Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Doktor Saudi ditahan selepas rempuhan kereta maut di pasar Krismas Jerman

Dua terbunuh, 60 cedera dalam kejadian yang cetus ketakutan dalam musim perayaan
Dec 21, 2024 | 2:54 PM
Polis telah menahan seorang suspek yang merupakan seorang doktor Arab Saudi berusia 50 tahun, selepas kereta yang dipandunya merempuh sekumpulan pengunjung di Pasar Krismas di  Magdeburg, Jerman,  pada 21 Disember.
Polis telah menahan seorang suspek yang merupakan seorang doktor Arab Saudi berusia 50 tahun, selepas kereta yang dipandunya merempuh sekumpulan pengunjung di Pasar Krismas di Magdeburg, Jerman, pada 21 Disember. - Foto Reuters

MAGDEBURG; Jerman: Dua orang maut dan lebih 60 cedera dalam satu serangan maut apabila sebuah kereta merempuh sebuah pasar Krismas di Jerman pada 20 Disember.

Susulan itu, polis Jerman menahan seorang lelaki warga Arab Saudi yang menjadi suspek utama serangan itu.

Menurut Ketua Wilayah Saxony-Anhalt, Encik Reiner Haseloff, suspek seorang doktor perubatan berusia 50 tahun dari Arab Saudi yang tinggal di Saxony-Anhalt.

“Kami sudah menahan pelakunya, seorang lelaki dari Arab Saudi, seorang doktor yang berada di Jerman sejak 2006.

“Daripada apa yang kami tahu pada masa ini dia adalah penyerang tunggal. Jadi, kami tidak fikir ada bahaya lagi.

“Lelaki Arab Saudi itu dipercayai memandu kereta yang disewa dengan plat lesen Munich ke Pasar Krismas,” katanya kepada pemberita, sambil menyifatkan serangan itu sebagai satu malapetaka bagi bandar dan negara itu.

Polis berkata dalam kejadian itu, kereta yang dipandu suspek merempuh dan mengheret mangsa sekurang-kurangnya 400 meter merentasi Pasar Krismas hingga meninggalkan jejak darah mangsa di dataran dewan bandar pusat bandar itu.

Ambulans dan pasukan bomba bergegas ke lokasi itu untuk merawat mangsa yang cedera parah ketika mereka berbaring di atas tanah atau dikejarkan ke hospital.

Keadaan disifatkan kacau-bilau dengan tangisan dan jeritan kedengaran ketika kira-kira 100 anggota polis, pegawai perubatan dan pegawai bomba dikerahkan ke pasar berkenaan.

Akhbar mingguan Der Spiegel, yang memetik sumber keselamatan, berkata sebuah kereta BMW berwarna hitam merempuh orang ramai pada kelajuan tinggi sekitar 7 malam (2 pagi waktu Singapura) ketika pasar itu dipenuhi orang ramai.

Sementara itu, akhbar Die Welt melaporkan sebuah bagasi ditemui di tempat duduk penumpang tetapi tidak jelas apakah terdapat bahan letupan di dalamnya dan pihak berkuasa masih menyiasat motif serangan itu.

Pentadbiran bandar Magdeburg berkata 15 orang cedera parah, 37 cedera serius dan 16 cedera ringan.

Canselor Jerman, Encik Olaf Scholz, berkata laporan dari Magdeburg menimbulkan ketakutan paling teruk.

“Kami menyokong mangsa, keluarga mereka dan penduduk Magdeburg. Terima kasih kepada pekerja penyelamat yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi pada waktu cemas ini,” tulisnya dalam platform X.

Tiada kumpulan pelampau mengaku bertanggungjawab bagi serangan itu, tetapi penyokong kumpulan IS meraikannya dalam talian dengan mesej seperti “Selamat Hari Krismas, orang kafir”, lapor Kumpulan Perisikan SITE.

Akhbar tempatan Volkstimme berkata suspek “memandu dalam gerakan zig-zag merentasi pasar berkenaan – jelas dalam percubaan merempuh seramai mungkin orang”.

Seorang saksi memberitahu stesen penyiaran Welt bahawa apabila semuanya berakhir, “tidak dapat dibayangkan ramai cedera, kanak-kanak, lelaki terbaring di atas tanah”. – AFP, Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg