JAKARTA: Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka, kini berdepan tekanan yang semakin hebat apabila sekumpulan jeneral tentera bersara menyerahkan surat rasmi kepada Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), menuntut agar proses pemecatan beliau dimulakan segera.
Surat bertarikh 26 Mei 2025 itu dihantar oleh kumpulan dikenali sebagai Forum Purnawirawan Prajurit TNI dan telah disahkan diterima oleh pihak Sekretariat DPR.
“Kami mengusulkan kepada MPR dan DPR untuk segera memproses pemecatan terhadap Wakil Presiden berdasarkan ketentuan undang-undang yang berlaku,” menurut petikan kandungan surat tersebut.
Setiausaha forum itu, Encik Bimo Satrio, mengesahkan surat tersebut telah dihantar selepas mereka mendapat pertemuan penting dengan mantan Naib Presiden, Encik Try Sutrisno, pada 30 Mei.
Walaupun nama Encik Try tidak tersenarai sebagai penandatangan, Encik Bimo mendakwa beliau telah “memberi restu” kepada langkah forum tersebut.
Antara isi utama surat itu ialah tuduhan pelanggaran perlembagaan, etika dan prestasi kelayakan Encik Gibran sebagai naib presiden.
Mereka merujuk kepada keputusan kontroversi Mahkamah Perlembagaan yang membenarkan penurunan had umur calon presiden dan naib presiden – satu keputusan yang dianggap menguntungkan Encik Gibran dan berlaku ketika ayahnya, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, masih menjadi Presiden.
“Keputusan Mahkamah tersebut dilihat tidak bebas kerana dibuat oleh Ketua Hakim Anwar Usman, yang merupakan bapa saudara Gibran,” tulis forum itu.
“Ia bertentangan dengan prinsip keadilan dan ketelusan dalam sistem kehakiman,” tambahnya.
Surat itu turut membangkitkan isu akaun dalam talian ‘fufufafa’ yang dikaitkan dengan Encik Gibran.
Akaun itu didakwa pernah memuat naik kenyataan menghina tokoh politik dan berunsur seksual serta perkauman.
Forum mendakwa hasil siasatan digital mengaitkan akaun tersebut dengan maklumat peribadi milik Encik Gibran.
“Kes ini jelas menunjukkan bahawa moral dan etika Saudara Gibran sangat tidak sesuai untuk menjawat jawatan naib presiden,” tegas mereka dalam surat itu.
Selain itu, forum turut mempersoal latar belakang Encik Gibran yang hanya mempunyai dua tahun pengalaman sebagai Datuk Bandar Solo, serta meragui keabsahan ijazah akademiknya.
“Beliau terlalu mentah dari segi pengalaman dan tidak menunjukkan prestasi yang meyakinkan dalam tempoh enam bulan sebagai naib presiden.
“Sebaliknya, beliau dilihat sebagai beban kepada Presiden Prabowo,” tulis mereka.
Forum turut menyentuh laporan rasuah melibatkan Encik Gibran dan adiknya, Encik Kaesang Pangarep, yang telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) oleh pakar akademik, Encik Ubedilah Badrun, sejak 2022.
Mereka mendakwa hubungan perniagaan dua beradik itu berpotensi mencetuskan rasuah dan nepotisme.
Surat itu ditutup dengan gesaan agar DPR segera mengambil tindakan.
“Ini adalah tanggungjawab kami sebagai warga negara untuk menjaga integriti perlembagaan dan moral awam.
“Kami bersedia menyokong proses politik dan undang-undang yang diperlukan demi menegakkan keadilan dan demokrasi,” katanya.
Surat itu ditandatangani empat tokoh besar dalam kalangan tentera bersara iaitu Jeneral (Bersara) Fachrul Razi; Marsyal (Bersara) Hanafie Asnan; Jeneral (Bersara) Tyasno Soedarto; dan Laksamana (Bersara) Slamet Soebijanto.
Penganalisis politik, Dr Dedi Kurnia Syah, menyifatkan tekanan itu sebagai simbolik, terutama ketika Encik Gibran muncul bersama Presiden Prabowo, Encik Try dan Ketua Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Cik Megawati Sukarnoputri, dalam sambutan Hari Pancasila pada 1 Jun.
“Kehadiran bersama mereka seolah-olah satu mesej jelas daripada Prabowo untuk menunjukkan kekuasaannya terhadap Gibran dan, secara tidak langsung, terhadap keluarga Jokowi,” katanya.
Namun Dr Dedi mengingatkan, proses pemecatan bukan mudah secara perlembagaan.
“Perlu ada asas undang-undang yang kukuh. Ia bukan semata-mata boleh digerakkan oleh tekanan politik,” jelasnya.
Walaupun Encik Prabowo tidak secara terbuka mempertahankan Encik Gibran, beliau juga tidak menolak petisyen tersebut.
Sebaliknya, beliau mengarahkan Penasihat Khas Presiden Bidang Politik dan Keselamatan, Encik Wiranto, agar mengeluarkan kenyataan balas yang berhati-hati – satu isyarat bahawa isu itu dipandang serius oleh Istana.
Sementara majoriti parti gabungan pemerintah memilih untuk berdiam diri, Parti Golkar, yang kini dikaitkan sebagai wadah baru bagi Encik Jokowi atau Encik Gibran tampil mempertahankan naib presiden.
“Naib Presiden Gibran dipilih melalui pilihan raya presiden dan telah disahkan oleh Mahkamah Perlembagaan.
“Beliau juga tidak melakukan sebarang pelanggaran yang boleh dijadikan asas untuk pemecatan,” kata Ketua Blok Parti Golkar di DPR, Encik Sarmuji. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg