BANGKOK/PHNOM PENH: Ketegangan sempadan Thailand-Kemboja semakin membimbangkan apabila pertempuran bersenjata tercetus awal pagi 24 Julai di kawasan sempadan yang telah lama dipertikaikan dengan kedua-dua pihak saling menyalahkan berhubung siapakah yang melepaskan tembakan pertama selepas beberapa minggu ketegangan memuncak.
Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Encik Mali Socheata, pertempuran berlaku sekitar 7.30 pagi di wilayah Oddar Meanchey.
“Tentera Thailand terlebih dahulu melancarkan serangan bersenjata terhadap pasukan kami.
“Pasukan tentera Kemboja hanya bertindak dalam rangka mempertahankan diri terhadap pencerobohan tanpa provokasi yang jelas melanggar kedaulatan wilayah kami,” katanya kepada media tempatan, Khmer Times.
Media rasmi Kemboja melaporkan, pertempuran tercetus selepas tentera Thailand menyekat akses orang awam ke Kuil Ta Moan Thom, sebuah tapak warisan era Angkor yang dianggap suci oleh rakyat Kemboja.
Mereka juga mendakwa tentera Thailand menggunakan dron pengawasan sebelum menghantar tentera dengan senjata berat ke kawasan tersebut.
Sementara itu, tentera Thailand pula menafikan tuduhan tersebut dan menyatakan bahawa tentera Kemboja yang terlebih dahulu melepaskan tembakan di kawasan berdekatan kuil yang dipertikaikan.
Dalam satu kenyataannya, tentera Thailand menyatakan:
“Kami hanya mempertahankan kedudukan kami. Pihak Kemboja menghantar anggota bersenjata selepas menggerakkan dron di kawasan kami.”
Ketegangan itu berlaku selepas seorang lagi tentera Thailand kehilangan kaki akibat letupan periuk api di kawasan sempadan awal minggu ini – kejadian kedua dalam tempoh seminggu.
Berikutan itu, kerajaan Thailand telah memanggil pulang dutanya di Phnom Penh dan mengusir duta Kemboja di Bangkok.
Menurut Kementerian Luar Thailand, periuk api yang diletakkan dipercayai baru ditanam, berdasarkan pemerhatian rondaan terdahulu yang tidak menunjukkan kewujudannya.
“Kami telah menghantar bantahan rasmi kepada Kemboja.
“Ini bukan hanya isu keselamatan, malah satu pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa,” kata kenyataan itu di media sosial.
Mantan Perdana Menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra, turut mengeluarkan kenyataan tegas di wadah X, menyalahkan mantan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Sen, atas kes serangan itu.
“Arahannya jelas serangan di wilayah Thailand dengan perangkap letupan.
“Ini melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip kejiranan baik,” tulis beliau.
Encik Thaksin menegaskan dua askar Thailand telah kehilangan kaki, dan beberapa orang awam turut cedera.
“Thailand telah menunjukkan kesabaran dengan mematuhi undang-undang antarabangsa, tetapi kini kami berhak bertindak balas dengan penuh kewajaran,” tambah Encik Thaksin.
Beliau mencadangkan agar Kementerian Luar menggunakan saluran diplomatik dan strategi ketenteraan untuk bertindak balas.
Dalam hantaran di Facebook rasmi ‘Samdech Hun Sen of Cambodia’, Encik Hun Sen mempertahankan tindakan tentera negaranya.
“Serangan bermula selepas Thailand mengarahkan penutupan kuil kami dan melancarkan serangan ke atas tentera Kemboja,” katanya.
Beliau meminta rakyat Kemboja agar tidak panik dan tidak melakukan pembelian panik seperti memborong beras atau menaikkan harga barang.
“Teruskan kehidupan seperti biasa kecuali di kawasan sempadan Oddar Meanchey dan di lokasi yang masih berlaku pertempuran,” pesan Hun Sen.
“Percayalah pada pemerintah dan angkatan tentera kita.”
Keadaan kini masih tegang dengan kedua-dua negara dilapor menambah kekuatan ketenteraan di sepanjang sempadan.
Bunyi tembakan dan letupan berat didengar oleh penduduk tempatan, menunjukkan penggunaan senjata berat dari kedua-dua pihak.
Media Kemboja turut menyebut kejadian letupan periuk api sebelum ini adalah berpunca daripada periuk api lama zaman perang saudara.
Namun, Thailand menegaskan bahawa periuk api yang meledak itu baru ditanam dan menjadi bukti pencerobohan terkini.
Sebagai langkah keselamatan, Thailand turut mengumumkan larangan kemasukan pelancong ke kawasan sempadan yang terjejas.
“Keadaan di sempadan kini terlalu berbahaya untuk pelancongan.
“Kami menyeru rakyat agar mengelak kawasan tersebut dan mematuhi arahan keselamatan,” kata kenyataan rasmi kerajaan Thailand. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg