Topik diikuti
Pergi ke BHkuCuaca buruk di Amerika ragut 36 nyawa
Cuaca buruk di Amerika ragut 36 nyawa
Cuaca buruk di Amerika ragut 36 nyawa
WASHINGTON: Sebahagian negeri seperti Pennsylvania, New York, Atlantik Tengah dan Tenggara Amerika Syarikat masih di bawah pengawasan Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan setelah dilanda ribut taufan dan puting beliung yang meragut 36 nyawa pada 15 dan 16 Mac.
Dalam satu kenyataan Rumah Putih, Presiden Donald Trump berkata beliau sedang memantau puting beliung dan ribut taufan, sambil menambah “36 nyawa tidak berdosa telah terkorban dan banyak lagi kemusnahan berlaku”.
Encik Trump mengumumkan bahawa Pengawal Kebangsaan telah dikerahkan ke Arkansas dan menjanjikan bantuan kepada pegawai negeri dan tempatan.
Ribut yang melanda kawasan selatan dan barat tengah menuju ke timur berlaku pada 16 Mac.
Menurut laman web PowerOutage, lebih 340,000 pengguna terputus bekalan kuasa setakat lewat petang pada 16 Mac.
Missouri melaporkan jumlah korban terbesar dengan 12 kematian merangkumi lima daerah.
Gabenor Missouri, Encik Mike Kehoe, berkata masih ada seorang yang hilang di negeri itu, yang menyaksikan kemusnahan meluas ke 27 daerah.
Pengarah pengurusan kecemasan di Butler County Missouri, Encik Robbie Myers, memberitahu wartawan bahawa lebih 500 rumah, sebuah gereja dan kedai runcit di daerah itu musnah.
Gabenor Mississippi, Encik Tate Reeves, menerusi hantaran di X berkata enam kematian telah dilaporkan di negeri itu – satu di Covington County, dua di Jefferson Davis County dan tiga di Walthall County.
Menurut penilaian awal, 29 cedera di seluruh Mississippi dan 21 daerah mengalami kerosakan akibat dipukul ribut taufan, kata Encik Reeves.
Di Arkansas, tiga kematian dicatatkan kata Jabatan Pengurusan Kecemasan Negeri, sambil menambah bahawa terdapat 32 kecederaan.
Lapan kematian disahkan dalam nahas membabitkan lebih 50 kereta di Sherman County di Kansas, disebabkan oleh ribut debu yang teruk, kata Peronda Lebuh Raya Kansas dalam satu kenyataan.
Ramai pelancong yang cedera dibawa ke hospital tempatan.
Menurut Pusat Ramalan Cuaca Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, 39 puting beliung dilaporkan dari 14 Mac hingga tengah hari 16 Mac, tetapi jumlah itu belum disahkan. – Reuters.