Warga Bangladesh mengundi dalam pilihan raya bersejarah selepas revolusi Gen Z

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga Bangladesh mengundi dalam pilihan raya bersejarah selepas revolusi Gen Z

Hampir sejuta anggota keselamatan dikerahkan bagi mengekalkan ketenteraman bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13
Feb 12, 2026 | 10:05 AM

Warga Bangladesh mengundi dalam pilihan raya bersejarah selepas revolusi Gen Z

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Bangladesh, Pilihan Raya Umum ke-13, bekas perdana menteri Sheikh Hasina, kebangkitan politik generasi muda, Generasi Z
Pengundi memasuki sebuah pusat mengundi semasa Pilihan Raya Umum Bangladesh di Dhaka pada 12 Februari 2026, manakala anggota Tentera Bangladesh memeriksa dokumen pengenalan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan proses pengundian. - Foto AFP

DHAKA: Bangladesh melangkah ke medan demokrasi apabila jutaan pengundi keluar mengundi pada Khamis, 12 Februari, dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang dilihat sebagai detik penentu masa depan negara itu selepas kejatuhan bekas perdana menteri Sheikh Hasina pada 2024.

Pilihan raya ini menjadi simbol kebangkitan politik generasi muda, khususnya Generasi Z, yang memimpin gelombang protes besar-besaran sehingga menggulingkan pemerintahan Cik Hasina yang berkuasa selama empat penggal berturut-turut.

Pemerhati menyifatkan ia sebagai pilihan raya pertama di dunia selepas satu revolusi yang digerakkan oleh golongan bawah 30 tahun.

Bangladesh yang mempunyai kira-kira 175 juta penduduk kini berdepan ujian penting untuk memulihkan kestabilan politik dan ekonomi selepas beberapa bulan dalam ketidaktentuan, menyusuli protes berdarah yang turut menjejas sektor utama seperti industri pakaian, sebagai negara pengeksport kedua terbesar dunia dalam bidang itu.

Ketua pemerintah sementara, Encik Muhammad Yunus, yang mengambil alih pentadbiran selepas Cik Hasina digulingkan, menegaskan pilihan raya ini membawa makna lebih besar daripada sekadar proses rutin lima tahun sekali.

“Pilihan raya ini bukan sekadar undian biasa. Kebangkitan rakyat yang kita saksikan terhadap kemarahan lama, ketidaksamaan, penafian hak dan ketidakadilan kini diterjemahkan melalui saluran Perlembagaan,” katanya.

Seramai 2,028 calon, termasuk 83 wanita, daripada 50 parti politik dan calon bebas bertanding bagi 299 daripada 300 kerusi Parlimen Jatiya Sangsad.

Satu kawasan ditangguhkan pengundiannya menyusuli kematian calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya menyifatkan jumlah parti yang bertanding sebagai rekod tertinggi dalam sejarah negara itu.

Berbeza dengan pilihan raya terdahulu yang sering dibayangi boikot pembangkang dan dakwaan intimidasi, kali ini lebih 2,000 calon bertanding secara terbuka.

Parti Liga Awami pimpinan Cik Hasina diharamkan oleh pemerintah sementara, manakala beliau kini berada dalam buangan sendiri di India.

Ketiadaan Liga Awami membuka ruang persaingan utama antara Parti Nasionalis Bangladesh yang dipimpin Encik Tarique Rahman dengan parti Islamis Jamaat-e-Islami yang diterajui Encik Shafiqur Rahman.

Tinjauan pendapat memberikan kelebihan tipis kepada Parti Nasionalis Bangladesh.

“Marilah kita tunjukkan kepada dunia bahawa Bangladesh ialah sebuah demokrasi yang matang,” kata Encik Shafiqur Rahman pada 11 Februari, sambil menyeru penyokongnya keluar mengundi secara aman.

Selain memilih anggota Parlimen, pengundi turut mengundi dalam satu referendum penting mengenai reformasi Perlembagaan.

Cadangan reformasi itu merangkumi usaha mengembalikan sistem pemerintah sementara yang berkecuali bagi mengendalikan pilihan raya, menukar struktur Parlimen kepada sistem dua dewan, menambah perwakilan wanita, memperkukuh kebebasan badan kehakiman serta menetapkan had maksimum dua penggal bagi jawatan perdana menteri.

“Menerusi referendum ini, rakyat akan menyatakan pendirian jelas mengenai struktur negara dan sistem tadbir urus masa depan,” kata Encik Yunus dalam laporan media pemerintah.

Beliau menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab moral dan Perlembagaan semua pihak untuk memastikan proses itu berlangsung bebas daripada ketakutan.

Bagi menjamin keselamatan, hampir sejuta anggota keselamatan dikerahkan termasuk lebih 100,000 anggota tentera daripada angkatan darat, laut dan udara yang membantu hampir 200,000 anggota polis.

Sebanyak 42,779 pusat mengundi dibuka di seluruh negara bagi menampung kira-kira 128 juta pengundi berdaftar, dengan 49 peratus daripadanya wanita.

Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya, Encik A.M.M. Nasir Uddin, berkata penyertaan pemerhati antarabangsa dan media memainkan peranan penting dalam memastikan ketelusan.

“Penyertaan media dan pemerhati akan memastikan ketelusan maksimum serta meningkatkan keyakinan awam terhadap pilihan raya ini,” katanya.

Bangladesh turut menjemput pemerhati dari Malaysia, China, Indonesia, Pakistan, Sri Lanka, Turkey, Uzbekistan dan Kesatuan Eropah untuk memantau proses pengundian itu.

Kempen pilihan raya secara keseluruhannya berlangsung aman dengan hanya beberapa insiden kecil dilaporkan.

Namun penganalisis memberi amaran bahawa ujian sebenar adalah penerimaan keputusan oleh semua pihak.

“Ujian penting bagi Bangladesh sekarang ialah memastikan pilihan raya dijalankan secara adil dan tidak memihak, dan semua parti menerima keputusannya,” kata Encik Thomas Kean daripada International Crisis Group.

“Jika itu berlaku, ia akan menjadi bukti kukuh bahawa Bangladesh benar-benar memasuki fasa pembaharuan demokrasi.”

Isu rasuah, inflasi dan pengangguran menjadi kebimbangan utama pengundi. Satu tinjauan terbaru menunjukkan kenaikan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi mempengaruhi sentimen awam.

Di lapangan, sentimen pengundi bercampur-campur.

Ada yang teruja, ada yang ragu.

Encik Chan Mia, seorang penarik beca di Dhaka, berkata beliau mungkin tidak dapat pulang ke kampung untuk mengundi kerana kehilangan pendapatan harian.

“Saya tidak mampu tinggalkan kerja sehari,” katanya.

Encik Mohammad Sabuj, seorang penjaga pintu, pula berasa kecewa kerana parti Liga Awami tidak dibenarkan bertanding.

Namun bagi Encik Shakil Ahmed, seorang pemandu, peluang kali ini terlalu berharga untuk dilepaskan.

“Semasa pemerintahan Hasina, kami tidak dapat mengundi dengan bebas,” katanya.

“Mengundi ialah hak saya. Kali ini saya tidak akan lepaskan peluang.”

Pengundian bermula pada 7.30 pagi dan berakhir pada 4.30 petang waktu tempatan.

Pengiraan undi dijangka bermula sejurus pusat mengundi ditutup, dengan petunjuk awal dijangka muncul sekitar tengah malam dan keputusan rasmi mungkin diketahui menjelang pagi 13 Februari. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg