Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Diskriminasi terhadap Muslim, Arab Amerika meningkat akibat perang Gaza

Mar 11, 2025 | 12:39 PM
FOTO FAIL: Seorang individu memegang lilin semasa upacara nyalaan lilin bagi memperingati Wadea Al-Fayoume, 6 tahun, seorang kanak-kanak lelaki Muslim yang menurut pihak polis telah ditikam hingga mati dalam serangan yang menyasarkan beliau dan ibunya kerana agama mereka serta sebagai tindak balas terhadap perang antara Israel dan Hamas. Upacara itu diadakan di Prairie Activity & Recreation Center, Plainfield, Illinois, Amerika Syarikat, pada 17 Oktober 2023.
FOTO FAIL: Seorang individu memegang lilin semasa upacara nyalaan lilin bagi memperingati Wadea Al-Fayoume, 6 tahun, seorang kanak-kanak lelaki Muslim yang menurut pihak polis telah ditikam hingga mati dalam serangan yang menyasarkan beliau dan ibunya kerana agama mereka serta sebagai tindak balas terhadap perang antara Israel dan Hamas. Upacara itu diadakan di Prairie Activity & Recreation Center, Plainfield, Illinois, Amerika Syarikat, pada 17 Oktober 2023. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Serangan dan diskriminasi terhadap komuniti Muslim dan Arab di Amerika Syarikat meningkat sebanyak 7.4 peratus sepanjang tahun 2024, menurut laporan terbaharu oleh Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR).

Kenaikan ini dikaitkan secara langsung dengan peningkatan sentimen Islamofobia susulan serangan Israel ke atas Gaza dan gelombang protes kampus yang tercetus selepasnya.

Menurut laporan tersebut, CAIR merekodkan sebanyak 8,658 aduan berkaitan kebencian terhadap Muslim dan Arab – angka tertinggi sejak organisasi itu mula menerbitkan data pada tahun 1996.

Laporan ini turut menggariskan pelbagai bentuk diskriminasi, termasuk diskriminasi pekerjaan (15.4 peratus), isu imigresen dan suaka (14.8 peratus), diskriminasi pendidikan (9.8 peratus), serta jenayah kebencian (7.5 peratus).

“Untuk tahun kedua berturut-turut, genosid yang disokong Amerika di Gaza telah mencetuskan gelombang Islamofobia di seluruh negara,” kata CAIR dalam satu kenyataan.

Israel sebelum ini menafikan sebarang tuduhan berkaitan genosid atau jenayah perang.
Laporan itu turut memfokuskan kepada tindakan keras oleh pihak berkuasa dan pentadbiran universiti terhadap protes pro-Palestin di kampus universiti.

Sepanjang kemuncak demonstrasi pada musim panas 2024, beberapa universiti membatalkan kelas, pentadbir meletak jawatan, dan pelajar ditangkap serta digantung pengajian.

Antara insiden paling mengejutkan termasuk tangkapan kasar oleh polis ke atas penunjuk perasaan di Universiti Columbia, serta serangan ganas oleh sekumpulan penentang terhadap pelajar pro-Palestin di Universiti California, Los Angeles.

Aktivis hak asasi manusia dan kebebasan bersuara mengkritik keras tindakan ini, menyifatkannya sebagai penindasan terhadap hak demokratik untuk bersuara dan berhimpun secara aman.

“Kami melihat penyalahgunaan kuasa yang ketara di institusi pendidikan tinggi yang sepatutnya menjadi medan perbincangan dan kebebasan intelektual,” ujar Encik Nihad Awad, Pengarah Eksekutif Nasional CAIR.

Laporan itu turut menyenaraikan beberapa insiden kebencian yang membimbangkan sejak akhir 2023, termasuk kes tikaman maut seorang kanak-kanak lelaki Palestin-Amerika berusia 6 tahun di Illinois, cubaan menenggelamkan seorang kanak-kanak perempuan Palestin-Amerika berusia 3 tahun di Texas, serta serangan fizikal terhadap individu Muslim di New York dan Texas.

Di Florida, dua pelancong warga Israel turut ditembak kerana disangka sebagai rakyat Palestin oleh suspek yang menyerang mereka.

Kritikan terhadap pemerintah Amerika turut meningkat selepas penahanan Encik Mahmoud Khalil, seorang pelajar pasca siswazah Palestin yang aktif menyertai protes aman di Universiti Columbia.

Penahanan itu dilihat sebagai cubaan membungkam suara protes terhadap dasar luar Amerika yang menyokong tindakan ketenteraan Israel.

“Kebencian yang berkembang ini bukan sahaja membahayakan nyawa rakyat minoriti, tetapi juga mencemarkan nilai keadilan dan demokrasi yang menjadi asas negara ini,” kata Encik Nihad mengakhiri kenyataan dengan tegas. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg