JAKARTA: Penerbit jurnal di Amerika yang menerbitkan kajian terhadap dakwaan bahawa tapak arkeologi di Indonesia mungkin merupakan “piramid tertua” di dunia mengumumkan bahawa ia telah menarik balik penerbitan tersebut.
Kajian pada Oktober 2023 dalam jurnal, Archaeological Prospection, membuat dakwaan yang mengejutkan bahawa lapisan terdalam tapak Gunung Padang, kelihatan telah “dipahat” oleh manusia sehingga 27,000 tahun lalu.
Pengkritik kajian tersebut mengatakan kajian itu salah dalam menentukan kehadiran manusia di Gunung Padang berdasarkan pengukuran radio karbon tanah daripada sampel penggerudian bukan artifak.
Penerbit jurnal itu, Wiley, mengemukakan alasan yang tepat dalam notis penarikan balik yang dikeluarkan pada 18 Mac.
Gunung Padang secara meluas dianggap sebagai gunung berapi tidak aktif dan ahli arkeologi mengatakan bahawa seramik yang ditemui di sana setakat ini menunjukkan bahawa manusia telah menggunakannya selama beberapa ratus tahun atau lebih – bukan sesuatu yang hampir 27,000 tahun.
Piramid Giza di Mesir hanya berusia kira-kira 4,500 tahun.
Penarikan balik itu, berdasarkan penyiasatan berbulan-bulan.
Ia menyatakan bahawa kajian itu ‘cacat’ kerana sampel tanahnya tidak berkaitan dengan mana-mana artifak atau ciri-ciri yang boleh diinterpretasikan secara boleh dipercayai sebagai antropogenik atau ‘buatan manusia’.
Penarikan itu dibuat setelah beberapa ahli arkeologi mengecam kenyataan sekumpulan penyelidik yang mendakwa piramid purba tersembunyi di bawah Gunung Padang di Indonesia mendakwa piramid itu dibina bermula Zaman Air Batu terakhir iaitu lebih 16,000 tahun lalu.
Ini sekali gus menunjukkan Gunung Padang berkemungkinan berusia 10,000 tahun lebih tua berbanding semua monumen dan piramid Giza di Mesir serta binaan batu terkenal England, Stonehenge.
Malah pasukan penyelidik menerusi jurnal, Archaeological Prospection, itu menyatakan Gunung Padang boleh menjadi lebih dua kali ganda usia megalit – batu besar, terutama yang didirikan sebagai tugu pada zaman dahulu – purba tersebut.
Dakwaan itu menjadi tajuk utama berita seluruh dunia.
Namun, mendapat kecaman hebat daripada ramai ahli arkeologi yang menegaskan tiada satu pun bukti dikemukakan kumpulan penyelidik memberi pewajaran kesimpulan mereka mengenai zaman purba Gunung Padang.
Memetik laporan, The Guardian, pasukan arkeologi berpendapat penempatan di tapak purba itu mungkin dibina sekitar 6,000 hingga 7,000 tahun dahulu.
“Data dibentangkan dalam kertas kerja ini tidak memberi sokongan untuk kesimpulan terakhir mereka bahawa penempatan itu sudah sangat lama. Namun, itulah yang mendorong menjadi tajuk utama.
“Saya amat terkejut kertas kerja ini diterbitkan seperti sedia ada,” kata ahli arkeologi dari Universiti Cardiff, Encik Flint Dibble.
Bantahan itu memaksa pengarang jurnal, Archaeological Prospection, melancarkan siasatan segera.
Penemuan itu dilaporkan oleh pasukan penyelidik yang terdiri daripada ahli arkeologi, geofizik dan geologi yang termasuk pengarang Profesor Danny Hilman Natawidjaja dari Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional Indonesia dalam makalah yang diterbitkan dalam jurnal arkeologi antara disiplin, Archaeological Prospection itu.
“Siasatan itu boleh menangani kebimbangan dibangkitkan oleh pihak ketiga mengenai kandungan saintifik kertas kerja kami. Kami secara aktif terlibat dalam menangani kebimbangan ini,” kata pengarang utama kertas kerja, Profesor Danny.
Gunung Padang terletak di puncak gunung berapi yang sudah musnah dan dianggap sebagai tapak suci penduduk tempatan.
Gunung Padang adalah sebuah struktur berbentuk piramid yang dikelilingi tanah berteres, dihiasi batu dan dibina di atas gunung berapi yang tidak lagi aktif
Pada 1998, Gunung Padang diisytiharkan sebagai warisan budaya negara Indonesia. Pasukan pengkaji yang mendokumentasikan kajian tapak, menggerudi ke dalam pusat bumi, selain turut menggali parit dan mengambil sampel tanah.
Ia membantu penyelidik menjejaki lapisan pertama Gunung Padang, yang terletak lebih 30 meter di bawah permukaan.
Jurnal itu menjelaskan, tinjauan lapangan Gunung Padang bermula pada Oktober 2011 dan diteruskan sehingga Oktober 2014.
“Kajian ini sangat mencadangkan Gunung Padang bukanlah bukit semula jadi tetapi pembinaan seperti piramid,” kata penyelidik dalam jurnal itu.
Pasukan itu menemui Gunung Padang kebanyakannya dibuat oleh tangan dan menemui bukti struktur itu dibina secara berperingkat, mengambil masa beribu-ribu tahun.
Bahagian lama struktur piramid juga dibuat antara 14,000 dengan 25,000 tahun, ujar pasukan tersebut.
Pasukan itu juga menemui bukti ‘rongga besar’ mungkin ruang tersembunyi, dalam piramid.
Melalui penyelidikannya, pasukan itu mendapati pembinaan tertua piramid itu mungkin ‘berasal sebagai bukit lahar semula jadi sebelum dipahat dan kemudian diselubungi secara seni bina semasa tempoh glasier terakhir antara 25,000 dengan 14,000 sebelum Masihi.
Ini menjadikan Gunung Padang berusia sekurang-kurangnya 16,000 tahun.
“Gunung Padang muncul sebagai bukti yang luar biasa, berpotensi menjadi piramid tertua di dunia,” kata pasukan itu.
Sebahagian besar anggaran usianya mengunjurkan tapak tersebut adalah kurang dari 2,000 tahun, tetapi ahli geologi Indonesia, Profesor Danny berkata bahawa tapak tersebut jauh lebih tua.
Profesor Danny menarik perhatian ketika itu Presiden Indonesia, Encik Susilo Bambang Yudhoyono, yang mengarahkan supaya ditubuhkan satu pasukan khusus untuk mengkaji tentang sejarah piramid itu.
Pendedahan oleh Profesor Danny mendorong para penyelidik antarabangsa mengunjungi tapak kuno itu bagi menilai secara bebas apa yang ditulis dalam kertas kerja tersebut.
Selama ini, terdapat pertikaian pendapat dalam kalangan sarjana mengenai sifat bukit itu. Ada berpendapat, ia piramid buatan manusia, sementara yang lain mengatakan ia adalah pembentukan geologi semula jadi. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg