Draf ketetapan Lembaga Keamanan dedah kuasa luas Trump tadbir Gaza

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Draf ketetapan Lembaga Keamanan dedah kuasa luas Trump tadbir Gaza

Sebagai pengerusi, Trump akan diberi kuasa untuk lantik pegawai kanan yang bantu tadbir Gaza serta tentukan pembahagian tanggungjawab
Jan 28, 2026 | 10:46 AM

Draf ketetapan Lembaga Keamanan dedah kuasa luas Trump tadbir Gaza

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Penduduk Palestin duduk di tengah runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan tentera Israel di Khan Yunis, selatan Jaluran Gaza, pada 27 Januari.
Penduduk Palestin duduk di tengah runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan tentera Israel di Khan Yunis, selatan Jaluran Gaza, pada 27 Januari. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berpotensi memegang kuasa yang sangat luas ke atas masa depan pentadbiran Jaluran Gaza serta kebajikan penduduknya menerusi satu pelan baru yang dirangka oleh kumpulan antarabangsa diketuainya, Lembaga Keamanan, menurut draf ketetapan yang diperoleh media.

Lembaga Keamanan itu mengadakan mesyuarat pertamanya di Davos, Switzerland pada 22 Januari, bersempena dengan Sidang Puncak tahunan Forum Ekonomi Sedunia (WEF) yang diadakan dari 19 hingga 23 Januari 2026, dengan beberapa negara termasuk Azerbaijan dan Qatar menandatangani piagam penubuhannya.

Piagam tersebut menyatakan objektif utama badan itu ialah untuk menjamin “keamanan berkekalan di kawasan yang terjejas atau terancam akibat konflik”.

Namun, perincian sebenar mengenai peranan dan kuasa Lembaga Keamanan masih kabur.

Draf ketetapan yang diperoleh The Times menunjukkan bahawa sebagai pengerusi, Encik Trump akan diberikan kuasa untuk melantik pegawai kanan yang akan membantu mentadbir Gaza serta menentukan pembahagian tanggungjawab mereka.

Antara jawatan utama yang digariskan dalam draf tersebut ialah seorang “wakil tertinggi” bagi Gaza, yang bertanggungjawab menyelia sebuah badan Palestin yang mentadbir wilayah itu, serta seorang komander pasukan penstabilan antarabangsa yang bertujuan memastikan keselamatan.

Encik Trump juga diberikan kuasa meluluskan ketetapan serta menggantung pelaksanaannya dalam situasi yang dianggap mendesak.

Ketetapan bertarikh 22 Januari itu bagaimanapun masih belum ditandatangani oleh Encik Trump, yang merupakan prasyarat utama bagi membolehkannya dikuatkuasakan.

Tiga pegawai yang dimaklumkan mengenai kandungan ketetapan tersebut mengesahkan kesahihannya, sambil menjelaskan bahawa dokumen itu masih dalam perbincangan dalaman.

Mereka bercakap dengan syarat identiti dirahsiakan kerana isu tersebut belum diumumkan secara rasmi.

Tidak jelas sama ada draf itu merupakan versi muktamad ketetapan berkenaan.

Namun dari segi bentuk dan bahasa, dokumen tersebut menyerupai ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan dilihat sebagai usaha Lembaga Keamanan untuk memberikan kerangka rasmi terhadap peranannya di Gaza.

Idea penubuhan Lembaga Keamanan bagi Gaza pertama kali diketengahkan dalam pelan 20 perkara Encik Trump yang diumumkan pada September lalu, bertujuan menamatkan perang selama dua tahun antara Israel dan Hamas yang memusnahkan sebahagian besar wilayah Palestin itu.

Pada November, Majlis Keselamatan PBB memberikan mandat kepada Lembaga Keamanan sebagai sebahagian daripada usaha yang diterajui Amerika untuk mengekalkan gencatan senjata di Gaza.

Pada awalnya, difahamkan bahawa mandat lembaga itu hanya terhad kepada Gaza.

