Topik diikuti
Pergi ke BHkuDokumentari Pesta Babi cetus perbincangan terbuka mengenai Papua
Dokumentari Pesta Babi cetus perbincangan terbuka mengenai Papua
Dokumentari Pesta Babi cetus perbincangan terbuka mengenai Papua
JAKARTA: Kontroversi yang tercetus susulan tayangan dokumentari Pesta Babi: Kolonialisme Di Zaman Kita kini berkembang menjadi perdebatan nasional mengenai Papua, pembangunan, kebebasan bersuara dan ruang demokrasi di Indonesia.
Walaupun beberapa tayangan awam dan sesi tontonan di kampus dilaporkan dihentikan atau diganggu pihak tertentu, dokumentari itu pada masa sama berjaya menarik perhatian jutaan rakyat Indonesia yang mahu memahami isu Papua dengan lebih mendalam.
Filem arahan wartawan Dandhy Dwi Laksono dan pembikin filem Cypri Paju Dale itu mengkritik Projek Strategik Nasional (PSN) di Papua Selatan yang didakwa memberi kesan kepada hak tanah masyarakat pribumi, alam sekitar dan kehidupan tradisional penduduk setempat.
Dokumentari berdurasi 95 minit itu menggabungkan penyelidikan sejarah, antropologi, kewartawanan penyiasatan dan analisis dasar bagi menerangkan perubahan besar yang sedang berlaku di Papua.
Namun, perdebatan mengenai filem itu bukan hanya tertumpu kepada kandungannya, tetapi juga berkaitan bagaimana masyarakat Indonesia menangani pandangan berbeza dalam sebuah negara demokrasi yang semakin matang.
Kontroversi mula memuncak selepas beberapa tayangan di bandar seperti Ternate, Mataram dan Bandung dilaporkan dibatalkan atau dihentikan selepas menerima bantahan daripada pihak universiti, tentera dan kumpulan masyarakat.
Pihak Tentera Nasional Indonesia (TNI) mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati terhadap apa yang dianggap sebagai naratif tidak seimbang mengenai Papua.
Jurucakap Komando Daerah Tentera XVII/Cenderawasih, Kolonel Tri Purwanto, berkata filem yang ditayangkan kepada umum perlu mematuhi undang-undang penapisan filem dan memperoleh kelulusan daripada Lembaga Sensor Filem (LSF).
“Kami menggesa masyarakat supaya bijak menapis maklumat. Kandungan yang tidak melalui proses penapisan rasmi mungkin mengandungi naratif tidak seimbang dan berpotensi mencetuskan penyebaran maklumat palsu dalam masyarakat,” katanya kepada Antara.
Menurut beliau, Papua ialah wilayah sensitif yang memerlukan pendekatan berhati-hati kerana pemerintah sedang melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan keselamatan makanan di kawasan itu.
Namun di sebalik kebimbangan tersebut, pemerintah Indonesia menegaskan bahawa tiada larangan rasmi dikeluarkan terhadap dokumentari berkenaan.
Menteri Penyelaras Undang-undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia, Encik Yusril Ihza Mahendra, berkata tayangan filem itu masih diteruskan di beberapa kampus dan bandar lain tanpa sebarang gangguan.
“Bukan semua kampus melarang tayangan dokumentari itu. Di beberapa tempat seperti Bandung dan Sukabumi, tayangan berlangsung seperti biasa,” katanya di Jakarta.
Beliau menjelaskan beberapa gangguan yang berlaku lebih berkaitan isu prosedur pentadbiran dan bukannya arahan pemerintah pusat.
Pada masa sama, Encik Yusril menganggap kritikan terhadap projek pemerintah sebagai sesuatu yang normal dalam sistem demokrasi.
“Saya menganggap kritikan seperti itu sesuatu yang wajar walaupun memang terdapat naratif yang provokatif. Tajuk dokumentari itu sendiri nampaknya sengaja dibuat provokatif,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menggesa masyarakat supaya melihat isu itu secara terbuka dan matang.
