Dari protes berdarah ke peti undi: Ujian demokrasi Bangladesh
Dari protes berdarah ke peti undi: Ujian demokrasi Bangladesh
DHAKA: Menjelang pilihan raya umum pertama Bangladesh sejak kebangkitan pelajar menggulingkan pemerintah Sheikh Hasina pada 2024, satu perubahan ketara dapat dilihat di jalan-jalan Dhaka.
Seragam polis yang sebelum ini berwarna biru dan hijau kini digantikan dengan warna kelabu dan coklat.
Pertukaran yang dibuat pada November lalu itu bertujuan menjauhkan imej pasukan keselamatan daripada tindakan keras terhadap penunjuk perasaan pelajar yang mengorbankan lebih 1,400 nyawa.
Namun bagi sebahagian aktivis muda, perubahan pakaian itu belum cukup untuk melambangkan reformasi sebenar.
“Kami bukan mahu tukar pakaian. Kami mahu ubah sistem dan struktur,” kata Cik Tanjina Tammim Hapsa, aktivis Universiti Dhaka.
Pilihan raya yang berlangsung pada 12 Februari itu dianggap sebagai ujian besar sama ada gelombang kebangkitan pelajar mampu diterjemahkan kepada perubahan politik berkekalan.
Bangladesh, negara berpenduduk lebih 175 juta orang dengan umur median sekitar 25 tahun, menyaksikan anak muda turun ke jalanan pada Julai 2024 bagi membantah sistem kuota pekerjaan untuk keturunan pejuang kemerdekaan.
Namun rasa tidak puas hati terhadap kekurangan peluang pekerjaan dan rasuah yang berleluasa bertukar menjadi kemarahan selepas Cik Hasina mengarahkan tindakan keras terhadap demonstrasi. Beliau akhirnya meletak jawatan pada 5 Ogos 2024 dan melarikan diri ke India.
Parti Liga Awami pimpinannya kini dilarang bertanding.
Pemerintah sementara yang mengambil alih kuasa selepas itu menerima beberapa tuntutan utama pelajar, termasuk pilihan raya yang lebih inklusif, had penggal untuk perdana menteri, pengukuhan kebebasan kehakiman dan pembunuhan luar undang-undang serta peluang ekonomi lebih baik untuk generasi muda.
Namun harapan yang pernah menyatukan gerakan pelajar kini dilihat semakin pudar.
Parti politik lama dijangka kembali memimpin pemerintah manakala agenda reformasi asal dilihat semakin dikurangkan.
“Pengorbanan mereka tidak boleh sia-sia,” kata Encik Majedur Rahman, 25 tahun, pelajar matematik gunaan di Universiti Dhaka. Beliau memberi amaran bahawa jika pilihan raya ini gagal membawa sistem yang adil, “kami terpaksa bangkit semula.”
Walaupun kecewa, sebahagian anak muda cuba kekal optimis. Encik Khalid Muhammad Khan Abir, 23 tahun, yang turut menyertai protes, menyifatkan pilihan raya ini sebagai peluang penting.
“Ini peluang besar untuk saya menunjukkan hak dan pilihan saya,” katanya.
Namun Encik Abir tidak meletakkan harapan tinggi kepada parti politik sedia ada.
Beliau bimbang mereka akan mengulangi pola lama ketamakan dan perebutan kuasa.
“Apabila saya ada kuasa, saya rasa hanya saya yang betul dan kata-kata saya adalah yang terakhir,” katanya merujuk kepada sikap segelintir pemimpin.
Parti Nasional Warga yang diasaskan aktivis pelajar juga dikritik selepas membentuk pakatan dengan Jamaat-e-Islami, parti berhaluan Islam yang mahu pentadbiran berlandaskan undang-undang Islam.
Langkah itu mengecewakan sebahagian pelajar yang mahukan politik lebih sekular dan inklusif.
Ramai pelajar kini menumpukan harapan kepada referendum pembaharuan perlembagaan yang diadakan serentak dengan pilihan raya.
Piagam Julai yang digubal pemerintah sementara bersama puluhan parti politik menggariskan visi baharu negara, termasuk penubuhan parlimen dua dewan, had penggal perdana menteri, serta peningkatan perwakilan wanita.
Namun cadangan itu turut dilembutkan selepas bantahan daripada parti-parti besar seperti Parti Nasionalis Bangladesh dan Jamaat. Parti Nasionalis Bangladesh dijangka memenangi pilihan raya ini.
Pengarah Eksekutif Ketelusan Antarabangsa Bangladesh, Dr Iftekharuzzaman, menyifatkan gerakan pelajar sebagai aspirasi yang tinggi tetapi memerlukan asas institusi yang kukuh.
“Kita mempunyai peluang. Namun ia mungkin satu peluang yang terlepas,” katanya, merujuk kepada pengurangan cita-cita reformasi dalam bentuk semasa.
Salah satu cadangan penting ialah meningkatkan penyertaan wanita dalam politik.
Piagam Julai mencadangkan sekurang-kurangnya 10 peratus calon Dewan Atasan terdiri daripada wanita serta pelan berperingkat untuk meningkatkan perwakilan wanita di Dewan Rendah sehingga 33 peratus. Daripada 2,028 calon, hanya 81 adalah wanita.
Namun isu itu mencetuskan kontroversi apabila satu hantaran di akaun media sosial pemimpin Jamaat, Encik Shafiqur Rahman, membandingkan pekerjaan wanita dengan pelacuran.
Wakil Jamaat kemudian mendakwa akaun tersebut digodam.
Aktivis pelajar Cik Taposhi Rabeya menyifatkan kenyataan itu sebagai mengejutkan dan menyedihkan.
“Pemimpin politik kita masih belum meninggalkan amalan lama,” katanya, merujuk kepada budaya wang dan pengaruh yang masih dominan.
Perjalanan daripada revolusi pelajar 2024 ke pilihan raya kali ini turut dicemari ketegangan politik, kebangkitan ekstremisme agama dan serangan terhadap minoriti Hindu.
Namun suasana menjelang pengundian tetap meriah.
Pemerintah mengisytiharkan cuti umum dua hari, manakala ribuan warga pulang ke kampung halaman untuk mengundi.
Di Stesen Kereta Api Kamalapur, tren sesak sehingga ada penumpang duduk di atas bumbung.
“Mengundi adalah sesuatu yang menggembirakan,” kata Encik Rashid Ahmed yang dalam perjalanan pulang ke Brahmanbaria.
“Walaupun terpaksa berdepan kesesakan, saya tetap mahu pulang untuk mengundi,” tambahnya.
Pada masa sama, hampir sejuta anggota tentera, separa tentera dan polis dikerahkan untuk memastikan keselamatan.
Kehadiran mereka menjadi peringatan pahit kepada sebahagian rakyat terhadap insiden keganasan lalu.
Lebih 1,000 anggota polis masih ditahan atau berdepan pertuduhan berkaitan pembunuhan penunjuk perasaan ketika era Cik Hasina.
Walaupun ramai anggota kini memakai seragam baharu, sebahagian lagi masih menunggu set pakaian mereka. Ia menjadi simbol jelas bahawa Bangladesh kini berada di persimpangan antara sejarah kelam dan harapan masa depan yang belum pasti. – Agensi berita.

