Saudi arah pemegang visa tinggalkan negara sebelum 18 Apr jelang musim haji
Saudi arah pemegang visa tinggalkan negara sebelum 18 Apr jelang musim haji
Saudi arah pemegang visa tinggalkan negara sebelum 18 Apr jelang musim haji
RIYADH: Arab Saudi melanjutkan tempoh sah pelbagai kategori visa sehingga 18 April 2026 bagi warga asing yang tidak dapat meninggalkan negara itu susulan gangguan perjalanan akibat konflik serantau.
Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan pada 25 Mac memaklumkan, lanjutan itu melibatkan visa yang tamat pada atau selepas 25 Februari 2026, termasuk visa lawatan, umrah, transit serta visa keluar muktamad.
Menurut kementerian, individu terjejas boleh terus ke pintu keluar antarabangsa untuk berlepas tanpa perlu mendapatkan kelulusan tambahan.
“Prosedur keluar akan diselesaikan di pintu keluar dan perkhidmatan ini disediakan tanpa sebarang bayaran bagi mereka yang memilih untuk terus pulang,” ujar kenyataan itu.
Langkah tersebut diambil ketika ribuan warga asing terkandas akibat gangguan perjalanan udara susulan konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
Penutupan ruang udara di beberapa negara serta penggantungan operasi penerbangan telah menjejas laluan dan jadual perjalanan.
Dalam masa sama, pihak berkuasa mengingatkan semua pemegang visa umrah supaya meninggalkan negara itu selewat-lewatnya 18 April atau berdepan tindakan tegas.
Mereka yang tinggal melebihi tempoh visa boleh dikenakan denda, dipenjara serta dihantar pulang.
Kementerian turut memberi amaran kepada rakyat dan penduduk tempatan supaya tidak membantu mana-mana individu yang melanggar syarat visa.
Bantuan seperti menyediakan tempat tinggal, pengangkutan atau pekerjaan kepada individu serupa itu boleh membawa kepada tindakan undang-undang.
Selain lanjutan tempoh, kerajaan turut menawarkan dua pilihan kepada pemegang visa yang telah tamat tempoh.
Pertama, visa boleh diperbaharui sehingga 18 April melalui platform Absher dengan bayaran ditetapkan dan permohonan majikan.
Kedua, individu boleh terus pulang ke negara asal tanpa memperbaharui visa dan tanpa dikenakan sebarang denda atau caj tambahan.
“Kemudahan ini diberikan bagi membantu mereka yang tidak dapat berlepas tepat pada masanya akibat keadaan serantau,” tambah kementerian itu.
Pihak berkuasa menegaskan bahawa semua individu yang menggunakan kemudahan itu mesti meninggalkan Arab Saudi sebelum tarikh akhir tersebut.
“Kegagalan mematuhi tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan tindakan undang-undang diambil,” katanya.
Langkah itu dijangka memberi kelegaan kepada ribuan pekerja asing dan pelawat, termasuk jemaah umrah yang terkandas.
Pada masa sama, kerajaan berusaha memastikan pergerakan keluar masuk jemaah lebih teratur menjelang musim haji yang bakal tiba.
Kementerian Haji dan Umrah turut menggesa jemaah supaya mematuhi semua garis panduan perjalanan serta memastikan urusan pulang dirancang lebih awal.
Penyelarasan antara jemaah dengan penyedia perkhidmatan dianggap penting bagi mengelakkan kesesakan dan kelewatan di lapangan terbang.
Pihak berkuasa turut meningkatkan pemantauan terhadap pergerakan keluar jemaah bagi memastikan semua meninggalkan negara itu mengikut jadual.
Langkah itu penting untuk mengelakkan gangguan terhadap sistem pengangkutan dan sektor pelayanan, terutama ketika tempoh kemuncak ibadah. – Agensi berita.