“Biarkan masyarakat menonton filem itu, kemudian adakan perbincangan dan perdebatan selepas itu. Dengan cara itu masyarakat boleh menjadi lebih kritikal dan pelbagai pandangan boleh muncul,” katanya.
Kenyataan itu dilihat mencerminkan pendekatan pemerintah yang cuba mengekalkan keseimbangan antara kebebasan bersuara dan keperluan menjaga kestabilan sosial, khususnya di Papua yang mempunyai sejarah politik dan keselamatan yang rumit.
Menurut Encik Yusril lagi, pemerintah juga boleh menggunakan kritikan dalam dokumentari itu sebagai bahan penilaian untuk memperbaiki pelaksanaan projek pembangunan di lapangan.
Beliau bagaimanapun menolak dakwaan bahawa projek pembangunan di Papua mencerminkan “kolonialisme moden”.
“Papua ialah bahagian penting Indonesia. Projek pembukaan tanah seperti itu juga berlaku di Kalimantan dan kawasan lain di negara ini,” katanya.
Pemerintah Indonesia selama ini menegaskan bahawa projek pembangunan di Papua bertujuan meningkatkan keselamatan makanan, mewujudkan peluang pekerjaan dan mempercepat pembangunan ekonomi di wilayah timur negara itu.
Sementara itu, Cypri berkata penggunaan istilah “kolonialisme” dalam tajuk dokumentari itu dibuat sebagai kerangka analisis untuk menerangkan isu yang saling berkait di Papua.
“Kolonialisme sebagai kerangka pemikiran berjaya menghubungkan semua masalah ini dan menjelaskan bagaimana ia saling berkait dalam isu sistemik yang sudah lama berlaku,” katanya.
Beliau turut mendakwa terdapat pihak yang tidak mahu isu di Papua diketahui masyarakat lebih luas.
“Ramai tidak mahu apa yang berlaku di Papua diketahui masyarakat umum dan dunia luar,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Instagram.
Ironinya, usaha menghentikan tayangan dokumentari itu dilihat menyebabkan filem tersebut menjadi lebih popular.
Selepas dimuat naik ke YouTube pada 22 Mei, dokumentari itu ditonton lebih enam juta kali dalam tempoh tiga hari sahaja.
Fenomena itu dianggap ramai pemerhati sebagai contoh jelas “kesan Streisand”, iaitu keadaan apabila cubaan menyekat sesuatu kandungan akhirnya menjadikannya lebih terkenal dan mendapat perhatian lebih besar.
Di media sosial, ribuan pengguna mula membincangkan isu Papua, kebebasan akademik, pembangunan dan hak masyarakat pribumi.
Ramai pengguna turut menyatakan rasa ingin tahu mereka meningkat selepas mendengar laporan mengenai gangguan tayangan filem itu.
“Baru sekarang saya dapat menontonnya di sini. Saya menjadi semakin ingin tahu selepas tayangan awal dulu,” tulis seorang pengguna YouTube.
Amnesty International Indonesia pula menyifatkan gangguan terhadap tayangan dokumentari itu sebagai cabaran terhadap kebebasan bersuara dan ruang perbincangan awam.
Pengarah Eksekutifnya, Encik Usman Hamid, berkata masyarakat sepatutnya diberi ruang untuk membincangkan isu Papua secara terbuka tanpa rasa takut.
Namun bagi ramai penganalisis, perkembangan ini juga menunjukkan masyarakat Indonesia semakin aktif terlibat dalam perbincangan awam mengenai isu sensitif negara.
Ahli akademik dari Universiti Islam Negeri Ar-Raniry, Kamaruzzaman Bustamam Ahmad, berkata cubaan menyekat dokumentari itu akhirnya menjadikan filem berkenaan perbualan nasional.
“Usaha menyekat filem ini telah mengubah dokumentari dengan tayangan terhad menjadi perbincangan seluruh negara mengenai Papua, penapisan dan kuasa negara,” katanya dalam ulasan yang diterbitkan portal KBA News. - Agensi berita