Namun, pentadbiran Encik Trump bulan ini menyatakan bahawa badan tersebut juga akan menangani konflik di kawasan lain, walaupun skop sebenar peranan itu masih belum diperincikan.

Beberapa negara menyambut baik penubuhan Lembaga Keamanan dan bersetuju untuk menyertainya selepas menerima jemputan Encik Trump.

Namun, beberapa sekutu rapat Amerika seperti Perancis dan Britain menolak untuk menyertai badan itu.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, berkata negaranya enggan terlibat kerana Lembaga Keamanan mengecualikan Penguasa Palestin (PA) dan kerana badan itu beroperasi “di luar kerangka PBB”.

Menurut struktur yang digariskan, pemimpin negara yang menyertai projek tersebut akan membentuk Lembaga Keamanan, dengan Encik Trump sebagai pengerusi.

Encik Trump juga diberi kuasa untuk melantik penggantinya.

Di bawah lembaga itu pula akan wujud sebuah lembaga eksekutif.

Pada 16 Januari, Rumah Putih mengumumkan tujuh individu yang akan menganggotai lembaga eksekutif, termasuk menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner, serta mantan Perdana Menteri Britain, Encik Tony Blair.

Lembaga ini ditugaskan untuk membantu melaksanakan pelan 20 perkara bagi Gaza.

Bagaimanapun, draf ketetapan itu turut menyenaraikan Ketua Staf Rumah Putih, Cik Susie Wiles, serta Encik Martin Edelman, seorang peguam hartanah yang berpangkalan di New York, sebagai ahli lembaga eksekutif.

Ini merupakan kali pertama nama kedua-dua individu itu dikaitkan secara terbuka dengan Lembaga Keamanan.

Encik Michael Ratney, bekas konsul jeneral Amerika di Baitulmakdis, berkata draf ketetapan itu “menjelaskan bahawa Amerika memegang peranan utama dalam pentadbiran Gaza, manakala semua negara dan entiti lain memainkan peranan sokongan”.

Beliau menyifatkan kedudukan perundangan ketetatapn itu sebagai “tidak pasti”, namun menegaskan bahawa keperluan mendesak di Gaza tidak boleh diketepikan.

“Penduduk Gaza berada dalam keadaan terdesak, dan apa sahaja yang berpotensi memperbaiki kehidupan mereka, termasuk pelan 20 perkara ini, wajar dipertimbangkan,” katanya.

Menurut draf ketetapan itu, Lembaga Keamanan akan menyelaras usaha pembinaan semula Gaza, satu projek berskala besar yang dijangka menelan kos puluhan bilion dolar dan mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan.

Selain itu, lembaga tersebut akan memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan dan menubuhkan “zon kemanusiaan” bagi membolehkan penduduk mengakses bantuan dengan selamat.

Ketetapan itu turut mengakui cabaran kompleks yang dihadapi Gaza.

Antaranya, individu atau organisasi yang mempunyai “sejarah kerjasama, penyusupan atau pengaruh” dengan Hamas tidak dibenarkan terlibat dalam pentadbiran atau pembinaan semula wilayah itu.

Peruntukan ini berpotensi memberi kesan besar, memandangkan puluhan ribu kakitangan awam dan pegawai keselamatan pernah berkhidmat di bawah pemerintah yang dikendalikan Hamas, termasuk profesional perubatan, anggota polis peringkat bawahan dan pasukan penyelamat.

Draf tersebut juga memperincikan peranan Encik Nickolay Mladenov, bekas utusan khas PBB bagi proses damai Asia Barat, yang telah dinamakan oleh Rumah Putih sebagai wakil tinggi pertama untuk Gaza.

Menurut ketetapan itu, Encik Mladenov akan menyelia secara rapat Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza, sebuah badan teknokrat Palestin yang dilantik untuk mentadbir wilayah berkenaan, mengawasi pasukan polis, serta mengarahkan semua aktiviti harian pentadbiran. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg