Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dapatan 2 tinjauan papar prestasi Prabowo dan Gibran merosot

Oct 22, 2025 | 1:38 PM
Presiden Prabowo Subianto and Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka
Hasil dua tinjauan yang dijalankan menunjukkan prestasi Presiden Prabowo Subianto and Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka menunjukkan kedua-dua pemimpin masing-masing menerima markah prestasi purata tiga dan dua daripada 10. - Foto ST

JAKARTA: Genap setahun selepas Presiden Prabowo Subianto dan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka memegang jawatan pada 20 Oktober, satu laporan baru mendedahkan bahawa tahap keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran mereka masih rendah.

Hasil kajian terbaru menunjukkan kedua-dua pemimpin masing-masing menerima markah prestasi purata tiga dan dua daripada 10.

Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-undang (Celios) mengeluarkan laporannya mengenai prestasi setahun pemerintah yang ada sekarang pada 20 Oktober, berdasarkan dapatan daripada dua tinjauan – pertama melibatkan 120 wartawan dari 30 September hingga 13 Oktober.

Tinjauan kedua pula melibatkan 1,338 orang awam berusia 18 tahun dari 2 Oktober hingga 17 Oktober.

Dapatan tinjauan itu itu menandakan penurunan daripada tinjauan pada 100 hari pertama pentadbiran yang menyaksikan Prabowo meraih lima markah dan Encik Gibran mendapat tiga markah.

“Hasil tinjauan menunjukkan terdapat penurunan dalam kualiti prestasi Encik Prabowo dan Encik Gibran,” kata Encik Media Askar dari Celios.

Dalam tinjauan umum, majoriti responden berpendapat bahawa pentadbiran hanya memenuhi sebahagian daripada ikrar kempennya, dengan 56 peratus menyatakan hanya beberapa janji yang ditepati, manakala 43 peratus percaya tiada janji telah ditunaikan.

Lebih 70 peratus responden awam berkata pelaksanaan program pemerintah sepanjang tahun lalu adalah “lemah” dan “sangat lemah”, manakala 80 peratus responden berkata keputusan dasar pemerintah tidak sejajar dengan keperluan dan keutamaan awam.

Kepimpinan keseluruhan Kabinet lebih 100 anggota, telah menerima kritikan hebat, dengan 64 peratus responden menilai ia sama ada “lemah” dan “sangat lemah”.

Perhubungan awam didapati lebih teruk kerana lebih daripada 90 peratus melabelkannya “lemah” dan “sangat lemah”.

“Prestasi pentadbiran Prabowo-Gibran telah menyaksikan kemerosotan yang serius sejak setahun lalu, terutamanya jika dibandingkan dengan 100 hari pertama memegang jawatan,” kata Encik Galau D. Muhammad juga daripada Celios semasa mendedahkan laporan itu.

“Dapatan ini memberikan isyarat jelas bahawa orang ramai mengharapkan Presiden Prabowo melaksanakan penilaian menyeluruh, termasuk rombakan Kabinet melibatkan menteri berprestasi rendah dan memperkemas struktur pemerintah yang tidak cekap,” tambah Encik Galau.

Antara yang berprestasi paling teruk ialah Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Bahlil Lahadalia, Ketua Agensi Pemakanan Negara (BGN) Encik Dadan Hindayana, Menteri Hak Asasi Manusia Cik Natalius Pigai, Menteri Perhutanan Raja Juli Antoni, Menteri Kebudayaan Encik Fadli Zon, Menteri Pelancongan Cik Widiyanti Putri Wardhana dan Menteri Penyelaras Makanan Encik Hasan Zulkiflana. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg