Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dari Jakarta ke Istana Garuda, Jokowi perlu banyak masa siapkan ibu kota baru

Aug 5, 2024 | 5:30 AM
Ibu Kota Nusantara
Wanita pertama Indonesia, Cik Iriana Widodo, mengunjungi Pasar Inpres Balikpapan di Kalimantan Timur setelah melakukan lawatan dari Istana Presiden di Ibu Kota Nusantara (IKN). - Foto TANGKAP LAYAR VIDEO INSTAGRAM

IBU KOTA NUSANTARA: Wanita Pertama Indonesia, Cik Iriana Widodo, membeli barangan kraf tangan dengan motif unik suku Dayak dari Kalimantan Timur bernilai 4 juta rupiah atau sekitar $329 di Pasar Inpres Balikpapan pada 29 Julai.

Kunjungan Cik Iriana, yang berpakaian kebaya putih ke pasar tersebut menarik perhatian para peniaga dan pengunjung yang segera merakam gambar beliau dengan telefon bimbit mereka.

Cik Iriana tiba di pasar tersebut dengan kereta putih selepas melakukan lawatan dari Istana Presiden di Ibu Kota Nusantara (IKN).

Kunjungan tersebut juga menandakan peningkatan kunjungan dari IKN ke Pasar Inpres dan kawasan sekitar Balikpapan yang memberikan kesan positif terhadap ekonomi penduduk setempat.

Pasar Inpres yang kini menjadi destinasi pengunjung dari IKN untuk membeli barangan keperluan sejauh satu jam hingga 1.5 jam perjalanan berkenderaan dari IKN berbanding perjalanan hampir 3 jam melalui Semboja sebelum ini.

Perjalanan waktu yang pendek itu mampu dilakukan setelah Jambatan Pulau Balang disiapkan menghubungkan Balikpapan dengan IKN.

Cik Iriana turut menemani suaminya, Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, merasmikan Jambatan Pulau Balang pada 29 Julai.

Jambatan tersebut telah memudahkan semua kakitangan dari kementerian dan institusi negara yang secara bertahap-tahap berpindah dari Jakarta ke IKN, termasuk menteri penyelaras dan menteri lain.

Encik Jokowi sendiri telah bermalam di IKN dan telah memulakan tugas dari Nusantara setelah tiba pada 28 Julai.

Beliau berpindah sejajar dengan penyelesaian fasa pertama pembinaan, selain pemerintah merancang untuk meraikan sambutan kemerdekaan Indonesia di IKN, pada 17 Ogos.

Encik Jokowi menyatakan tiada masalah berkaitan bekalan air dan elektrik semasa bermalam buat kali pertama di Istana Presiden pada malam 28 Julai.

Beliau menyatakan demikian sebagai menjawab kenyataan beliau sendiri pada awal Julai terhadap rancangan memindahkan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur pada 2024 kemungkinan ditangguhkan.

Kenyataan Encik Jokowi pada 11 Julai itu menandakan perubahan sikap optimisnya untuk bekerja dari ibu negara baru seawal Julai, seperti dinyatakan Jun lalu.

Ia selain reaksi beliau sebulan selepas ketua dan timbalan agensi pengawasan pembangunan meletakkan jawatan yang antara lain meningkatkan ketidaktentuan mengenai pelaksanaan projek berkenaan.

Encik Jokowi mengumumkan penangguhan proses memindahkan pejabatnya ke IKN di Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur susulan prasarana belum siap dibina.

Beliau turut mengesahkan menerima laporan mengenai kelewatan pembinaan pejabatnya di IKN daripada Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat, Encik Basuki Hadimuljono.

Sebelum ini, Ketua Pasukan Petugas Pembangunan Infrastruktur IKN, Encik Danis Sumadilaga, dilapor sebagai berkata, pembinaan Pejabat Presiden sudah mencapai 92 peratus.

Pasukan petugas menyasarkan projek itu siap dibina menjelang minggu kedua Julai, sebagai persediaan bagi sambutan kemerdekaan.

Selain Pejabat Presiden, Encik Danis menjangkakan pembinaan Istana, Sumbu Kebangsaan, Taman Memorial dan Beranda Nusantara siap sepenuhnya menjelang akhir Julai.

Bangunan lain seperti Sekretariat Presiden dan Kementerian Sekretariat Negara juga dijangka mula beroperasi secara berperingkat.

Encik Jokowi turut menamakan bangunan Pejabat Presiden sebagai Istana Garuda, manakala Istana Presiden di IKN akan digelar Istana Negara.

Pengumuman itu dibuat oleh Pemangku Ketua Penguasa IKN, Encik Basuki Hadimuldjono, selepas menghadiri mesyuarat dalaman bersama Encik Jokowi di Istana Garuda IKN, lapor agensi berita Antara.

“Beliau menyatakan ini Istana Garuda, bukan lagi Pejabat Presiden, tetapi ia dinamakan Istana Garuda. Yang di bawah ialah Istana Negara,” kata Encik Basuki pada sidang media di lobi Istana Garuda.

Istana Garuda pula terletak betul-betul di belakang Istana Negara di sebidang tanah yang lebih tinggi.

Bangunan itu berfungsi sebagai Pejabat Presiden.

Pembangunan Nusantara melibatkan beberapa fasa, bermula dengan pembinaan prasarana utama seperti Istana Presiden, Bangunan Parlimen serta prasarana dasar untuk fasa awal yang menelan belanja AS$30 bilion ($40.3 bilion).

Proses awal itu bermula dari 2022 hingga 2024.

Selanjutnya dari 2024 hingga 2035, pembangunan IKN akan memasuki fasa kedua.

Pada peringkat ini proses pemindahan berbagai lembaga negara termasuk kakitangannya akan selesai.

IKN juga akan dibangunkan sebagai sebuah pusat inovasi dan ekonomi.

Kemudian 2035 hingga 2045 merupakan tahap pembinaan keseluruhan prasarana dan ekosistem tiga bandar bagi mempercepat pembangunan Kalimantan Timur.

Hanya pada 2045 ibu kota itu boleh dikatakan selesai sepenuhnya.

Menurut laman web rasmi IKN, pada 2045 ia dijangka menjadi salah sebuah bandar terkemuka di dunia dari segi daya saing.

Dalam fasa seterusnya melibatkan beberapa prasarana lengkap termasuk ketersambungan antara bandar dengan pulau.

Pada masa ini, IKN berkemungkinan termasuk dalam 10 bandar terbaik untuk didiami di dunia dan mencapai ‘pelepasan karbon sifar bersih’ kerana menggunakan 100 peratus tenaga terbaru.

Nusantara dijangka menjadi bandar pertama di dunia dengan populasi lebih sejuta orang yang akan mencapai sasaran ini.

Pada 17 Ogos 2024, Encik Jokowi secara rasmi akan menjadi Presiden pertama Indonesia yang menduduki ibu kota baru yang akan ditandai dengan sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-79.

Ini sebelum beliau menyerahkan jawatan kepada Presiden terpilih, Encik Prabowo Subianto, pada Oktober 2024. – Agensi berita

“Beliau (Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo) menyatakan ini Istana Garuda, bukan lagi (bangunan) Pejabat Presiden, tetapi ia dinamakan Istana Garuda. Yang di bawah ialah Istana Negara (Istana Presiden di Ibu Kota Nusantara atau IKN).”
Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat, Encik Basuki Hadimuljono.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg