WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, mengakui perang negaranya dengan Iran mungkin menjadi antara punca kekalahan besar Parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal, yang menyaksikan Parti Demokrat merampas penguasaan kedua-dua dewan Kongres.

Bagaimanapun, Encik Trump, 80 tahun, enggan bertanggungjawab secara peribadi terhadap kekalahan itu, sebaliknya menyalahkan anggota partinya sendiri meskipun beliau berkempen secara agresif bagi membantu calon Republikan.

Dalam tindakan luar biasa, Encik Trump turut mengucapkan tahniah kepada Demokrat atas kemenangan besar mereka dalam pilihan raya pada 3 November, yang dijangka menyukarkan pentadbirannya sepanjang baki dua tahun penggal jawatannya.

“Saya ingin katakan ini: tahniah kepada Demokrat. Mereka melakukan tugas dengan baik,” katanya dalam wawancara telefon bersama FOX News Democracy 26.

“Mereka sudah menantikan kemenangan ini selama 11 tahun dan akhirnya berjaya. Tetapi saya tidak melihatnya sebagai tamparan terhadap diri saya.”

Kenyataan itu berbeza daripada pendekatan Encik Trump sepanjang kempen, apabila beliau berulang kali menyerang Demokrat dengan pelbagai gelaran, termasuk komunis dan golongan Islamis.

Beliau turut menegaskan bahawa beliau menerima keputusan pilihan raya kali ini, berbeza daripada pendiriannya selepas kekalahan dalam pilihan raya presiden 2020.

“Saya boleh bekerjasama dengan mereka dalam banyak perkara,” katanya.

Namun, Encik Trump memberi amaran bahawa beliau tidak akan teragak-agak menggunakan kuasa presidennya untuk memveto rang undang-undang Demokrat yang tidak dipersetujuinya.

“Mereka boleh menghantar 50 rang undang-undang hebat yang membuat mereka begitu teruja, dan saya akan menghantarnya semula dengan cop yang jelas – ‘veto’,” katanya.

Encik Trump turut mengakui perang dengan Iran, yang menyebabkan harga minyak melonjak dan meningkatkan tekanan terhadap kos sara hidup rakyat Amerika, mungkin mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Perang yang tercetus selepas serangan bersama AS dan Israel terhadap Iran pada Februari lalu berlarutan selama beberapa bulan tanpa penyelesaian jelas.

“Saya fikir sebahagiannya disebabkan Iran, tetapi pada masa yang sama, rakyat memahami kepentingan apa yang saya lakukan terhadap Iran,” katanya.

Konflik itu kini berada dalam keadaan buntu, dengan serangan berselang-seli meningkatkan kebimbangan bahawa peperangan besar boleh tercetus semula.

Ketua perunding Iran dalam rundingan dengan Amerika, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, menyifatkan kemenangan Demokrat sebagai penolakan rakyat Amerika terhadap peperangan.

“Sama ada kerana suara hati atau kos sara hidup, rakyat Amerika berkata TIDAK KEPADA PERANG, dan kami menyokong mesej itu,” katanya menerusi platform X.

Beliau turut memberi amaran bahawa Washington akan menghadapi akibat buruk sekiranya mengabaikan kehendak rakyatnya demi memenuhi kepentingan pihak luar.

Kemenangan besar Demokrat menyaksikan parti itu menguasai Dewan Senat dan Dewan Perwakilan selepas menawan beberapa kerusi yang selama ini dianggap kubu kuat Republikan.

Gelombang sokongan terhadap Demokrat turut melanda negeri konservatif seperti Texas, Iowa dan South Carolina, yang sebelum ini memberikan kemenangan besar kepada Encik Trump dalam pilihan raya presiden 2024.

Di Kansas, paderi gereja besar, Encik Adam Hamilton, mencipta sejarah apabila menjadi calon Demokrat pertama memenangi kerusi Senat negeri itu sejak zaman Kemelesetan Besar hampir seabad lalu.

Di Ohio, calon Demokrat, Encik Sherrod Brown, merampas kerusi yang pernah disandang Naib Presiden JD Vance dua tahun lalu.

Di Texas pula, wakil rakyat negeri daripada Demokrat, Encik James Talarico, menewaskan Peguam Negara Texas, Encik Ken Paxton, meskipun calon Republikan itu menerima sokongan kewangan besar daripada kumpulan luar.

Kemenangan tersebut amat bermakna kerana Ohio dan Texas memberikan kemenangan kepada Encik Trump dengan kelebihan dua angka peratusan pada 2024.

Di South Carolina, pakar kanak-kanak, Dr Annie Andrews, menewaskan Senator Republikan, Cik Darline Graham, yang dilantik menggantikan abangnya, mendiang Senator Lindsey Graham.

Encik Trump sebelum ini menyokong Encik Paxton dan Cik Graham walaupun kedua-duanya berdepan kontroversi.

Encik Paxton pernah menghadapi proses pemecatan pada 2023 serta tuduhan penipuan sekuriti, manakala kekurangan pengalaman Cik Graham menjadi perhatian pengundi.

Demokrat berjaya merampas enam kerusi Senat daripada Republikan, sekali gus menjamin majoriti.

Di Dewan Perwakilan, Demokrat turut merampas sekurang-kurangnya lapan kerusi Republikan, termasuk di Kentucky, New Jersey dan North Carolina.

Kemenangan mereka turut meliputi jawatan gabenor apabila Cik Gina Hinojosa menewaskan penyandang tiga penggal, Encik Greg Abbott, di Texas.

Demokrat juga memenangi jawatan gabenor di Iowa dan Ohio.

Walaupun mengadakan lebih 20 rapat umum untuk membantu calon Republikan, Encik Trump menegaskan kekalahan itu bukan berpunca daripada dirinya.

Sepanjang kempen, beliau berulang kali meminta penyokong Republikan supaya mengundi seolah-olah namanya turut berada dalam kertas undi.

Namun, selepas keputusan menunjukkan kekalahan besar partinya, beliau mengubah pendirian.

“Saya tidak bertanding dalam pilihan raya ini. Jika saya bertanding, kami pasti menang besar!” tulis Encik Trump di Truth Social.

Senator Demokrat Georgia, Encik Jon Ossoff, menyifatkan kemenangan partinya sebagai penolakan jelas rakyat terhadap kepimpinan Encik Trump.

“Melalui kemenangan besar dan meyakinkan ini, rakyat Amerika telah menolak kepincangan moral, rasuah dan ketidakcekapan lelaki bernama Presiden Donald J. Trump,” katanya kepada penyokong.

Di Florida, Senator Republikan, Cik Ashley Moody, berjaya mempertahankan kerusinya tetapi hanya dengan kelebihan kira-kira tiga mata peratusan, berbanding kemenangan Encik Trump sebanyak 13 mata peratusan di negeri itu pada 2024.

Keputusan itu menunjukkan sokongan terhadap Republikan semakin merosot, termasuk di negeri yang secara tradisinya memihak kepada parti tersebut.

Tinjauan pengundi turut mendapati 70 peratus mahu Kongres memainkan peranan lebih besar dalam mengawasi dan mengimbangi kuasa presiden.

Kemenangan Demokrat dijangka meningkatkan tekanan terhadap Encik Trump, khususnya dalam dasar ekonomi, perdagangan dan perang Iran, selain membuka laluan kepada pengawasan lebih ketat terhadap pentadbirannya. – Agensi berita