Saudi, Indonesia antara negara sertai Lembaga Keamanan
Eropah berbelah bahagi untuk sertai, Amerika cuba redakan kebimbangan terhadap Lembaga Keamanan ganti PBB
RIYADH: Arab Saudi bersama lapan negara majoriti Muslim, termasuk Qatar dan Turkey yang berperanan sebagai pengantara konflik Gaza, bersetuju menyertai inisiatif Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang dinamakan Lembaga Keamanan.
Ini ketika projek tersebut mula mencetuskan perdebatan global mengenai skop, mandat serta implikasinya terhadap susunan antarabangsa sedia ada.
Dalam satu kenyataan bersama, Kementerian Luar Arab Saudi pada 21 Januari memaklumkan bahawa para menteri luar Arab Saudi, Qatar, Turkey, Mesir, Jordan, Indonesia, Pakistan dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) mencapai “keputusan bersama” untuk menyertai badan yang akan dipengerusikan oleh Encik Trump itu.
Mereka menyatakan sokongan terhadap “usaha keamanan” yang diterajui beliau khususnya berkaitan konflik Gaza.
Kementerian Luar Kuwait kemudian mengesahkan bahawa negara itu turut menerima jemputan untuk menyertai lembaga berkenaan.
Penubuhan Lembaga Keamanan pada asalnya dikaitkan dengan pelaksanaan pelan gencatan senjata dan pembinaan semula Gaza.
Namun, piagam awal badan itu yang diperoleh dan diteliti oleh media antarabangsa menunjukkan bahawa skop peranannya tidak terhad kepada wilayah Gaza.
Sebaliknya, ia memberi gambaran bahawa lembaga itu mungkin berperanan sebagai pengantara konflik global, satu hala tuju yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sekutu Amerika, khususnya di Eropah, yang melihatnya berpotensi menyaingi peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Langkah beberapa negara Islam menyertai lembaga itu turut berlaku dalam konteks hubungan yang tegang antara Arab Saudi dan UAE.
Kedua-dua negara Teluk itu sejak kebelakangan ini dilihat berusaha merapatkan hubungan dengan pentadbiran Encik Trump melalui janji pelaburan dan kerjasama perniagaan berskala besar.
Di pihak lain, Perancis mengumumkan ia tidak akan menyertai Lembaga Keamanan.
Menteri Luar Perancis, Encik Jean-Noel Barrot, berkata negaranya menyokong pelaksanaan pelan keamanan Gaza yang dikemukakan Encik Trump, tetapi menolak penubuhan sebuah organisasi baru yang boleh “menggantikan PBB”.
“Iya kepada pelan keamanan, tetapi tidak kepada penciptaan sebuah badan yang mengambil alih peranan PBB,” katanya.
Sebaliknya, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menerima jemputan untuk menyertai lembaga itu.
Namun, pejabatnya menyuarakan bantahan terhadap penyertaan Menteri Luar Turkey, Encik Hakan Fidan, dan diplomat Qatar, Encik Ali Al-Thawadi, dalam sebuah Lembaga Eksekutif Gaza di bawah Lembaga Keamanan.
Bantahan itu mencerminkan perpecahan dalaman mengenai struktur dan hala tuju badan tersebut.
Perkembangan itu turut menonjolkan perbezaan pendirian antara negara Barat dan sekumpulan negara majoriti Muslim.
Norway dan Sweden mengumumkan mereka tidak akan menyertai.
Setiausaha Negara Norway, Encik Kristoffer Thoner, berkata cadangan itu “menimbulkan banyak persoalan yang memerlukan dialog lanjut dengan Amerika”.
Perdana Menteri Sweden, Encik Ulf Kristersson, pula menyatakan negaranya tidak akan menandatangani piagam lembaga itu dalam bentuk semasa.
Slovenia turut mengambil pendirian berhati-hati.
Perdana Menteri, Encik Robert Golob, berkata masa belum sesuai untuk menerima jemputan tersebut, sambil menyatakan kebimbangan bahawa mandat lembaga itu terlalu luas dan boleh menjejaskan orde antarabangsa berasaskan Piagam PBB.
Encik Trump bagaimanapun kekal optimis.
Menjelang satu acara berkaitan Lembaga Keamanan di Davos, beliau berkata kebanyakan negara yang dijemput berminat untuk menyertainya.
“Ada yang memerlukan kelulusan Parlimen, tetapi secara umumnya, hampir semua mahu terlibat,” katanya.
Seorang pegawai Rumah Putih menyatakan kira-kira 30 negara dijangka menyertai, manakala sekitar 50 hingga 60 negara telah menerima jemputan.
Encik Trump turut mempertahankan pemilihan beberapa pemimpin yang dianggap autokratik sebagai ahli lembaga.
“Saya mempunyai beberapa individu yang kontroversi. Tetapi mereka ini orang yang boleh menyelesaikan tugas dan mempunyai pengaruh besar,” katanya.
Menurut draf piagam yang dilihat Bloomberg, negara yang ingin mendapatkan kerusi tetap dalam Lembaga Keamanan diminta membuat sumbangan sukarela sekurang-kurangnya AS$1 bilion ($1.28 bilion).
Sebagai pengerusi tunggal, Encik Trump diberikan kuasa muktamad dalam membuat keputusan serta potensi pelantikan jangka panjang yang boleh melangkaui tempoh presidennya.
Encik Trump juga pernah mencetuskan kontroversi dengan menyatakan bahawa Lembaga Keamanan “mungkin” akan menggantikan PBB, satu kenyataan yang meningkatkan kebimbangan antarabangsa.
Susulan itu, Jabatan Negara Amerika mengarahkan diplomatnya untuk menegaskan bahawa lembaga tersebut bertujuan melengkapi, bukan menggantikan, PBB.
Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio, dilaporkan berusaha meredakan kebimbangan sekutu mengenai skop dan cita-cita lembaga itu, walaupun Encik Trump berulang kali menyatakan ketidakpuasan terhadap keberkesanan PBB.
Lembaga Keamanan pada asalnya dirangka sebagai mekanisme untuk menyelia peralihan pasca-perang di Gaza, selaras dengan pelan keamanan 20 perkara Trump yang menamatkan pertempuran antara Israel dan Hamas.
Namun, peluasan mandatnya kepada konflik global, jemputan kepada pemimpin seperti Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, serta ancaman Encik Trump mengenakan tarif 200 peratus ke atas champagne Perancis selepas Presiden Emmanuel Macron menolak jemputan, telah menimbulkan kegelisahan di Eropah. – Agensi berita.

