TEHERAN: Delegasi Pakistan tiba di Teheran pada 15 April dalam usaha menyelamatkan rundingan damai antara Iran dengan Amerika Syarikat selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memberi bayangan rundingan boleh disambung semula minggu ini susulan kegagalan rundingan di Islamabad pada 12 April.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi menerima kunjungan delegasi Pakistan yang diketuai Panglima Tentera, Syed Asim Munir, bagi menyampaikan mesej baru Amerika dan membincangkan pusingan kedua rundingan.

Walaupun butiran lanjut tidak didedahkan, langkah itu dilihat berkait rapat dengan usaha meredakan ketegangan ketika pertikaian mengenai akses ke Selat Hormuz terus mengancam gencatan senjata rapuh yang baru berusia seminggu.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmail Baghaei, berkata masih tiada jadual ditetapkan bagi rundingan pusingan kedua.

“Setakat ini belum ada tarikh rasmi untuk rundingan seterusnya,” katanya, meskipun Encik Trump, menyatakan perbincangan mungkin disambung dalam masa terdekat.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika Amerika sedang membincangkan kemungkinan pusingan kedua rundingan damai dengan Iran di Pakistan dan optimis untuk mencapai persetujuan.

Pegawai Amerika menyuarakan keyakinan itu pada 15 April ketika Teheran mengancam menutup perdagangan di Laut Merah sekiranya Washington tidak menarik balik sekatan laut terhadap pelabuhannya.

Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, pula memberi bayangan positif.

“Kami rasakan prospek untuk mencapai perjanjian adalah baik,” katanya, sambil menambah, rundingan berkemungkinan besar diadakan semula di Islamabad.

Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, yang mengetuai pusingan pertama rundingan, berkata Iran ditawarkan satu ‘perjanjian besar’ bagi menamatkan perang enam minggu dengan Amerika dan Israel, selain menyelesaikan pertikaian berdekad lamanya berhubung program nuklear Teheran.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pula berkata Israel dan Amerika mempunyai matlamat ‘serupa’ termasuk menyingkirkan uranium yang diperkaya dari Iran, menamatkan keupayaan pengayaan serta membuka semula Selat Hormuz.

Selat yang biasanya menyalurkan kira-kira 20 peratus bekalan minyak mentah dunia, kini terjejas akibat tindakan Iran sejak operasi ketenteraan Amerika-Israel bermula dan menjadi tumpuan sekatan laut Washington.

Dalam usaha memberi tekanan pada Teheran, Washington melaksanakan sekatan laut terhadap Iran, Komand Pusat Amerika (Centcom) mendakwa telah menghentikan sepenuhnya perdagangan laut Iran.

“Sebanyak 10 kapal telah diarah berpatah balik dalam tempoh 48 jam pertama, dan tiada kapal berjaya melepasi sekatan,” ujar kenyataan Centcom.

Namun, laporan agensi berita Iran, Tasnim, menyatakan pergerakan kapal masih berterusan di beberapa pelabuhan selatan negara itu, memberikan gambaran yang tidak sepenuhnya jelas.

Ketua Pusat Arahan Tentera Iran, Jeneral Ali Abdollahi, memberi amaran keras terhadap sekatan tersebut.

“Angkatan bersenjata Iran memberi amaran bahawa mereka akan menyekat semua kegiatan perdagangan, termasuk eksport dan import, di Teluk Parsi, Laut Oman dan Laut Merah jika sekatan Amerika tidak ditarik balik,” ujarnya.

Penasihat tentera kepada pemimpin tertinggi Iran, Encik Mohsen Rezaei, turut memberi amaran kapal Amerika boleh menjadi sasaran.

“Jika mereka cuba mengawal laluan ini, kapal mereka akan ditenggelamkan dengan peluru berpandu kami,” kata Encik Rezaei, kepada televisyen negara.

Amerika sebelum ini menegaskan sebarang perjanjian mesti menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear.

Washington dilaporkan mengusul menggantung program pengayaan uranium Iran selama 20 tahun, namun, Teheran hanya bersedia menghentikan kegiatan itu selama lima tahun, cadangan yang ditolak Amerika.

“Hak Iran untuk memperkaya uranium tidak boleh dipertikaikan, walaupun tahapnya boleh dirunding,” kata kenyataan Kementerian Luar Iran.

Sekatan Amerika turut memberi kesan besar kepada perdagangan sejagat, khususnya di Selat Hormuz yang menjadi laluan utama minyak dunia.

Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Cik Kristalina Georgieva, memberi amaran dunia bakal berdepan ‘masa sukar’ jika konflik di Asia Barat berlarutan dan harga minyak kekal tinggi dengan risiko inflasi turut menjejas harga makanan.

Bagaimanapun, sentimen positif terhadap kemungkinan perjanjian antara Amerika dengan Iran mendorong kenaikan saham di Wall Street dengan indeks utama mencatat rekod baharu pada 15 April, manakala harga minyak mentah susut.

Walaupun kehadiran tentera Amerika meningkat dengan lebih 10,000 anggota, trafik kapal di kawasan itu masih jauh lebih rendah daripada biasa.

Syarikat perkapalan Jerman, Hapag-Lloyd, memaklumkan keadaan masih terlalu berisiko untuk operasi normal.

“Kami memerlukan jaminan keselamatan untuk kru, kapal dan kargo sebelum membuat keputusan,” kata jurucakapnya, Encik Nils Haupt. – Agensi berita.