Topik diikuti
Pergi ke BHkuHutan berusia lebih 100 tahun jadi sensasi media sosial dan peminat filem ‘The Lord of the Rings’
Hutan berusia lebih 100 tahun jadi sensasi media sosial dan peminat filem ‘The Lord of the Rings’
Selain jadi tarikan pelancongan, kawasan itu turut punya nilai sejarah antaranya berkait dengan sejarah landasan kereta api Banyuwangi, Indonesia
Hutan berusia lebih 100 tahun jadi sensasi media sosial dan peminat filem ‘The Lord of the Rings’
Sepasang muda yang telah bertunang dan keluarga yang membawa tiga anak kecil merupakan antara pengunjung yang mengambil gambar dengan latar belakang dramatik pokok hujan-hujan gergasi di Kampung Benculuk, Jawa Timur.
Ia merupakan lokasi terletaknya De Djawatan, atau lebih dikenali sebagai hutan berwajah ‘magik’.
Kawasan yang dahulunya merupakan tapak simpanan kayu milik syarikat pengurusan dan pemuliharaan hutan negara Indonesia, Perhutani, kini menimbulkan sensasi di Internet.
Ia mula menarik ramai pelawat yang ingin melihat sendiri gugusan hutan hujan tropika berusia lebih 100 tahun.
Ramai peminat filem menyamakan hutan itu dengan ‘Fangorn Forest’ daripada trilogi filem, ‘The Lord of the Rings’ kerana pokok-pokok yang dipercayai ditanam pada zaman penjajahan Belanda itu kelihatan dramatik seolah-olah mempunyai helaian rambut panjang yang berjuntai dari dahannya.
Sebenarnya, suasana seolah-olah ‘berambut’ itu terhasil daripada tumbuhan paku pakis dan tumbuhan epifit yang tumbuh berjuntai pada pokok hujan-hujan lama tersebut.
Seperti kebanyakan daya tarikan lain pada era digital hari ini, Cik Gisel Hidayu, 19 tahun, dan tunangnya, Encik Andhika Febriansyah, 23 tahun, mengetahui tentang hutan itu menerusi video tular di wadah TikTok.
Pasangan itu kemudian mengambil keputusan menunggang motosikal selama empat jam dari daerah Lumajang untuk melihat sendiri lokasi berkenaan.
“Kami memang suka pelancongan alam semula jadi, jadi kami tertarik untuk datang ke sini.
“Ini kali pertama kami datang. Tempat ini sangat cantik dan pemandangannya menakjubkan,” kata Cik Gisel kepada Berita Harian (BH) pada 10 Mei.
“Kami juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil gambar sebelum majlis perkahwinan di sini,” tambah Encik Andhika.
Kawasan De Djawatan meliputi kira-kira 12 hektar, dengan hutan hujan sahaja merangkumi sekitar enam hektar dan mengandungi 183 pokok.
Selain menjadi tarikan pelancongan, kawasan itu turut mempunyai nilai sejarah kerana berkait dengan landasan kereta api Banyuwangi, operasi perhutanan kolonial Belanda serta agensi perhutanan Indonesia selepas kemerdekaan yang dikenali sebagai Djawatan Kehutanan sebelum akhirnya menjadi Perhutani.
Pengurus kelompok Banyuwangi-Jember bagi anak syarikat pelancongan Perhutani, Palawi, Encik Fidelis Tangkin, berkata stesen kereta api pernah wujud di kawasan hutan itu antara 1921 dengan 1927 bagi menghubungkan Rogojampi dan Benculuk.
Menurut beliau, kereta api itu digunakan untuk mengangkut kayu balak dari hutan di selatan Banyuwangi ke kawasan simpanan sebelum dihantar semula ke pelabuhan berhampiran.
“Hanya sedikit kesan landasan kereta api lama masih boleh dilihat, dan kami masih mencari dokumen asli mengenai asal usul tempat ini,” katanya.
Hutan itu mula terkenal selepas gambar-gambar kawasan tersebut semasa perhimpunan anggota masyarakat skuter tempatan menjadi tular sekitar pertengahan 2010-an.
Selepas itu, Perhutani bersama koperasinya mula membangunkan kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan.
“Ketika mula dibuka dahulu, tempat ini sangat sederhana. Banyak kelawar terbang di antara pokok-pokok.
“Pada awalnya pengunjung hanya singgah sebentar, tetapi lama-kelamaan kawasan ini semakin popular dan mula diuruskan dengan lebih serius,” kata kakitangan Palawi di pejabat tapak De Djawatan, Encik Muryanto.
Perhutani dan pihak berkuasa pelancongan Banyuwangi secara rasmi mula membangunkan kawasan itu sebagai destinasi ekopelancongan sekitar 2016.
Lokasinya yang berada di jalan utama Jawa Timur serta berhampiran lapangan terbang Banyuwangi dan pelabuhan feri Ketapang yang menghubungkan Jawa dan Bali menjadikan De Djawatan mudah disertakan dalam jadual perjalanan pelancong.
Walaupun dibangunkan sebagai destinasi pelancongan yang mampu menarik ribuan pengunjung terutama pada musim cuti, pihak pengurusan berkata mereka tetap mahu mengekalkan keadaan semula jadi kawasan tersebut.
Tiga laluan pejalan kaki utama disediakan di tengah hutan untuk pengunjung berjalan dan mengambil gambar.
Menurut Encik Fidelis, pembangunan masa depan kawasan itu akan melibatkan pembahagian antara zon teras dengan zon pembangunan.
“Zon teras akan terus dipelihara dalam keadaan semula jadi, manakala zon pembangunan mungkin akan mempunyai tarikan yang disesuaikan dengan trend pelancongan dan minat pengunjung,” katanya.
Namun menurut beliau, cabaran sebenar ialah memastikan penduduk tempatan yang sebelum ini menikmati kawasan hutan itu secara bebas tidak terganggu dengan peningkatan trafik pelawat kerana jalan masuk ke kawasan itu agak sempit dan melalui kawasan perumahan.
“Cabaran lain yang penting ialah memastikan keadaan pokok trembesi (pokok hujan-hujan) sentiasa terjaga supaya pengunjung tidak kecewa dan pemandangan di sini kekal seperti yang mereka lihat dalam gambar,” katanya.
