SHARM EL-SHEIKH (Mesir): Hamas pada 7 Oktober menyatakan kesediaan untuk mencapai perjanjian damai berdasarkan pelan yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, namun menegaskan masih terdapat syarat yang perlu dipenuhi.
Rundingan tidak langsung antara Hamas dengan Israel kini berlangsung di pusat peranginan Laut Merah, Sharm el-Sheikh, dengan penyertaan perantara kanan dari Qatar dan Amerika Syarikat.
Pada ulang tahun kedua serangan Hamas terhadap Israel yang mencetuskan perang di Gaza pada 7 Oktober 2023, Encik Trump menyuarakan keyakinan kemajuan ke arah mencapai perjanjian damai.
“Saya fikir ada kemungkinan kita boleh mencapai keamanan di Timur Tengah, bukan sekadar di Gaza,” katanya kepada pemberita di Pejabat Oval pada 7 Oktober.
Encik Trump turut menghantar pasukan perunding termasuk utusan khas, Encik Steve Witkoff, dan penasihat Timur Tengah semasa penggal pertamanya, Encik Jared Kushner, untuk menyertai sesi di Mesir.
Encik Trump dilaporkan menerima taklimat khas daripada Encik Witkoff dan Encik Kushner sebelum mereka berlepas ke Mesir untuk mengemas kini perkembangan serta isu keselamatan tebusan.
Menurut sumber diplomatik, suasana rundingan pada hari kedua lebih positif berbanding sebelumnya.
“Hari ini akan menjadi penentu sama ada kemajuan sebenar boleh dicapai, terutama dengan kehadiran perantara kanan,” kata seorang pegawai.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani, yang menjadi pengantara penting sejak awal perang, dijadual tiba bagi “mendorong pelan gencatan Gaza dan pembebasan tebusan,” lapor agensi berita, Reuters.
Rundingan itu dilihat paling berpotensi menamatkan konflik berdarah tersebut.
Pemimpin kanan Hamas, Encik Khalil Al-Hayya, memberitahu saluran berita Mesir, Al Qahera News, bahawa delegasinya hadir untuk “rundingan yang serius dan bertanggungjawab”.
Namun beliau menegaskan Hamas memerlukan “jaminan sebenar” bagi memastikan peperangan berakhir dan tidak berulang.
“Kami mahu jaminan yang kukuh agar rakyat Gaza tidak terus dizalimi. Dua kali gencatan senjata telah dilanggar, kami tidak mahu pengkhianatan berulang,” katanya.
Pemimpin kanan Hamas itu turut memberi amaran bahawa serangan dan pengeboman masih berterusan, selain bantuan kemanusiaan yang disekat khususnya di utara Jaluran Gaza.
Menurut pihak berkuasa Gaza, lebih 67,000 orang terbunuh sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan 1,200 orang dan membawa 251 tebusan ke Gaza.
Pegawai Hamas, Encik Fawzi Barhoum, pula menegaskan rundingan tersebut mesti menghasilkan gencatan senjata menyeluruh, pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza, serta proses pembinaan semula di bawah pengawasan badan teknokratik Palestin.
“Delegasi kami berusaha mengatasi semua halangan untuk memenuhi aspirasi rakyat Gaza,” katanya.
Namun, Israel bertegas mahu Hamas melucutkan senjata sepenuhnya – tuntutan yang ditolak Hamas.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dalam kenyataan di wadah X berkata, negaranya berada di “hari-hari penentuan” dan menegaskan matlamat perang kekal sama iaitu membawa pulang semua tebusan, menghapuskan pemerintahan Hamas, serta memastikan Gaza tidak lagi menjadi ancaman keselamatan.
Pegawai Amerika menyatakan keutamaan awal rundingan adalah menghentikan serangan dan membincangkan mekanisme pembebasan tebusan Israel serta tahanan Palestin.
Di Israel, rakyat memperingati ulang tahun serangan 7 Oktober – hari paling berdarah bagi orang Yahudi sejak Holocaust.
Ramai keluarga berharap perjanjian itu membawa pulang 48 tebusan yang masih berada di Gaza, termasuk 20 yang dipercayai masih hidup.
“Dua tahun menunggu, luka ini tidak pernah sembuh,” kata Cik Hilda Weisthal, 43 tahun.
Di Gaza pula, keperitan hidup berlarutan.
“Sudah dua tahun kami hidup dalam ketakutan, kehancuran dan perpindahan berulang,” ujar Encik Mohammed Dib, 49 tahun, yang beberapa kali melarikan diri daripada serangan udara. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg