Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Di sebalik ketegangan sempadan Thailand-Kemboja

Jul 25, 2025 | 11:25 AM
Sisa runtuhan kelihatan bertaburan di perkarangan Hospital Phanom Dong Rak yang mengalami kerosakan selepas terkena tembakan meriam dari Kemboja, di wilayah sempadan Thailand, Surin, pada 24 Julai 2025. Thailand melancarkan serangan udara ke atas sasaran ketenteraan Kemboja pada hari yang sama selepas pihak Kemboja melepaskan roket dan tembakan artileri yang mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang awam, sekali gus mencetuskan peningkatan dramatik dalam pertikaian sempadan yang telah berlarutan lama antara kedua-dua negara jiran ini.
Sisa runtuhan kelihatan bertaburan di perkarangan Hospital Phanom Dong Rak yang mengalami kerosakan selepas terkena tembakan meriam dari Kemboja, di wilayah sempadan Thailand, Surin, pada 24 Julai 2025. Thailand melancarkan serangan udara ke atas sasaran ketenteraan Kemboja pada hari yang sama selepas pihak Kemboja melepaskan roket dan tembakan artileri yang mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang awam, sekali gus mencetuskan peningkatan dramatik dalam pertikaian sempadan yang telah berlarutan lama antara kedua-dua negara jiran ini. - Foto AFP

BANGKOK/PHNOM PENH: Konflik maut yang tercetus di sempadan Thailand-Kemboja pada 24 Julai bukan sekadar insiden ketenteraan biasa. Ia menjadi simbol kepada keretakan mendalam dalam hubungan dua negara jiran yang sebelum ini saling bergantung dalam pelbagai urusan politik, keselamatan dan ekonomi.

Ketegangan ini bukan hanya berpunca daripada letupan periuk api yang mencederakan lima anggota tentera Thai, tetapi didorong oleh dendam politik, kebocoran maklumat sensitif, dan perebutan pengaruh serantau.

Menurut pihak berkuasa Thailand, insiden terbaru ini telah meragut 12 nyawa sebahagian besarnya orang awam. Kemboja masih belum mengesahkan angka korban di pihak mereka.

Situasi ini mengingatkan kembali kepada pertempuran besar pada 2008 dan 2011 yang menyaksikan puluhan nyawa terkorban akibat perebutan kawasan di sempadan. Namun kali ini, konflik yang berlaku bukan sekadar berpunca daripada pertikaian wilayah, tetapi hasil daripada krisis kepercayaan antara dua tokoh politik veteran Asia Tenggara.

Asal-usul konflik ini bermula sebulan lalu apabila bekas Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Sen, secara terbuka membocorkan perbualan telefon peribadi bersama Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra.

Dalam rakaman itu, Cik Paetongtarn merujuk Encik Hun Sen sebagai “pak cik” dan mengkritik pegawai tertingginya sendiri dalam isu sempadan tindakan yang mencetuskan kemarahan awam di Thailand dan mempermalukan beliau secara politik. Akibat kebocoran itu, Cik Paetongtarn digantung daripada jawatannya dan kini berdepan siasatan oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand.

Hubungan peribadi yang dahulunya erat antara keluarga Shinawatra dan Encik Hun Sen kini menjadi punca ketegangan antara dua negara.

“Rakaman itu bukan sahaja memalukan Paetongtarn, malah dilihat sebagai satu pengkhianatan terhadap warisan politik ayahnya, Thaksin,” kata seorang penganalisis politik dari Bangkok kepada BBC. “Ia telah mencetuskan gelombang kebencian dan ketegangan diplomatik yang belum pernah berlaku sebelum ini.”

Sebahagian pemerhati melihat tindakan Encik Hun Sen itu sebagai satu strategi politik untuk memperkukuhkan pengaruhnya dalam arena domestik Kemboja. Dalam keadaan anaknya, Encik Hun Manet, masih berusaha membina autoriti sebagai perdana menteri baru, Encik Hun Sen dilihat bertindak sebagai pemain utama di sebalik tabir.

“Hun Sen masih belum melepaskan pengaruh,” ujar seorang diplomat Asean. “Dalam isu ini, dia menunjukkan bahawa beliau masih mengawal naratif dan hala tuju dasar luar Kemboja.”

Thailand pula berdepan cabaran dalaman tersendiri. Kerajaan gabungan yang dipimpin oleh parti Pheu Thai, warisan politik keluarga Shinawatra sedang bergelut dengan ekonomi yang lembap dan tekanan daripada dasar perdagangan Amerika Syarikat. Dalam suasana yang tidak stabil ini, sebarang persepsi kelemahan terhadap Kemboja boleh memudaratkan sokongan politik.

Pertelingkahan politik ini juga mula diterjemahkan dalam tindakan konkrit. Polis Thailand kini menyiasat beberapa tokoh perniagaan Kemboja yang dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian dan penipuan dalam talian. Pada masa sama, perdagangan rentas sempadan yang mencecah berbilion dolar setahun kini tergantung, menjejaskan ekonomi kedua-dua negara.

Situasi di sempadan turut membimbangkan. Kedua-dua pasukan tentera kini berada dalam kedudukan bersiap siaga. “Kebimbangan kami ialah berlakunya salah faham yang boleh mencetuskan pertempuran besar-besaran,” kata seorang pegawai keselamatan Thai.

Encik Hun Sen pula menambah ‘bahan bakar’ apabila mendakwa beliau memiliki dokumen sulit yang boleh mengaitkan Encik Thaksin dengan penghinaan terhadap institusi diraja, satu kesalahan berat di Thailand. Sebagai tindak balas, Thailand mengusir duta Kemboja dan memanggil pulang duta mereka dari Phnom Penh.

Motif sebenar di sebalik tindakan Hun Sen membocorkan perbualan Cik Paetongtarn kekal misteri. Antara andaian yang dibuat termasuk tekanan daripada Thailand terhadap sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi dari Kemboja, serta rancangan Encik Thaksin untuk menghalalkan industri perjudian yang boleh menjejas industri kasino Kemboja yang lumayan.

Ada juga yang melihat tindakan itu sebagai strategi ‘realpolitik’. “Mungkin Hun Sen melihat Thaksin bukan lagi aset, tetapi liabiliti politik,” ujar seorang pemerhati politik serantau. “Jadi beliau memilih untuk ‘melepaskan’ persahabatan demi menaikkan semangat nasionalisme di kalangan rakyatnya.”

Meskipun suasana semakin tegang, harapan untuk penyelesaian masih ada. Encik Thaksin dan Encik Hun Sen merupakan tokoh yang pernah berdamai walaupun berbeza pandangan. Jika kedua-dua pihak bersedia untuk berdialog, Asean boleh memainkan peranan sebagai perantara.

“Krisis ini adalah ujian buat Asean,” kata seorang pegawai kanan dari Jakarta. “Kita perlu kembali kepada prinsip asal mengelakkan konflik antara negara anggota.”

Namun buat masa ini, baik Thailand mahupun Kemboja tidak menunjukkan kesediaan untuk berundur. Krisis ini bukan sekadar tentang sempadan atau hubungan peribadi, tetapi tentang kuasa, pengaruh, dan kelangsungan politik dalam landskap Asia Tenggara yang semakin mencabar. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg