Topik diikuti
Pergi ke BHkuChun Sing: Perbelanjaan pertahanan saja tidak jamin keupayaan lebih baik
Chun Sing: Perbelanjaan pertahanan saja tidak jamin keupayaan lebih baik
Chun Sing: Perbelanjaan pertahanan saja tidak jamin keupayaan lebih baik
Apa yang lebih penting bukanlah berapa banyak negara membelanjakan untuk pertahanan, tetapi bagaimana wang itu digunakan, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, sambil menambah bahawa tiada kaitan secara langsung antara perbelanjaan pertahanan dengan keupayaan.
Bercakap kepada pemberita pada 31 Mei di majlis penutup Dialog Shangri-La ke-23, Encik Chan berkata apa yang penting ialah bagaimana idea inovatif dan berapa banyak manfaat yang boleh diperolehi dengan perbelanjaan yang sama atau kurang.
Negara-negara mesti berusaha sendiri untuk menjadi rakan kongsi yang boleh dipercayai dan relevan, tetapi apabila mereka meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan membangunkan lebih banyak keupayaan, mereka juga mesti meluangkan masa dan usaha untuk meyakinkan satu sama lain, tegasnya.
“Semakin kita berkuasa, semakin banyak usaha yang perlu kita lakukan untuk meyakinkan orang lain, kerana akhirnya, dalam sektor pertahanan, orang ramai bukan sahaja melihat keupayaan tetapi juga niatnya,’’ ujar beliau.
Menurutnya, negara membelanjakan jumlah yang berbeza dan menggunakan perbelanjaan mereka secara berbeza.
“Sesetengah negara mengeluarkan banyak perbelanjaan, tetapi mereka tidak meraih keupayaan yang sepadan,” jelas beliau.
Sebaliknya, adalah penting untuk berbelanja secara konsisten bagi membangunkan “keupayaan sebenar”, terutamanya dalam modal insan, tambah Encik Chan.
“Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk melatih juruterbang, kelasi dan sebagainya. Ia mengambil masa lebih lama lagi untuk kita membangunkan komuniti saintifik, keupayaan teknologi, bagi menterjemahkan sebahagian daripada perbelanjaan tersebut kepada keupayaan sebenar,” katanya lagi.
Isu perbelanjaan pertahanan merupakan tema dialog untuk tahun kedua berturut-turut dalam acara di Hotel Shangri-La.
Dalam ucapannya pada 30 Mei, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Pete Hegseth, berkata negaranya berikrar mengutamakan kerjasama dengan “sekutu contoh” yang telah menyahut seruannya untuk perkongsian beban keselamatan global yang lebih saksama.
Beliau memuji respons rakan kongsi Indo-Pasifik yang membelanjakan 3.5 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) mereka untuk pertahanan.
Pada edisi 2025 sidang puncak pertahanan tahunan, Encik Hegseth telah meminta sekutu Amerika di rantau ini supaya meningkatkan perbelanjaan kepada lima peratus daripada GDP.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, perbelanjaan pertahanan Singapura mencapai sekitar tiga peratus daripada GDP.
Encik Chan sebelum ini berkata Angkatan Bersenjata Singapura mempunyai sokongan awam dan politik untuk membelanjakan sehingga enam peratus daripada GDP.
