KUANTAN: Dua beradik maut selepas kereta mereka dirempuh lori tangki membawa muatan petroleum berhampiran lampu isyarat Felda Lepar Hilir di Jalan Kuantan-Segamat di sini, Selasa malam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mangsa ialah Cik Siti Mazurah Zulkifli, 30 tahun, dan Cik Siti Nur Alia Saffiyah, 18 tahun, yang berasal dari Felda Lepar Hilir Satu di sini.
“Kemalangan pada 11 malam itu dipercayai berlaku apabila lori tangki yang dalam perjalanan ke sebuah stesen minyak di Gambang hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh kereta mangsa,’‘ katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kejadian yang berlaku ketika hujan itu menyebabkan kereta yang dipandu Cik Siti Nur Alia Saffiyah terperosok ke bawah lori tangki dan kededua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Encik Wan Mohd Zahari berkata pemandu lori tangki berusia 31 tahun itu telah ditahan bagi membantu siasatan dan ujian air kencing yang dilakukan didapati negatif.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg