Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS, Iran pertimbang rundingan kedua sedang sekatan Selat Hormuz bermula
AS, Iran pertimbang rundingan kedua sedang sekatan Selat Hormuz bermula
Pusingan baru mungkin akan diadakan pada 16 April
AS, Iran pertimbang rundingan kedua sedang sekatan Selat Hormuz bermula
WASHINGTON: Amerika Syarikat dan Iran kini dilaporkan sedang mempertimbangkan rundingan baru bagi melanjutkan gencatan senjata jangka panjang, ketika Presiden Donald Trump meningkatkan tekanan ke atas Teheran dengan melaksanakan sekatan laut di Selat Hormuz.
Sumber yang mengetahui perkembangan itu berkata, kedua-dua pihak berharap dapat mengadakan rundingan sebelum tempoh gencatan senjata dua minggu yang diumumkan pada 7 April berakhir minggu depan.
Islamabad dilihat sebagai lokasi utama bagi pusingan kedua rundingan, walaupun beberapa lokasi lain turut dipertimbangkan.
Pusingan baru rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran mungkin akan diadakan pada hari Khamis, 16 April lapor Associated Press, memetik pegawai Amerika.
Menteri Pertahanan Pakistan, Encik Khawaja Asif bercakap kepada media sebelum ini, pusingan baru rundingan antara Iran dan Amerika dijangka bermula tidak lama lagi dan kemungkinan untuk mengadakan rundingan lanjut masih wujud.
Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, mengesahkan usaha diplomatik masih diteruskan. “Usaha sedang berjalan untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak antara Amerika Syarikat dan Iran,” katanya.
Encik Trump pula menyatakan keyakinan bahawa Iran akhirnya akan bersetuju menghentikan program nuklearnya, sambil menegaskan tiada perjanjian akan dicapai tanpa syarat tersebut. “Saya pasti mereka akan berundur daripada cita-cita nuklear mereka,” katanya.
Dalam masa sama, Washington melaksanakan sekatan laut di Selat Hormuz bermula 13 April, sebagai langkah menekan Iran. Encik Trump memberi amaran keras bahawa mana-mana kapal Iran yang menghampiri kapal Amerika Syarikat akan diserang.
“Amaran: Jika mana-mana kapal ini menghampiri sekatan kami, ia akan dimusnahkan serta-merta,” katanya dalam satu hantaran media sosial. Beliau menambah bahawa Amerika Syarikat akan menggunakan pendekatan sama seperti operasi terhadap kapal penyeludupan dadah di Caribbean sebelum ini.
Namun, Iran mengecam tindakan itu sebagai pelanggaran serius terhadap kedaulatan negara. Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Encik Amir Saeid Iravani, menyifatkan sekatan tersebut sebagai tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.
“Pelaksanaan sekatan maritim ini merupakan pelanggaran serius terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Republik Islam Iran,” katanya dalam surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres.
Langkah sekatan itu menambah tekanan kepada krisis tenaga global yang tercetus daripada konflik selama enam minggu di Asia Barat, yang telah mengorbankan ribuan nyawa. Selat Hormuz merupakan laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair dunia.
Harga minyak melonjak susulan kebimbangan gangguan bekalan. Minyak mentah Brent didagangkan sekitar AS$102 ($130) setong, manakala niaga hadapan minyak mentah Amerika Syarikat mencecah AS$103 setong.
Iran memberi amaran akan bertindak balas jika laluan perdagangannya diancam. Angkatan tenteranya menegaskan keselamatan pelabuhan di Teluk Parsi tidak boleh bersifat selektif. “Keselamatan di rantau ini adalah untuk semua atau tiada untuk sesiapa,” menurut kenyataan tentera Iran yang disiarkan media negara.
Iran turut menyifatkan sekatan Amerika Syarikat sebagai “perbuatan lanun”, sambil memberi amaran akan mengekalkan kawalan ke atas Selat Hormuz walaupun konflik berakhir.
Rundingan sebelum ini di Islamabad dilaporkan gagal mencapai persetujuan berikutan perbezaan ketara mengenai program nuklear Iran.
Menurut laporan, Iran bersedia menghentikan pengayaan uranium sehingga lima tahun, namun cadangan itu ditolak Washington yang menuntut tempoh sehingga 20 tahun.
Bekas Menteri Luar Iran, Encik Mohammad Javad Zarif, menegaskan bahawa Amerika Syarikat tidak boleh memaksa syarat secara sepihak. “Amerika Syarikat perlu belajar bahawa ia tidak boleh menentukan syarat kepada Iran,” katanya.
Walaupun serangan udara antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran dihentikan buat sementara, ketegangan masih berlarutan, termasuk operasi ketenteraan Israel di Lebanon yang menyasarkan kumpulan Hezbollah.
Encik Trump memberi bayangan bahawa rundingan masih berpotensi diteruskan. “Kami dihubungi pagi ini oleh pihak yang tepat, dan mereka mahu mencapai perjanjian,” katanya di Rumah Putih.
Namun, beliau sekali lagi menegaskan bahawa kegagalan rundingan sebelum ini berpunca daripada keengganan Iran menghentikan sepenuhnya program nuklearnya.
Naib Presiden Amerika Syarikat, Encik JD Vance pada 13 April berkata, rundingan dengan Iran di Pakistan mencapai “banyak kemajuan”, namun memberi amaran bahawa kegagalan membuka semula sepenuhnya Selat Hormuz boleh “mengubah secara asas” hala tuju rundingan itu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Fox News.
“Saya tidak akan hanya mengatakan bahawa keadaan menjadi buruk. Saya juga fikir ada perkara yang berjalan dengan baik. Kami mencapai banyak kemajuan,” kata Encik Vance dalam wawancara dengan Fox News. – Agensi berita.
