WASHINGTON: Pegawai perisikan Amerika Syarikat mempersoalkan dakwaan Israel bahawa Iran merancang untuk membunuh Presiden Donald Trump ketika beliau menghadiri sidang puncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Ankara pada Julai dengan Agensi Risikan Pusat (CIA) dilaporkan mempunyai “keyakinan rendah” terhadap maklumat tersebut.

Menurut The Washington Post, maklumat mengenai ancaman itu diberikan Israel kepada CIA, tetapi penganalisis agensi berkenaan tidak menganggap bukti yang dikemukakan cukup meyakinkan.

Penilaian itu turut disampaikan kepada pasukan Encik Trump apabila maklumat berkenaan diterima.

Seorang pegawai Amerika yang mengetahui penilaian tersebut menyifatkan maklumat itu sebagai “berasal daripada Israel, bukan dihasilkan Amerika dan dinilai mempunyai tahap keyakinan rendah”.

Bagaimanapun, Pasukan Perkhidmatan Rahsia Amerika mengambil langkah berjaga-jaga kerana Encik Trump sebelum ini beberapa kali berdepan ancaman terhadap nyawanya.

“Perkhidmatan Rahsia sudah berdepan tiga kejadian yang hampir mengancam presiden ini, jadi mereka tidak mahu mengambil sebarang risiko,’’ kata seorang pegawai risikan yang dipetik akhbar itu.

Ancaman tersebut membawa kepada operasi keselamatan luar biasa bagi membawa Encik Trump keluar dari Turkey selepas menghadiri sidang Nato di Ankara pada Julai lalu.

Menurut laporan, beliau dibawa secara rahsia dari Air Force One dan dipindahkan ke sebuah pesawat tentera di Lapangan Terbang Ankara.

Dalam usaha menyembunyikan pergerakannya, Encik Trump dilaporkan berada di dalam sebuah kenderaan katering sebelum menaiki pesawat tentera tersebut.

Beliau kemudian dibawa ke Britain sebelum menaiki pesawat Air Force C-32A untuk kembali ke Amerika.

Laporan The Wall Street Journal sebelum ini menyatakan maklumat Israel mendakwa Iran merancang menggunakan peluru berpandu mudah alih darat ke udara untuk menembak jatuh pesawat yang membawa Encik Trump.

The New York Times pula melaporkan perisikan Amerika mempunyai beberapa sumber mengenai kemungkinan rancangan untuk melancarkan peluru berpandu darat ke udara terhadap Air Force One.

Pihak berkuasa Amerika juga dilaporkan menerima maklumat mengenai seorang individu yang dipercayai memiliki peluru berpandu mudah alih di kawasan sekitar sidang Nato.

Menurut laporan itu, Iran turut dipercayai mengetahui lokasi Encik Trump di Ankara dengan sangat terperinci, termasuk tingkat hotel tempat beliau berada.

Bagaimanapun, keraguan CIA terhadap maklumat yang diberikan Israel menimbulkan persoalan mengenai tahap sebenar ancaman tersebut dan sejauh mana maklumat perisikan berkenaan dapat disahkan secara bebas.

Seorang bekas pegawai Amerika memberitahu The Washington Post bahawa amaran itu dilihat sebagai sebahagian daripada corak lebih luas dalam laporan perisikan Israel yang, menurut sesetengah pegawai, bukan sahaja bertujuan memberikan maklumat tetapi juga mempengaruhi keputusan Presiden Amerika.

Beliau berkata Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, turut diberi taklimat mengenai ancaman tersebut.

Namun, Encik Rubio dilaporkan tetap menaiki pesawat yang dikatakan menjadi sasaran, sesuatu yang menurut bekas pegawai itu menunjukkan terdapat tahap keyakinan bahawa pesawat tersebut selamat.

Persoalan mengenai maklumat perisikan Israel mendapat perhatian lebih besar sejak Amerika Syarikat menyertai Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu.

Serangan itu dilancarkan ketika Washington dan Teheran sedang berunding mengenai perjanjian nuklear baharu.

Antara alasan yang dikemukakan ketika itu ialah penilaian Israel bahawa pemerintahan Iran semakin hampir mengalami kejatuhan.

Satu laporan The New York Times sebelum ini mendakwa beberapa pegawai kanan pentadbiran Encik Trump, termasuk Encik Rubio, Pengarah CIA, Encik John Ratcliffe, dan Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Dan Caine, pernah memberi amaran bahawa Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mungkin telah “membesar-besarkan” ancaman Iran.

Perkembangan terbaru itu mendorong beberapa anggota Demokrat menuntut penjelasan lebih terperinci mengenai maklumat perisikan yang membawa kepada operasi keselamatan di Ankara.

Senator Chris Van Hollen berkata beliau mahu mengetahui sejauh mana maklumat yang diberikan Israel boleh dipercayai dan sama ada ia dapat disahkan secara bebas oleh Amerika Syarikat.

“Saya tidak ragu-ragu bahawa Iran mahu melihat presiden disingkirkan, tetapi semua ini kedengaran agak sukar dipercayai,” katanya.

Rumah Putih tidak mengulas secara langsung mengenai penilaian CIA itu.

Seorang pegawai Amerika bagaimanapun berkata Encik Trump pernah berdepan pelbagai ancaman terhadap nyawanya, termasuk dari Iran, dan pihak berkuasa mengambil setiap langkah yang diperlukan bagi menjamin keselamatannya.

“Matlamat utama Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat adalah melindungi presiden dan mereka berjaya melaksanakannya,” katanya.

Ancaman Iran terhadap Encik Trump bukan perkara baharu.

Teheran berulang kali mengancam untuk membalas dendam susulan pembunuhan komander kanan Iran, Jeneral Qassem Soleimani, dalam serangan Amerika di Iraq pada 2020 ketika penggal pertama Encik Trump sebagai presiden.

Ancaman terhadap Presiden Amerika itu turut meningkat selepas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh dalam serangan Amerika-Israel yang mencetuskan perang dengan Iran pada 28 Februari lalu.

Selain ancaman yang dikaitkan dengan Iran, Encik Trump turut menjadi sasaran beberapa rancangan pembunuhan.

Pada Julai, lapan lelaki didakwa atas tuduhan konspirasi pembunuhan dan keganasan berhubung rancangan yang didakwa menyasarkan beberapa tokoh Amerika yang mempunyai kaitan dengan Israel, termasuk Encik Trump dan Naib Presiden Encik JD Vance.

Kes terbaru mengenai ancaman di Ankara kini bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai tahap bahaya yang dihadapi Encik Trump, malah mencetuskan perdebatan lebih luas di Washington mengenai kebolehpercayaan maklumat perisikan Israel dan sejauh mana ia mempengaruhi keputusan Amerika berkaitan perang dengan Iran. – Agensi berita.