WASHINGTON: China memfailkan aduan kepada Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) pada 5 Februari terhadap tarif baru 10 peratus Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, ke atas import China.
Turut diadukan ialah pembatalan terhadap pengecualian bebas cukai bagi pakej bernilai rendah dari China, dengan alasan tindakan Amerika itu bersifat “pelindung” dan melanggar peraturan WTO.
Permintaan Beijing untuk rundingan dagangan dengan Amerika dibuat ketika kekeliruan berlaku dalam kalangan pengirim dan peruncit berhubung pembatalan Encik Trump terhadap pengecualian import pakej bernilai di bawah AS$800 ($1,080) yang digunakan secara meluas oleh firma e-dagang termasuk Shein, Temu dan Amazon.
Seorang pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika berkata semua bungkusan kecil dari China dan Hong Kong perlu mempunyai catatan kastam dalam fail sebelum ketibaan dan terdapat potensi untuk beberapa kargo dihantar balik tanpa maklumat tersebut.
China berhujah bahawa tindakan Encik Trump itu bertujuan menghentikan kemasukan ubat pereda kesakitan atau opioid fentanyl dan bahan kimia berkaitan dengannya ke Amerika.
China menyatakan tindakan itu “dikenakan atas dasar dakwaan tidak berasas dan palsu mengenai negaranya”.
Ia berkata tarif itu bersifat diskriminasi, hanya terpakai kepada barangan asal China, dan tidak tekal dengan tanggungjawab Amerika kepada WTO.
Permintaan untuk rundingan adalah permulaan proses pertikaian yang boleh membawa kepada keputusan bahawa tindakan Encik Trump itu melanggar peraturan perdagangan.
Tetapi kemenangan seperti itu tidak mungkin membawa kelegaan kepada Beijing kerana Badan Rayuan WTO tidak boleh beroperasi bertahun-tahun kerana Amerika telah menyekat pelantikan hakim rayuan berhubung perkara yang dilihatnya sebagai melampaui batas kehakiman oleh badan itu.
Perkhidmatan Pos Amerika (USPS) berkata pada 5 Februari bahawa ia akan menerima semula bungkusan dari China dan Hong Kong kerana penggantungan sementara itu menjejas berjuta-juta pakej import setiap hari.
“Kami semua terkejar-kejar dalam kebingungan pada masa ini, cuba meneka apakah yang akan berlaku,” kata pengasas bersama penyedia data e-dagang rentas sempadan, Hurricane Commerce, Encik Martin Palmer.
Pentadbiran Encik Trump telah menyalahkan pengecualian terhadap ubat fentanyl dan bahan kimia berkaitan dengannya telah menyebabkan bahan-bahan itu memasuki Amerika tanpa saringan.
Laporan agensi berita Reuters baru-baru ini juga mendapati pengedar dadah mengeksploitasi pengecualian itu. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg