Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

China ikrar bertindak balas tarif AS berkaitan fentanyl

Mar 4, 2025 | 1:45 PM
Tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat mewakili kenaikan tambahan kepada levi sedia ada ke atas beribu-ribu barangan China.
Tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat mewakili kenaikan tambahan kepada levi sedia ada ke atas beribu-ribu barangan China. - Foto REUTERS

BEIJING: Kementerian Perdagangan China pada 4 Mac menyuarakan bantahannya terhadap keputusan Amerika Syarikat untuk mengenakan tarif ke atas produk China yang berkaitan dengan fentanyl dan isu lain, sambil berikrar ia akan bertindak demi melindungi hak dan kepentingannya.

Bagi China, pentadbiran Encik Trump cuba “mengalihkan kesalahan” dan “membuli” Beijing berhubung aliran fentanyl, dadah yang digunakan sebagai ubat bius atau untuk menghilangkan sakit.

Tarif tambahan 10 peratus yang diancam oleh Encik Trump terhadap China berkuat kuasa pada 4 Mac, menjadikan jumlah tarif mencecah 20 peratus.

Langkah itu adalah tindak balas Rumah Putih terhadap apa yang dianggap sebagai kegagalan China dalam membendung pengaliran dadah tersebut.

Tarif itu mewakili kenaikan tambahan kepada levi sedia ada ke atas beribu-ribu barangan China.

Amerika sebelum ini mendakwa China membekalkan bahan kimia yang digunakan dalam penghasilan fentanyl.

Namun China menafikan sebarang salah laku.

Rumah Putih menyatakan pada 3 Mac bahawa Encik Trump telah menandatangani perintah eksekutif untuk menaikkan tarif 10 peratus yang sebelum ini dikenakan ke atas China kepada 20 peratus.

Tarif baru itu diumumkan kurang seminggu sebelum mesyuarat Parlimen tahunan China, dengan Beijing dijangka akan mengumumkan keutamaan ekonominya bagi 2025.

Pentadbiran Encik Trump menunjukkan tanda-tanda pendirian tegas terhadap pesaing strategiknya sekalipun menarik balik ancaman tarif sehingga 60 peratus ke atas China ketika Encik Trump baru menyandang semula jawatan presiden.

Akhbar China, The Global Times, melaporkan pada 3 Mac bahawa China mempunyai produk pertanian dan makanan Amerika dalam tindakan silangnya, dan akan membalas dengan kedua-dua langkah tarif dan bukan tarif.

Tabloid itu, yang dimiliki oleh Parti Komunis yang memerintah, People’s Daily, pertama kali melaporkan langkah yang dirancang Beijing sebagai tindak balas terhadap Kesatuan Eropah yang mengenakan tarif ke atas kenderaan elektrik China pada 2024.

“China telah berulang kali menyatakan bahawa tarif sehala Amerika melanggar peraturan Pertubuhan Dagangan Dunia dan menjejaskan sistem perdagangan pelbagai hala,” kata Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan.

“Langkah sedemikian tidak akan menyelesaikan masalah Amerika dan sebaliknya akan menjejas kerjasama ekonomi dan perdagangan China-Amerika serta mengganggu perdagangan antarabangsa biasa,” tambahnya.

Justeru China menggesa Amerika supaya “menarik balik serta-merta” langkah tarif sehalanya itu yang “tidak munasabah dan tidak berasas, berbahaya kepada orang lain,” tegas kementerian itu.

Dalam pada itu, Encik Trump turut berkata pada 3 Mac bahawa tarif 25 peratus ke atas barangan yang diimport dari Mexico dan Canada pula berkuat kuasa pada 4 Mac, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu tentang perang dagang di Amerika Utara.

Bercakap kepada wartawan di Bilik Roosevelt di Rumah Putih, beliau berkata: “Esok (4 Mac) tarif 25 peratus ke atas Canada dan 25 peratus ke atas Mexico. Dan ia akan dikuatkuasakan”.

Sebelum ini, Encik Trump berkata tarif tersebut adalah untuk memaksa kedua-dua negara jiran itu agar meningkatkan usaha mereka membanteras penyeludupan fentanyl ke Amerika.

Pasaran saham Amerika ditutup lebih rendah secara mendadak menyusuli komen Encik Trump itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg