Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Di sebalik strategi Trump gesa Netanyahu terima pelan damai

Oct 9, 2025 | 10:26 AM
donald trump, pelan damai, israel, palestin
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, berbisik ke telinga Presiden Donald Trump semasa sesi meja bundar di Bilik Makan Negara, Rumah Putih, Washington, DC, pada 8 Oktober 2025. - Foto AFP

WASHINGTON: Dalam satu detik yang dramatik di Rumah Putih, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menerima satu nota daripada diplomat utamanya yang membisikkan bahawa perjanjian Gaza bakal dimeterai.

Tidak lama selepas itu, Encik Trump dengan bangganya mengumumkan berita tersebut di laman Truth Social miliknya dengan ayat berbunyi: “Diberkatilah para pendamai.”

Adegan itu mungkin kelihatan seperti satu persembahan politik yang biasa bagi seorang presiden yang gemar menonjolkan dirinya sebagai “ketua pendamai dunia”.

Namun di sebalik pentas dan kamera, sebahagian besar usaha Encik Trump berlaku secara senyap di belakang tabir, satu operasi diplomatik yang memerlukan tekanan, pujukan dan kadangkala konfrontasi, terutama terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.

Encik Trump, yang dilihat berhasrat mengukir legasi besar sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan, memilih pendekatan berbeza kali ini.

Tidak seperti sebelum ini apabila beliau sering memberikan ‘cek kosong’ kepada Israel, Encik Trump kali ini mengenakan tekanan secara halus terhadap sekutu rapatnya itu.

Beliau menjemput Encik Netanyahu ke Rumah Putih pada 29 September untuk melancarkan pelan damai 20 perkara yang diusul Amerika.

Secara terbuka, Encik Trump kelihatan menyokong penuh Encik Netanyahu, sambil menyatakan bahawa jika Hamas menolak pelan itu, Israel akan menerima “sokongan penuh” untuk menumpaskan kumpulan penentang Palestin itu.

Namun secara peribadi, suasananya amat berbeza.

Menurut beberapa sumber diplomatik, pelan itu sebenarnya telah disediakan selepas rundingan intensif dengan para pemimpin Arab dan Islam di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seminggu sebelumnya.

Apabila Encik Netanyahu melihat draf pelan itu, beliau mendapati terdapat beberapa perkara yang sukar diterima, termasuk cadangan yang mengandungi asas kepada pembentukan negara Palestin.

Encik Trump turut marah dengan tindakan Israel menyerang anggota Hamas di Qatar, sekutu penting Washington, ketika rundingan masih dijalankan.

“Trump menggunakan kemarahan negara-negara Arab terhadap serangan itu untuk menguatkan tekanan agar semua pihak bersetuju dengan pelannya,” kata seorang pegawai Timur Tengah yang terlibat dalam proses tersebut.

Dalam satu peristiwa luar biasa, Encik Trump memaksa Encik Netanyahu untuk terus menghubungi Amir Qatar dari Pejabat Oval untuk memohon maaf.

Gambar rasmi yang dikeluarkan Rumah Putih menunjukkan Encik Trump duduk memegang gagang telefon sementara Encik Netanyahu membaca teks permohonan maaf daripada sehelai kertas.

Menurut laporan akhbar digital politik Amerika, Politico, seorang pegawai kanan Qatar turut berada di bilik itu untuk memastikan Encik Netanyahu kekal mengikut skrip.

Tidak lama selepas itu, Encik Trump menandatangani perintah khas yang memberikan jaminan keselamatan Amerika kepada Qatar, satu langkah yang menandakan perubahan besar dalam strategi diplomatiknya di Asia Barat.

Langkah itu turut mencerminkan hubungan rapat Encik Trump dengan negara-negara Arab yang telah dibina sejak penggal pertamanya.

Ketika itu, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi menandatangani Perjanjian Abraham, perjanjian bersejarah yang mengiktiraf Israel.

Dalam penggal keduanya, tumpuan Encik Trump beralih kepada memperkukuh hubungan dengan Qatar, Mesir dan UAE.

Lawatan luar negara pertamanya kali ini juga hanya tertumpu kepada negara-negara Teluk tanpa sebarang persinggahan di Israel.

“Encik Trump tahu kekuatan sebenar pelan damai ini bergantung pada pengaruh negara Arab,” kata seorang mantan pegawai Jabatan Negara Amerika.

“Beliau bermain di dua gelanggang, menekan Israel sambil memujuk dunia Arab,” tambahnya.

Menjelang awal Oktober, Encik Trump memberi amaran keras kepada Hamas supaya mencapai persetujuan sebelum 5 Oktober atau “berdepan dengan neraka”.

Ancaman itu disusuli dengan satu peluang diplomatik apabila Hamas menawarkan pertimbangan balas, dengan menekankan keinginan untuk membebaskan semua tebusan Israel di Gaza, sesuatu yang selari dengan janji peribadi Encik Trump kepada keluarga mangsa.

Encik Trump segera menyambutnya sebagai kemenangan besar.

Beliau mengeluarkan mesej video mengumumkan kejayaan tersebut, malah dalam langkah yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana presiden Amerika, memetik kenyataan rasmi Hamas yang diklasifikasikan Washington sebagai organisasi pengganas.

Walaupun kumpulan itu masih belum bersetuju sepenuhnya dengan semua perkara dalam pelan damai 20 perkara tersebut, Encik Trump tidak mengendahkannya.

Beliau sebaliknya menekan Israel, Hamas, serta para pengantara dari Mesir dan Qatar untuk segera memuktamadkan perjanjian itu.

Dalam wawancara dengan portal Axios, Encik Trump berkata beliau memberitahu Encik Netanyahu: “Bibi (Netanyahu), ini peluang kemenangan kamu. Dia setuju. Dia mesti setuju.

“Dengan saya, kamu tiada pilihan lain.

Kini, apabila pelan damai Gaza memasuki fasa pertama pelaksanaannya termasuk pembebasan tebusan dan pengunduran tentera Israel ke sempadan yang dipersetujui Encik Trump dilihat berjaya memperkukuh imejnya sebagai “pendamai dunia”.

Namun bagi ramai pemerhati, persoalan sebenar ialah sama ada langkah itu akan membawa keamanan sebenar atau sekadar satu lagi babak dalam teater politik Trump. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg