RIYADH: Kementerian Dalam Negeri Saudi mengumumkan penalti bagi mereka yang menunaikan haji tanpa permit, atau mereka yang memudahkan pemegang pelbagai jenis visa lawatan untuk menunaikan haji secara haram.

Denda maksimum 100,000 riyal ($34,200) akan dikenakan ke atas mereka yang memberi kemudahan kepada pemegang visa lawatan atau memberi tempat tinggal atau pengangkutan kepada mereka yang tinggal melebihi tempoh visa untuk menunaikan haji.

Penalti tersebut akan dikenakan ke atas mereka yang melanggar peraturan tersebut dari 1 Zulkaedah, bersamaan dengan 18 April, sehingga 14 Zulhijah atau 31 Mei.

Denda maksimum 20,000 riyal akan dikenakan ke atas individu yang ditangkap menunaikan atau cuba menunaikan haji tanpa permit.

Penalti yang sama akan dikenakan ke atas pemegang semua jenis visa lawatan yang memasuki atau cuba memasuki atau tinggal di kota Makkah dan tempat-tempat suci dalam tempoh berkenaan.

Denda maksimum 100,000 riyal akan dikenakan ke atas sesiapa yang memohon visa lawatan untuk individu yang telah menunaikan atau cuba menunaikan ibadah haji tanpa permit, atau yang telah memasuki atau tinggal di kota Makkah dan tempat suci dalam tempoh yang ditetapkan.

Denda akan berganda bagi setiap individu yang melanggar peraturan tersebut.

Malah, denda 100,000 riyal akan dikenakan ke atas sesiapa yang membawa atau cuba membawa pemegang visa lawatan ke kota Makkah dan tempat suci dalam tempoh yang ditetapkan.

Ia termasuk mereka yang melindungi atau cuba melindungi pemegang visa lawatan termasuk di hotel, pangsapuri, kediaman persendirian, tempat perlindungan, atau kemudahan penginapan haji.

Penalti yang sama akan dikenakan ke atas mereka yang menyembunyikan pemegang visa lawatan haram atau memberikan bantuan yang membolehkan mereka kekal di kota Makkah.

Denda akan berganda bagi setiap individu yang ditempatkan, disembunyikan, atau dibantu.

Mereka yang menyusup masuk ke Makkah untuk menunaikan haji tanpa permit, sama ada penduduk atau mereka yang melebihi tempoh visa mereka, akan dihantar pulang ke negara mereka dan dilarang memasuki Saudi selama 10 tahun.

Kementerian tersebut juga menyatakan pihak mahkamah akan diminta merampas kenderaan yang mengangkut pemegang visa lawatan ke kota dan tempat suci di Makkah dalam tempoh tersebut.

Kementerian tersebut menyatakan mereka yang dikenakan denda berhak memfailkan aduan kepada satu jawatankuasa dalam tempoh 30 hari dan boleh mengemukakan rayuan terhadap keputusan jawatankuasa tersebut dalam tempoh 60 hari. – Agensi berita.