Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DAP selar kenyataan Hadi Awang dakwa DAP rancang musnah ketuanan Melayu, Bumiputera

Jul 10, 2023 | 1:18 PM
BIDAS KENYATAAN PAS: ADUN DAP Abdul Aziz Bari (gambar) menggesa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, supaya berhenti bermain ‘politik kamikaze’ semata-mata untuk meraih undi selepas mendakwa DAP mahu musnahkan ketuanan Melayu dan Bumiputera.
BIDAS KENYATAAN PAS: ADUN DAP Abdul Aziz Bari (gambar) menggesa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, supaya berhenti bermain ‘politik kamikaze’ semata-mata untuk meraih undi selepas mendakwa DAP mahu musnahkan ketuanan Melayu dan Bumiputera. - Foto SPH

IPOH: Encik Abdul Aziz Bari daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) memberitahu Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, supaya berhenti bermain ‘politik kamikaze’ semata-mata untuk meraih undi selepas mendakwa DAP mahu meneruskan rancangan penjajah British untuk memusnahkan ketuanan Melayu dan Bumiputera.

Encik Aziz berkata DAP tidak pernah mencabar peruntukan mengenai pemerintahan beraja, agama Islam, kedudukan istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

“Pertama, tiada peruntukan undang-undang mengenai jenis ketuanan ini. Tidak ada perkara sedemikian dalam Perlembagaan atau dalam mana-mana perundangan.

“Tetapi ada peruntukan mengenai pemerintahan beraja, agama Islam, kedudukan istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Dan DAP telah, bersama-sama parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) menjelaskan pendirian untuk menegakkannya,” katanya kepada Malay Mail pada Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu juga memberitahu Tan Sri Abdul Hadi supaya konsisten dan berhenti meniup angin panas dan sejuk.

“Jika beliau tidak nyanyuk, beliau harus ingat bahawa DAP bersama-sama PAS telah membuat komitmen yang sama pada zaman Pakatan Rakyat (PR), yang malangnya tumbang akibat tikam belakang oleh PAS pada 2015.

“DAP tetap sama, parti tidak pernah berganjak daripada pendirian itu,” tambahnya.

Beliau juga berkata Tan Sri Abdul Hadi perlu menjelaskan pembentukan Majlis Perundingan Cina (CCC) oleh PAS pada 1986.

“Abdul Hadi berjanji untuk melihat kedudukan istimewa orang Melayu apabila beliau cuba memancing sokongan Cina pada zaman CCC.

“Abdul Hadi ketika itu adalah Naib Presiden parti. Yusof Rawa yang memegang jawatan presiden dan Fadhil Noor sebagai timbalannya,” katanya lagi.

Pada Sabtu, Tan Sri Abdul Hadi berkata DAP mahu meneruskan rancangan yang dimulakan penjajah British untuk memusnahkan ketuanan Melayu dan Bumiputera dengan sokongan orang Melayu yang lupa asal usul.

Beliau berkata pihaknya juga mendesak agar perpaduan Melayu melawan usaha memusnahkan bangsa Melayu seperti yang berlaku kepada Orang Asli Amerika Syarikat.

Beliau mendakwa DAP telah memilih jurucakap Melayu yang melupakan kemelayuan mereka dan mengabaikan Islam sebagai agama mereka, sambil turut melabel orang Melayu yang mempertahankan bangsa dan agama mereka sebagai rasis.

“Pertama, tiada peruntukan undang-undang mengenai jenis ketuanan ini. Tidak ada perkara sedemikian dalam Perlembagaan atau dalam mana-mana perundangan. Tetapi ada peruntukan mengenai pemerintahan beraja, agama Islam, kedudukan istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Dan DAP telah, bersama-sama parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) menjelaskan pendirian untuk menegakkannya.” 
Encik Abdul Aziz Bari.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg