BEIJING/TAIPEI: Taiwan harus “menanggung akibat” kerana Pengawal Pantainya menggunakan meriam air terhadap sebuah bot nelayan China berhampiran sebuah atol di Laut China Selatan, kata jurucakap pemerintah China pada 14 Oktober, ketika Taipei melaporkan peningkatan aktiviti ketenteraan.

Sebuah kapal Pengawal Pantai Taiwan pada Oktober menembak meriam airnya, dengan berkata bot itu tidak menghiraukan amaran supaya beredar dari perairan terlarang berhampiran Kepulauan Pratas yang dikawal Taiwan.

Bot itu kemudian mengalami kerosakan enjin dan ditunda pergi oleh sebuah kapal China yang berdekatan, kata Pengawal Pantai Taiwan.

Jurucakap Pejabat Hal Ehwal Taiwan China di Beijing, Encik Chen Binhua, berkata China mempunyai “kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan” ke atas Pratas dan perairan sekitarnya.

“Kapal tanah besar yang beroperasi di perairan berkaitan adalah sah sepenuhnya dan wajar. Kami akan mempertahankan nyawa dan harta benda rakyat kami dengan tegas,” kata Encik Chen.

“Tindakan Taiwan melayan kapal tanah besar dengan kasar dan berbahaya, sehingga membahayakan nyawa dan harta benda kakitangan terbabit, ialah usaha jahat untuk mencetuskan konfrontasi rentas selat. Mereka mesti menanggung semua akibatnya,” kata Encik Chen, tanpa menghuraikan akibat tersebut. 

Seorang pegawai Taiwan berkata Pengawal Pantai menjalankan “penguatkuasaan undang-undang biasa” semasa insiden itu dan bertindak balas dengan “sangat berhati-hati dan berkadar”.

Kepulauan Pratas terletak kira-kira di antara selatan Taiwan dengan Hong Kong.

Pakar keselamatan menganggapnya terdedah kepada serangan China kerana jaraknya yang lebih 400 kilometer dari Taiwan.

China mendakwa Taiwan yang diperintah secara demokratik sebagai wilayahnya sendiri dan telah meningkatkan kehadiran tenteranya di sekitar pulau itu sejak lima tahun lalu.

Pemerintah di Taipei menolak dakwaan China.

China tidak mengiktiraf sebarang tuntutan kedaulatan oleh Taiwan, termasuk ke atas Kepulauan Pratas, dan kapal pengawal pantai China telah meningkatkan rondaan.

Taiwan berkata China semakin banyak menggunakan taktik “zon kelabu”, iaitu cara menekan Taiwan tanpa sampai ke tahap tindakan ketenteraan terbuka. 

Berucap pada sebuah forum di Taipei, Encik Lii Wen, timbalan setiausaha agung Majlis Keselamatan Negara Taiwan, berkata China menggunakan pelbagai jenis kapal yang lebih luas dalam “tindakan pencerobohan secara beransur-ansur”, termasuk bot militia dan kapal penyelidikan.

“Aktiviti zon kelabu di bawah ambang konflik menimbulkan kebimbangan serius kerana berpotensi mengganggu pengangkutan atau merosakkan infrastruktur kritikal,” tambahnya.

Kementerian pertahanan Taiwan melaporkan satu lagi “rondaan kesiapsiagaan tempur bersama” China berhampiran pulau itu pada 14 Oktober, melibatkan 13 pesawat, termasuk pejuang J-16, serta beberapa kapal tentera laut. 

Kementerian pertahanan China berkata lebih awal pada hari itu bahawa kapal induk Liaoning dan kapal pengiringnya sedang menjalankan latihan di Pasifik Barat, tetapi tidak memberikan butiran.

Pengawal Pantai Taiwan, dan bukan tentera, bertanggungjawab ke atas keselamatan harian Pratas.

Kepulauan Pratas ialah taman negara.

Ia mempunyai landasan kapal terbang tetapi tiada penduduk awam tetap. – Reuters.