Masyarakat tidak harus melakukan keganasan sebagai jalan keluar, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 14 Julai, sambil menyatakan beliau terkejut dengan berita percubaan membunuh mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, semasa satu perhimpunan kempen pilihan raya.
Dalam satu catatan di Facebook, Encik Wong berkata: “Saya terkejut mendengar tentang percubaan membunuh Encik Donald Trump.
“Saya lega mendengar laporan bahawa beliau selamat dan sedang beransur pulih dengan baik.
“Ingatan kita bersama keluarga individu yang terkorban dan mereka yang cedera serta terjejas dengan serangan yang tidak masuk akal ini.
“Kita tidak harus menggunakan kekerasan, tidak kira apa jua perbezaan pandangan.”
Encik Trump ditembak di telinga kanan semasa satu perhimpunan kempen pilihan raya Amerika pada 13 Julai di Butler, Pennsylvania, mencetuskan panik dalam kalangan hadirin di perhimpunan itu.
Akibat tembakan itu, Encik Trump mengalami pendarahan pada bahagian muka dan telinga, menurut Reuters.
Beliau dirawat di hospital sebelum meninggalkan kawasan itu.
Penembak tersebut maut ditembak, seorang hadirin di perhimpunan itu terbunuh dan dua lagi hadirin cedera, menurut satu kenyataan Perkhidmatan Risik Amerika pada hari sama.
Biro Siasatan Federal (FBI) Amerika telah mengenal pasti seorang lelaki berusia 20 tahun, Thomas Matthew Crooks, dari Pennsylvania sebagai penembak yang disyaki.
Motif penembak tersebut tidak jelas.
Pemimpin dunia lain termasuk Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi; Perdana Menteri Jepun, Encik Fumio Kishida; dan Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, turut bersuara menentang keganasan politik dan melahirkan sokongan dan simpati kepada mereka yang terjejas dengan insiden tembakan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg