Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

China tambah simpanan senjata nuklear kepada 500: AS

Oct 20, 2023 | 2:23 PM
PRESIDEN XI JINPING: Pemimpin China ini mengarahkan ketua pertahanannya untuk membangunkan tentera “bertaraf dunia” menjelang 2049.
PRESIDEN XI JINPING: Pemimpin China ini mengarahkan ketua pertahanannya untuk membangunkan tentera “bertaraf dunia” menjelang 2049. - Foto REUTERS

WASHINGTON: China telah menambah simpanan senjata nuklearnya sepanjang 2022 dan kini mempunyai kira-kira 500 senjata induk itu, kata Amerika Syarikat.

Laporan tahunan yang dikeluarkan Jabatan Pertahanan Amerika, Pentagon, juga mengatakan Beijing berharap dapat menggandakan senjatanya kepada lebih 1,000 menjelang 2030.

Tetapi ia berkata China tetap komited pada dasar “tidak mula melancarkan serangan”.

Walaupun laporan itu mengatakan pertambahan tersebut melebihi unjuran, simpanan stok China masih kecil berbanding Russia dan Amerika.

Russia mempunyai kira-kira 5,889 senjata nuklear, manakala Amerika boleh mencapai bilangan 5,244, menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm yang bebas.

Pada 2021, Pentagon menganggarkan China mempunyai sekitar 400 senjata itu.

“Kami tidak cuba mengatakan perbezaan angka yang sangat besar, tetapi kami percaya China akan mempunyai jumlah senjata itu seperti yang diunjurkan sebelum ini,” kata seorang pegawai kanan pertahanan Amerika kepada pemberita pada Khamis, sambil menambah bahawa isu itu “menimbulkan banyak kebimbangan kepada Amerika”.

Presiden China, Encik Xi Jinping telah mengisytiharkan negara itu akan membangunkan “tentera bertaraf dunia” menjelang 2049.

Sejak berkuasa pada 2012, Encik Xi berusaha memodenkan angkatan tentera negara itu.

Laporan Pentagon pada Khamis mendedahkan bahawa usaha China menambah bilangan senjata nuklearnya sekarang ialah bagi mengatasi kekurangan sebelumnya.

Pegawai Amerika berkata Beijing mungkin telah menyiapkan pembinaan tiga kelompok tapak peluru berpandu baru pada 2022.

Ini termasuk sekurang-kurangnya 300 Peluru Berpandu Balistik Antara Benua (ICBM), kata laporan tersebut.

ICBM ialah peluru berpandu balistik dengan jarak lebih 5,500 kilometer.

Pasukan roket Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) juga telah berusaha membangunkan ICBM yang “akan membolehkan Republik Rakyat China melakukan serangan konvensional terhadap sasaran di benua Amerika, Hawaii dan Alaska”, ujar laporan Amerika itu.

Analisis tersebut menyatakan walaupun terdapat pertambahan simpanan nuklearnya, China tetap “komited terhadap dasar mencegah’ melakukan serangan pertama, dan hanya akan melakukan ‘serangan balas’ apabila usaha pencegahan memulakan serangan gagal”.

Encik Henry Boyd, seorang zamil kanan di Institut Kajian Strategik Antarabangsa Henry Boyd, berkata kadar pertambahan yang dilaporkan itu tidak kelihatan “sangat luar biasa”.

Beliau juga mengakui bahawa China “bergerak lebih pantas sedikit daripada yang dianggarkan” ke arah matlamatnya yang dinyatakan, iaitu 1,000 senjata induk. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg