kapal, berada dalam jarak dua batu nautika dari Thitu, pulau strategik yang digunakan Manila untuk memantau kapal dan pesawat China di laluan maritim yang sibuk itu.
Ketua Komand Barat Filipina, Naib Laksamana Alfonso Torres, berkata adalah perkara biasa bagi kapal ‘militia maritim’ berkumpul di kawasan itu.
Manila, Pentagon dan diplomat asing berkata kapal sedemikian bekerjasama dengan pengawal pantai dan tentera laut China untuk mengukuhkan kehadiran Beijing di perairan yang dipertikaikan.
Jurucakap Tentera Laut Filipina, Laksamana Muda Roy Trinidad, juga berkata kapal militia maritim sentiasa berada di kawasan itu, sambil menambah bahawa Manila menyedari “kehadiran secara haram” kapal-kapal itu tetapi berkata ia bukan satu kejutan.
“Kami tidak perlu membaca setiap tindakan dan bertindak balas terhadapnya... Apa yang penting bagi kami ialah mengekalkan kedudukan kami,” tegas Laksamana Muda Trinidad.
Kumpulan penjejak kapal dalam talian menunjukkan bahawa kebanyakan kapal dalam gambar satelit itu adalah kapal nelayan berdaftar China.
China tidak pernah mengesahkan ia mempunyai militia kapal awam.
Pulau itu, yang Filipina panggil Pag-Asa, adalah yang terbesar dan paling strategik bagi Manila di Laut China Selatan yang dipertikaikan, yang sebahagian besarnya dituntut China dan melalui laluan maritim itu adalah kapal yang membawa barangan bernilai berbilion dolar setiap tahun.
Keputusan pada 2016 oleh Mahkamah Timbang Tara Tetap di Hague mendapati bahawa tuntutan meluas Beijing ke atas kawasan maritim Laut China Selatan tidak mempunyai asas di bawah undang-undang antarabangsa.
Sementara itu, peningkatan kapal awam China itu berlaku selepas beberapa kes pelanggaran antara kapal pengawal pantai dengan kapal nelayan China dengan kapal Filipina, khususnya di Scarborough dan Second Thomas Shoals.
Pulau Thitu terletak berhampiran dengan pangkalan tentera laut China dan landasan di terumbu Subi, yang kadangkala berfungsi sebagai pelabuhan untuk sejumlah besar kapal militia maritim China.
“Apabila anda masuk ke sana (ke Subi), apabila keluar, anda akan melalui laut wilayah Pag-Asa,” ujar Laksamana Muda Trinidad.
Diplomat serantau dan penganalisis keselamatan memerhati perkembangan di kawasan laut itu dengan teliti, dengan beberapa menyatakan kapal China mempunyai transponder yang membolehkan pergerakan mereka dijejaki.
Sebuah hangar pesawat baru dilaporkan dijangka siap dalam beberapa minggu akan datang di Pulau Thitu, yang terbaru dalam beberapa langkah untuk menyokong kehadiran Filipina di pulau itu dan meningkatkan keupayaan pemantauan.
Ketegangan meningkat semula pada awal November apabila Amerika Syarikat dan Filipina menandatangani perjanjian keselamatan yang membolehkan kedua-dua pihak berkongsi maklumat sulit. – Reuters, AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg