WASHINGTON: Pemimpin Parti Demokrat di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Encik Hakeem Jeffries, menggesa perubahan besar dalam dasar Washington terhadap Timur Tengah, termasuk hubungan ketenteraan dengan Israel, sambil menegaskan sokongannya terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Gesaan pada 12 November itu dibuat selepas kemenangan besar Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal yang menyaksikan parti tersebut merampas penguasaan kedua-dua dewan Kongres daripada Republikan.

Kemenangan itu dijangka membuka laluan kepada penelitian lebih ketat terhadap bantuan ketenteraan Amerika kepada Israel, khususnya selepas perang Gaza dan konflik Amerika-Israel dengan Iran.

Encik Jeffries, anggota Demokrat dari New York yang dijangka menjadi Speaker Dewan Perwakilan apabila Kongres baharu bersidang pada 3 Januari 2027, berkata dasar sedia ada terhadap Timur Tengah tidak lagi boleh diteruskan tanpa perubahan.

“Keadaan sekarang tidak boleh diterima dan kita memerlukan perubahan besar.

“Bagi saya, perubahan itu bermakna memastikan Israel kekal selamat sebagai sebuah negara Yahudi dan demokratik, hidup berdampingan dengan sebuah negara Palestin merdeka yang memberikan maruah serta hak menentukan nasib sendiri kepada rakyat Palestin,” katanya dalam sidang media mingguannya.

Beliau menegaskan perubahan tersebut perlu dilaksanakan di Gaza, Tebing Barat yang diduduki Israel serta dalam kerjasama pertahanan antara Washington dengan Tel Aviv.

Bantuan ketenteraan Israel bakal diteliti

Antara perkara yang mahu dikaji semula Encik Jeffries ialah Memorandum Persefahaman (MOU) antara AS dengan Israel, yang menyediakan bantuan ketenteraan tahunan sebanyak AS$3.8 bilion (S$4.9 bilion).

Perjanjian itu dijadual tamat pada September 2028.

“Kita memerlukan perubahan besar di Tebing Barat, sebab itu saya menyokong kuat Akta Perlindungan daripada Keganasan di Tebing Barat.

“Kita juga memerlukan perubahan besar di Gaza dan dalam memorandum persefahaman ketika perjanjian itu menghampiri tarikh tamatnya,” katanya.

Kenyataan Encik Jeffries dibuat ketika beberapa anggota Demokrat mendesak supaya kerjasama ketenteraan dan risikan Amerika dengan Israel tidak diperluaskan melalui Rang Undang-Undang Kebenaran Pertahanan Nasional (NDAA).

Senator Demokrat, Chris Van Hollen, bersama 11 senator lain sebelum ini menggesa kepimpinan Kongres menggugurkan peruntukan yang akan memperkukuh kerjasama pertahanan dan risikan dengan Israel.

Bagaimanapun, Encik Jeffries belum memberikan sokongan secara jelas terhadap cadangan tersebut.

“Saya belum berbincang dengan Senator Van Hollen, tetapi saya sudah menegaskan bahawa keadaan di Timur Tengah mesti berubah secara besar-besaran,” katanya.

Kemenangan Demokrat ubah percaturan

Kemenangan Demokrat dalam pilihan raya 3 November dijangka memberikan parti itu pengaruh lebih besar terhadap dasar luar Amerika apabila mengambil alih Kongres pada Januari.

Pemimpin Demokrat akan mempunyai kuasa menentukan rang undang-undang yang dibentangkan dan dibawa untuk pengundian.

Namun, Presiden Donald Trump masih mempunyai kuasa veto terhadap undang-undang yang diluluskan Kongres.

Untuk mengatasi veto Presiden, sokongan majoriti dua pertiga diperlukan dalam kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat.

Ramai calon Demokrat yang menang sebelum ini berkempen menentang bantuan ketenteraan kepada Israel dan penglibatan Amerika dalam perang dengan Iran.

Pendirian tersebut dijangka meningkatkan tekanan terhadap dasar Timur Tengah Trump sepanjang 2027.

Hubungan rapat Perdana Menteri sementara Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dengan Encik Trump dan Republikan, selain jumlah korban awam yang tinggi di Gaza, turut menjejaskan sokongan dwiparti terhadap Israel yang sudah bertahan selama beberapa dekad.

Walaupun Washington sejak sekian lama menyokong penyelesaian dua negara melalui rundingan, pentadbiran Trump lebih menumpukan kepada pelan damainya sendiri bagi Gaza dan penyelesaian lebih luas di Timur Tengah.

Encik Jeffries menegaskan Demokrat akan bekerjasama untuk mencapai keamanan berkekalan yang menjamin keselamatan Israel serta hak rakyat Palestin.

“Kita akan bekerjasama sebagai satu parti untuk mencapai keamanan yang adil dan berkekalan bagi rakyat Israel dan Palestin,” katanya. - Agensi berita